FOTO Noor Hidayah Tanziz
FOTO Noor Hidayah Tanziz
FOTO Noor Hidayah Tanziz
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


KAPAL muzium Ex KD Rahmat mengalami kebocoran menyebabkan ia senget dan hampir tenggelam di pesisir Marina Waterfront, Lumut, hari ini.

Bagaimanapun, insiden berkenaan tidak membabitkan kemalangan jiwa dan berlaku pada kira-kira 3 pagi.

Panglima Armada Laksamana Madya Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli, berkata kapal itu dipercayai bocor namun tidak dapat dipastikan di bahagian mana.

Menurutnya, kapal berkenaan pernah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan ia sudah dilucut tauliah serta diswastakan di bawah pemantauan kerajaan negeri untuk tujuan pelancongan.

"Kejadian ini juga sudah dimaklumkan kepada kerajaan negeri dan TLDM akan membantu dalam situasi ini.

“TLDM akan menghantar penyelam kita untuk menilai kerosakan sebelum tindakan lanjut diambil," katanya ketika ditemui.

Katanya, atas faktor keselamatan kapal itu tidak dibuka kepada orang awam sejak tahun lalu.

Selepas dilucut tauliah EX KD Rahmat dijadikan muzium dan berlabuh di persisiran laut Lumut dan mula dibuka kepada orang awam sejak 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 5:43 PM