WEI Jin tak gentar beraksi pada Sukan SEA walaupun berusia 15 tahun.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


TAMPIL pada Sukan SEA pertama dengan usia baru 15 tahun tidak memcetuskan kebimbangan buat Eng Wei Jin untuk berusaha melakar sejarah atlet menembak termuda merangkul pingat emas di temasya dwi tahunan itu.

Dia sudah membuktikan kemampuannya dengan bidikan emas acara double trap individu lelaki di Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-41 Mei lalu.

Penembak kelahiran Johor Bahru itu berkata, dia tidak gentar untuk meletakkan sasaran tinggi kerana lawan yang bakal dihadapinya adalah dirinya sendiri.

“Kerana saya masih muda, ini Sukan SEA pertama, ini sukan kegemaran saya jadi sudah pasti saya teruja. Sasaran saya selalu pingat emas, sasaran saya bukan saja untuk mendapat pingat emas di Sukan SEA tapi Olimpik satu hari nanti.

“Walaupun saya akan berusaha untuk mendapat pingat emas tapi saya tidak tertekan kerana mahu menikmati sukan ini.

“Saya percaya boleh melakukannya kerana musuh utama adalah diri saya sendiri, Ia bukan seperti badminton Datuk Lee Chong Wei menentang Lin Dan. Menembak adalah anda menentang diri sendiri untuk mendapat rekod terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Lapang Sasar Menembak Subang hari ini.

Wei Jin layak beraksi di Sukan SEA dalam acara double trap selepas memenangi Kejohanan SEASA dengan menewaskan seorang lagi penembak negara Edward Khor.

“Dalam Sukan SEA kali ini, saya adalah penembak paling muda. Saya fikir saya akan menjadi penembak paling muda jika memenangi pingat emas Sukan SEA kerana pada kejohanan SEASA, saya penembak paling muda memenangi kejohanan itu,” katanya.

Acara menembak akan bermula pada 21-26 Ogos dengan sasaran empat emas diletakkan kepada skuad menembak negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 4:13 PM