Anggota bomba membantu mengeluarkan kaki kanan Archan Au Sen yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki warga Thailand menahan kesakitan lebih 10 minit apabila kaki kanannya tersepit pada pedal pengayuh basikal dalam kejadian di Kampung Kuah, Langkawi, Kedah hari ini.

Archan Au Sen, berusia lingkungan 40an, terpaksa dibantu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi yang tiba selepas menerima panggilan kecemasan jam 8.19 malam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, enam anggota bersama sebuah jentera dan unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“€œSejurus tiba, anggota bertugas mendapati kaki kanan mangsa tersepit antara pedal pengayuh dan rangka badan basikal ketika menunggang untuk ke surau yang letaknya berhampiran tempat kejadian.

"Peralatan khas digunakan untuk merenggangkan pedal pengayuh dan besi pada rangka basikal sebelum mengeluarkan kaki mangsa,”€ katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 8.48 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 11:03 PM