Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Dua penyamun mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Batu 13 Jalan Bidor-Teluk Intan, Teluk Intan, hari ini.

Penjenayah yang juga ahli kumpulan digelar Geng Samun Rantau Sitiawan itu adalah warga negara jiran yang menyamun di sekitar Perak dan Pulau Pinang sejak setahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, dalam kejadian 2.10 pagi itu sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak yang mendapat maklumat awam berjaya mengesan suspek yang memang dikehendaki polis itu.

Menurutnya, kedua-dua suspek dikesan menaiki kereta warna emas di jalan berkenaan dan polis mengarahkan suspek berhenti namun pemandu bertindak memecut kenderaan.

"Polis kemudian mengejar suspek dan sebaik tiba di kawasan kampung, kenderaan suspek terbabas dan terhenti di jalan kecil berhampiran kebun kelapa sawit.

"Sebaik saja kereta berhenti dua suspek berkenaan keluar dengan seorang melepaskan dua das tembakan terhadap polis manakala seorang lagi menyerang dengan parang," katanya dalam sidang media di IPK Perak di Ipoh, hari ini.


HASNAN menunjukkan pistol yang dirampas daripada dua penjenayah. FOTO L Manimaran

Hasnan berkata, polis memang memburu kedua-dua suspek yang dikenali dengan nama gelaran Kenjo dan Ari itu kerana terbabit sekurang-kurangnya 10 kes samun bersenjata api dan parang sekitar Perak dan Pulau Pinang yang membabitkan kerugian lebih RM450,000 sejak setahun lalu.

"Geng Samun Rantau Sitiawan ini dipercayai terdiri daripada tujuh anggota dengan dua daripadanya sudah ditembak mati pada tahun lalu di daerah Muallim, Perak.

"Tiga daripada ahli kumpulan sama dipercayai sudah lolos kembali ke negara asal mereka, manakala dua lagi berjaya ditumpaskan hari ini," katanya.


ANTARA peralatan yang dirampas. FOTO L Manimaran

Menurutnya, dua penjenayah yang ditembak mati hari ini itu berusia antara 30 hingga 40 tahun dan masing-masing terkena sedas tembakan di bahagian dada.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui dua pistol buatan sendiri berserta peluru, dua parang dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menyamun seperti tooeng ski, kuku besi dan beberapa nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Menurutnya, kumpulan penjenayah terbabit sangat berbahaya dan akan mencederakan mangsa yang disamun jika melawan serta akan lebih 'mengganas' setiap kali menjelang musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 1:27 PM