GENEVER (kanan) mahu anak buah tak pandang mudah setiap perlawanan.
Devinder Singh
devinder@nst.com.my


JURULATIH negara Peter Genever yakin dengan kemampuan skuad muda skuasy negara untuk mencapai sasaran tujuh pingat emas di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Juara bertahan acara perseorangan wanita Rachel Arnold yang menduduki ranking ke-52 dunia adalah pemain paling berpengalaman dikalangan 16 pemain skuad terbabit berikutan ketiadaan pemain utama negara pada temasya dwitahunan itu.

Selepas memenangi empat pingat emas di Singapura, dua tahun lalu, pemain negara dijangka merangkul tiga gelaran beregu dan mempertahankan kejuaraan pada acara perseorangan lelaki dan wanita serta kedua-dua acara berpasukan lelaki dan wanita.

“Saya percaya ia mampu dicapai,” katanya yang ditemui selepas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melawat pasukannya di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

“Penting untuk kami tidak memandang mudah sesiapa pun terutama dalam acara beregu yang boleh menimbulkan kejutan.”

Menurutnya, anak buahnya perlu fokus dari pusingan awal dengan menganggap tidak akan berhadapan perlawanan mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 7:23 PM