Selepas 12 jam, kepulan asap tebal masih menyelubungi Menara Grenfell dengan ratusan anggota bomba berusaha memadam api. - Foto Daily Mail/AFP
Lelaki yang terperangkap di tingkat 11 atau 12 Menara Grenfell berjaya diselamatkan anggota bomba, hampir 12 jam selepas dia dilihat mengibarkan kain melalui tingkap meminta pertolongan. - Foto Daily Mail
Agensi

SEKURANG-KURANGNYA 50 orang berada dalam senarai orang hilang dalam kebakaran Menara Grenfell di London ketika polis menyatakan jumlah korban dijangka lebih ramai berbanding enam mangsa yang disahkan maut dalam tragedi itu.

Menurut Daily Mail, seorang pemimpin masyarakat yang berusaha mengesan penghuni yang masih hilang menyatakan tiada siapa yang tinggal di tiga tingkat teratas bangunan 27 tingkat itu selamat.

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata: “Kami ada senarai orang hilang. Ramai, terlalu ramai.

“Ia lebih 50 orang, berkemungkinan lebih 100 orang.”

Selain mengesahkan enam terbunuh dalam kebakaran itu, polis enggan memberi anggaran jumlah korban kerana bangunan masih terbakar dan bomba menjangka mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam lagi untuk memadam api sepenuhnya.

Reuters melaporkan, sehingga 77 mangsa kini dirawat di beberapa hospital sekitar London dengan 20 daripadanya kritikal. Beberapa anggota bomba juga dilapor cedera ringan.

Menara itu mempunyai 120 kediaman dan dihuni sehingga 600 orang dan polis mengesahkan masih ramai yang tidak diketahui nasib mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 10:03 PM