WAJAH pelanggan yang menjalani rawatan PRP vampire.
Dr Aidil Azry Mokhtar menjalankan prosedur rawatan kepada pelanggannya.
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


BUNYINYA menakutkan, namun rawatan Plasma Kaya Platelet (PRP) ‘vampire’ (juga dikenali ‘vampire facial’) menjadi kegilaan ramai kerana dikatakan berupaya memperlahankan proses penuaan.

Ia adalah teknik rawatan wajah membabitkan penggunaan darah sendiri bagi mendapatkan kulit licin dan berseri, sekali gus membantu atasi masalah tanda penuaan garis halus serta pigmentasi.

Sejak dipopularkan selebriti terkenal, Kim Kardashian yang memuat naik ke media sosial ketika menjalani rawatan berkenaan dalam rancangan televisyen realiti beberapa tahun lalu, rawatan PRP vampire menjadi fenomena dalam rawatan kosmetik di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Teknik ini menggunakan mesin mengandungi sebilangan jarum halus untuk menebuk kulit muka, bertujuan menghasilkan kecederaan kecil sebelum disapu PRP yang kaya dengan vitamin atau ‘faktor pertumbuhan’.

“PRP vampire adalah teknik menggunakan jarum mikro pada mesin automatik yang hujungnya ada jarum-jarum halus.

“Wajah pelanggan perlu dikebaskan dan mesin ini digunakan di seluruh wajah untuk menebuk kulit muka bagi menghasilkan rongga mikro. Tebukan pada salur darah menyebabkan pendarahan berlaku pada muka dan kerana itu ia dipanggil PRP vampire.

“Tujuannya adalah menghasilkan kecederaan kecil supaya memberi isyarat kepada tubuh agar merawat dan memperbaiki kawasan cedera ini. Wajah pelanggan kemudian disapu dengan PRP yang dihasilkan daripada darah pelanggan sendiri.

“Untuk mendapatkan PRP, darah diambil dari lengan pesakit dengan sukatan tertentu, kemudian diletakkan di dalam tabung khas sebelum dimasukkan di dalam mesin emparan selama 10 hingga 15 minit bagi memisahkan serum PRP berwarna kekuningan dan sel darah merah.

“PRP ini berfungsi seperti baja dan berupaya membina sel baharu bagi menggantikan sel rosak dan membuatkan permukaan kulit lebih gebu serta anjal.

“Satu lagi rawatan PRP yang sedikit berbeza iaitu melalui suntikan terus ke bahagian wajah yang disasarkan. Kedua-dua teknik mempunyai kelebihan dan kekurangan,

tetapi banyak klinik kini menggabungkan kedua-dua teknik,” jelas pakar estetika dan pengasas Idealyst Clinic & Medispa, Dr Aidil Azry Mokhtar.

Tambahnya, kesan biasanya dapat dilihat dalam tempoh seminggu selepas rawatan dilakukan dan ia mampu bertahan selama tiga hingga enam bulan, bergantung pada individu.

“Selalunya rawatan membabitkan tiga sesi dengan setiap sesi dijalankan dalam tempoh antara dua minggu hingga sebulan. Selepas rawatan biasanya pelanggan mengalami lebam di bahagian beg mata dan hari pertama hingga ketiga berlaku kemerahan pada wajah.

“Pada masa sama, berlaku pengelupasan kulit sehinggakan apabila dipegang akan terasa kasar tetapi selepas seminggu akan nampak kesan yang mana kulit jadi lebih anjal, cerah dan menyinar.

“Rawatan PRP juga boleh dilakukan untuk bahagian tubuh yang lain contohnya untuk melebatkan rambut atau menghilangkan parut,” katanya.

Baru-baru ini teknik rawatan PRP vampire mendapat perhatian dunia apabila dua pelanggan sebuah spa di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) dijangkiti HIV selepas dikatakan menjalani prosedur suntikan di spa berkenaan antara Mei dan September 2018.

Mengulas perkara ini, Dr Aidil Azry menjelaskan, kemungkinan besar kedua-dua mangsa itu mendapat jangkitan akibat spa terbabit menggunakan jarum tercemar atau digunakan lebih daripada sekali.

“Syarat wajib rawatan PRP termasuk rawatan muka ‘vampire’ ialah perlu menggunakan darah tuan punya badan dan tidak boleh berkongsi jarum. Jarum hanya boleh digunakan sekali sahaja dan ia perlu dibuang selepas setiap penggunaan.

“Ada kemungkinan dua mangsa itu menerima rawatan menggunakan jarum tercemar yang sebelumnya pernah diguna merawat pembawa HIV. Kemungkinan berlaku kejadian sebegitu sangat kecil sekiranya rawatan dikendalikan doktor,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran mereka yang tidak mempunyai kelayakan untuk menjalankan rawatan ini.

“Sangat bahaya sekiranya rawatan dijalankan orang biasa terutama dari segi kebersihan kerana pelanggan boleh dijangkiti kuman dan tidak mustahil mendapat HIV sekiranya penyedia rawatan itu guna jarum tercemar.

“Malangnya sekarang, sangat ramai orang yang tidak bertauliah menyediakan perkhidmatan ini termasuk ada yang pergi dari rumah ke rumah.

“Malah ada yang berani mengiklankan perkhidmatan mereka menerusi media sosial. Kerana itu masyarakat harus sentiasa berwaspada. Jangan kerana inginkan harga murah sampai sanggup menggadai nyawa,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:15 AM