Gambar di Twitter berkaitan insiden gangguan penumpang Pesawat MH128 ke Kuala Lumpur yang terpaksa berpatah balik ke Melbourne.

LAPANGAN Terbang Tullamarine di Melbourne, ditutup selepas seorang lelaki dilaporkan cuba merampas pesawat Malaysia Airlines Berhad yang baru berlepas dari lapangan terbang itu, memaksa pesawat berkenaan berpatah balik dan membuat pendaratan cemas.

Pesawat MH128 ke Kuala Lumpur, berlepas dari lapangan terbang itu pada 11.11 malam (waktu tempatan), malam tadi sebelum terpaksa berpatah balik beberapa minit kemudian.

Menurut Daily Mail, seorang penumpang mendakwa mempunyai bahan letupan dan cuba memasuki kokpit namun berjaya dihalang penumpang lain.

Pesawat itu kini berada di landasan dan diperiksa unit pemusnah bom

Pesawat yang hendak berlepas juga tidak dibenarkan manakala pesawat yang hendak mendarat, dilencongkan ke lapangan terbang Avalon berdekatan.

Polis Persekutuan Australia yang mengesahkan kejadian itu, menyatakan sekurang-kurangnya seorang penumpang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 12:18 AM