BUFFON tewas tiga final Liga Juara-Juara . FOTO EPA
AFP

Cardiff, Wales: Kapten Juventus Gianluigi Buffon mengakui kehebatan dimiliki Real Madrid menjadi faktor penentu selepas pasukannya tumpas 1-4 pada final Liga Juara-Juara di Cardiff, awal pagi semalam.

Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol bagi membantu Madrid membenam Juventus di Stadium Nasional Wales untuk muncul pasukan pertama mempertahankan kejuaraan Piala Eropah selepas AC Milan pada 1990.

Bintang Itali Buffon, 39, yang kini tewas tiga final Liga Juara-Juara selepas dua kali kecewa pada 2003 dan 2015 manakala Juve tewas lima edisi terakhir Piala Eropah, mengumpul tujuh gelaran naib juara.

“Kami kecewa,” kata Buffon. “Kami bermain baik pada babak pertama. Kami sangka sudah cukup bagus untuk menang perlawanan ini. Saya tak boleh jelaskan mengapa kami bermain seperti itu pada babak kedua.

“Real Madrid berhak menang pada babak kedua. Mereka mempamerkan kelas dan sikap yang diperlukan dalam permainan ini.”

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 8:00 AM