Ibu mangsa (kanan) bersama kekasihnya dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini untuk direman. FOTO Omar Osman
Omar Osman
am@hmetro.com.my


WANITA berusia 29 tahun dan kekasihnya yang juga tomboi berumur 26 tahun ditahan polis semalam selepas disyaki mendera anak perempuannya berusia enam tahun di Taman Lembah Bujang Merbok, Sungai Petani.

Mereka ditahan di rumah sewa itu susulan laporan polis dibuat rakan kepada ibu mangsa pada malam Isnin lalu, selepas menemui kesan lebam pada tubuh kanak-kanak itu.

Perkara itu terbongkar selepas dua beranak itu menumpang seketika di rumah rakan berkenaan.

Mereka menumpang kerana si ibu dikatakan bergaduh dengan tomboi terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis menahan ibu mangsa dan tomboi itu untuk siasatan lanjut.

"Berdasarkan pemeriksaan ke atas tubuh mangsa, polis mendapati kesan lebam disyaki akibat penderaan.

“Mangsa turut memberitahu ibunya bersama tomboi itu sering memukulnya menggunakan rotan dan penyangkut baju. Mangsa turut dikurung di dalam bilik setiap kali kedua-dua suspek keluar bekerja.

"Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda," katanya.

Saifi berkata, hasil siasatan mendapati ibu mangsa berstatus ibu tunggal dan bekerja di sebuah kilang di Bakar Arang.

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini sebelum direman enam hari sehingga 12 Jun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 6:11 PM