FOTO Mohd Hasbi Sidek
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


DIANGGARKAN 15 dulang barang kemas dirompak dari kedai emas dalam pasar raya di Jalan Kuchai Lama, kira-kira 11 pagi, hari ini.

Saksi berkata, tiga lelaki memakai rompi (vest) tertera POLIS dan memakai topi keledar masuk ke kedai emas berkenaan dari sebelah kiri premis.

Saksi berusia 50-an itu mendakwa, dua daripada suspek bersenjatakan tukul dan seorang memegang pistol.

"Saya sedang menjaga kedai dan ternampak tiga lelaki pakai baju polis masuk ke kedai emas itu.

“Saya tidak sangka mereka akan merompak kedai emas itu. Saya boleh dengar bunyi kaca dipecah pecah dan lelaki itu mengacukan pistol kepada pekerja kedai emas," katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku kurang daripada 10 minit sebelum suspek melarikan diri bersama beberapa dulang emas.

Sementara itu, polis masih lagi menjalankan siasatan di lokasi dan dianggarkan 15 dulang emas dirompak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 2:34 PM