MUSTAPA (dua kiri) bersama (dari kiri) Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs dan Operasi, Nicholas Sagau; Pengarang Digital Harian Metro, Munir An'am Zuljadan dan Rafiq melancarkan aplikasi MetroTV. FOTO Supian Ahmad
Mohd Hanafis Abd Haris
hanafis@hmetro.com.my


HARIAN Metro (HM) dan Media Prima Labs (MPLabs) melancarkan aplikasi MetroTV yang menumpukan fungsi siaran secara langsung atau Live Telecast.

Fungsi Live Telecast membolehkan pengguna MetroTV menonton secara langsung liputan berita dan program menarik yang disusun setiap hari bermula 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

MetroTV turut dibahagikan kepada tiga segmen iaitu berita, Ohsem! dan HM+ di mana setiap segmen ini mempunyai kandungan video berlainan sesuai dengan cita rasa dan kehendak penonton.

Selain itu, MetroTV menawarkan kandungan video eksklusif dengan tumpuan kandungan video berteraskan ‘human interest’, jenayah, sukan, hiburan, semi-documentary dan politik.


KETUA Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd, Datuk Abdul Jalil Hamid (kiri) bersama Mustapa mempamerkan aplikasi MetroTV. FOT Nurul Shafina Jemenon

Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar berkata, MetroTV adalah satu lagi usaha untuk mengukuhkan status HM sebagai akhbar bahasa Melayu popular di Malaysia.

Beliau berkata, Metro TV adalah satu cabang baru buat HM bagi menghargai pembaca setia yang tidak pernah jemu menyokong sejak akhbar ini dilancarkan pada 25 Mac 1991.

“Sudah pasti dalam kita mengikut arus peredaran zaman yang memerlukan integrasi teknologi terkini, MetroTV akan menjadi penanda aras untuk kita mengukur jalinan harmoni antara media baru dan media tradisional.

“MetroTV adalah satu lagi platform penyampaian maklumat yang hadir dalam bentuk yang lebih menarik dan komersial,” katanya.

MetroTV juga bakal memperkemaskan ruangan UGC (User Generated Content) bagi membolehkan pengguna menghantar video terus menerusi aplikasi MetroTV.

Harian Metro dan MPLabs yang juga pembangun aplikasi mudah alih di bawah Media Prima Digital (MPD) turut sedang membangunkan teknologi untuk membolehkan pengguna menyaksikan secara langsung tugas harian wartawan yang dipanggil JAW atau Journalist At Work.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPD Rafiq Razali berkata, pihaknya akan terus menghasilkan aplikasi terbaik untuk lebih tiga juta pengguna di Malaysia.

“Masyarakat kini mahukan sesuatu yang lebih interaktif khususnya dalam mendapatkan berita dan maklumat terkini dan MetroTV hadir tepat pada masanya.

“Kami gembira diberi peluang terbabit secara langsung dalam penghasilan aplikasi MetroTV sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran kami di dunia digital,” katanya pada majlis pelancaran berkenaan di Seputeh, Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis terbabit turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular termasuk Aiman Tino, Tajul, Khai Bahar, Wany Hasrita, Azharina dan Salma.

Aplikasi MetroTV boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna Android di Google Play Store manakala di Apple App Store untuk pengguna iOS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 11:46 PM