JANGAN biarkan kanak-kanak bermain air banjir yang berisiko mendatangkan penyakit.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Banjir adalah bencana alam yang tidak dapat dielakkan apabila tiba musim tengkujuh. Ia tidak saja menyebabkan kemusnahan harta benda mahupun mengundang kematian, malah mencetuskan penularan penyakit berjangkit.

Ini adalah kesan paling buruk dibawa banjir apabila kesihatan mangsa terjejas berikutan penyakit berjangkit mudah menular

sewaktu dan selepas banjir.

Banjir yang berlaku akan menyebabkan sampah sarap dan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air.

Sampah-sarap dan sisa najis ini bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit.

Berdasarkan maklumat di portal MyHEALTH Kementerian Kesihatan, antara penyakit berjangkit yang mudah merebak sewaktu dan selepas banjir adalah seperti:


1. Penyakit bawaan air dan makanan


Antara yang kerap berlaku sewaktu dan selepas banjir adalah demam kepialu (tifoid), taun, hepatitis A, jangkitan usus dan keracunan makanan. Gejala penyakit ini seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut dan sakit kepala.

Cara jangkitan penyakit ini adalah melalui minum air atau makan makanan yang dicemari kuman penyakit terbabit. Ia sangat mudah berjangkit dan bahaya.

2. Leptospirosis


Ia disebabkan bakteria Leptospira yang wujud dalam air kencing haiwan mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing dan lembu.

Penyakit ini boleh berjangkit kepada manusia yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air atau air banjir yang dicemari air kencing haiwan yang dijangkiti bakteria ini.

Antara tanda penyakit leptospirosis ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, mata merah, ruam, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman.

3. Konjunktivitis atau sakit mata


Ia juga kerap terjadi ketika banjir. Sakit mata mudah merebak dengan cepat daripada seorang pesakit kepada orang lain melalui perkongsian alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan serta bergaul rapat dengan orang yang sakit mata.

Penyakit yang disebabkan oleh bakteria atau virus atau alahan ini adalah radang pada bahagian putih mata. Antara gejala sakit mata ialah mata merah, berair dan pedih; discaj tahi mata yang berlebihan, mata terasa gatal dan mata sensitif terhadap cahaya.

4. Demam denggi


Selepas banjir surut, banyak kawasan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Oleh itu, semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan tiada tempat yang boleh menakung air seperti plastik, tin minuman dan bekas makanan polistirena yang digunakan atau hanyut ketika banjir.

Semua bekas ini perlu dibuang dengan betul, malah setiap penghuni rumah juga perlu memastikan persekitaran rumah bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes ini.

Antara tandanya, demam mengejut dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot, sakit pinggang yang teruk dan gatal-gatal.

Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bintik-bintik merah terang dan biasanya muncul di anggota bawah pada sesetengah pesakit, ia merebak hampir kepada keseluruhan tubuh.

Tanda pada kulit yang klasik ialah seluruh kulit tubuh bertukar kemerahan diselangi dengan tompok kulit warna yang normal.

Kemungkinan terjadi gastritis dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-cirit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luar biasa radang otot jantung.

Langkah keselamatan yang perlu diambil


l l Ketika banjir, sentiasa patuhi arahan daripada pihak berkuasa.

l l Pindah segera ke pusat pemindahan apabila diarahkan.

l lJangan biarkan kanak-kanak bermain air banjir.

l l Tutup semua suis utama elektrik, injap utama bekalan air dan gas sebelum meninggalkan rumah.

l l Sentiasa menjaga keselamatan warga tua, kanak-kanak dan ibu hamil.


Jaga kesihatan

l l Pastikan air yang diminum bersih dan dimasak sempurna atau minum air yang dibotolkan.

l l Sentiasa makan makanan yang dimasak dan masih panas. Jika makan buah, kupas kulit dan elakkan makan makanan mentah.

l l Jaga kebersihan diri dan persekitaran; sentiasa basuh tangan dengan sabun dan air bersih, gunakan tandas yang sempurna dan buang sampah di tempat yang betul.

l l Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami demam, cirit-birit, muntah dan sebagainya.

l l Patuhi nasihat yang diberikan oleh petugas kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:05 AM