BILANGAN kanak-kanak rabun jauh semakin meningkat akibat penggunaan gajet elektronik berlebihan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


MATA sihat dengan penglihatan yang baik penting untuk perkembangan akademik kanak-kanak, malangnya jumlah kanak-kanak miopia atau rabun jauh adalah tinggi dan kebanyakan masalah itu tidak dikesan awal.

Kajian di negara kita menunjukkan bilangan kanak-kanak mengalami miopia amat membimbangkan disebabkan kurang mendapatkan pemeriksaan mata.

Kanak-kanak miopia tidak dapat melihat objek jauh dengan jelas kerana kornea mereka terlalu melengkung atau bola mata terlalu panjang menyebabkan objek kabur berikutan cahaya yang masuk difokuskan ke ruang di hadapan retina.

Antara faktor ini berlaku adalah penggunaan mata dengan cara yang salah seperti melihat televisyen atau gajet terlalu lama

serta membaca dalam keadaan tidak cukup cahaya.

Kanak-kanak yang kurang bermain di luar rumah turut berdepan masalah rabun. Namun, miopia juga berlaku disebabkan keturunan.

Ia menjejaskan pembelajaran kanak-kanak kerana menyukarkan mereka melihat, belajar dan memahami.

Oleh itu, jika tidak dirawat awal boleh menjejaskan personaliti dan menyesuaikan diri dengan sekeliling.

Ramai yang miopia tidak menyedari ada cara mengawal keadaannya pada peringkat awal.

Sehubungan itu, HOYA Vision Care meneruskan inovasi memperbetulkan dan mengawal miopia dengan memperbaiki masalah penglihatan.

Penyedia kanta cermin mata itu bekerjasama dengan Universiti Politeknik Hong Kong sejak enam tahun lalu memperkenalkan kanta berinovasi terkini dikenali MiyoSmart dengan teknologi Defocus Incorporated Multiple Segments (DIMS), baru-baru ini.

Pakar optometri universiti itu, Profesor Carly SY Lam berkata, bilangan kanak-kanak miopia dijangka meningkat berikutan cenderung melakukan aktiviti jarak dekat dan kurang meluangkan masa di luar rumah selain faktor keturunan, tabiat serta persekitaran.

“Menjelang 2050, dianggarkan separuh populasi dunia atau hampir lima bilion penduduk akan terjejas oleh miopia yang berpunca daripada faktor genetik, penggunaan teknologi moden seperti komputer dan gajet, persekitaran serta gaya hidup tidak sihat.

“Lebih membimbangkan, miopia ada kaitan dengan risiko glaukoma dan katarak yang boleh menjejaskan kualiti hidup manusia. Walaupun jumlah anggaran besar, pengetahuan mengenai miopia masih sedikit dan kesedaran mengenainya juga rendah,” katanya.

Katanya, miopia sederhana hingga tinggi memerlukan kuasa -5.00 diopter atau lebih untuk pembetulan kanta, berkait dengan peningkatan risiko masalah mata yang boleh mengakibatkan buta seperti degenerasi retina, penanggalan retina, katarak dan glaukoma.

Oleh itu, adalah penting mengawal miopia daripada terus berkembang terutama kanak-kanak yang sedang membesar.

“Kami menjalankan ujian klinikal dubel buta secara rawak selama dua tahun, membabitkan 160 kanak-kanak berusia 8 hingga 13 tahun yang mengalami miopia.

“Dalam 60 peratus kes kanak-kanak memakai cermin mata kami mengalami pengurangan perkembangan miopia manakala dalam 21.5 peratus kes berjaya mengekang perkembangan miopia sepenuhnya.

“Keputusan ujian klinikal ini membuktikan keberkesanan kanta tidak invasif dalam memperbaiki penglihatan kanak-kanak miopia di samping memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Katanya, kanta MiyoSmart teknologi DIMS bersama perlindungan UV mempunyai zon optik tengah untuk memperbetulkan ralat refraktif dan segmen defokus berganda di sekeliling zon tengah kanta yang mengunjur hingga ke bahagian pinggir tengah bagi mengawal perkembangan miopia.

“Ia memberi penglihatan jelas dan defokus miopia secara serentak pada semua jarak penglihatan. Kanta itu menggunakan mekanisme homeostatik semula jadi dikenali sebagai 'emetropia' dan bebola mata menyesuai dan membentuk untuk menerima imej yang difokuskan sebagaimana penglihatan normal.

“Kanta ini mengekang perkembangan miopia sebanyak 60 peratus, memperlahankan pertumbuhan paksi mata secara purata sebanyak 60 peratus dan menghentikan perkembangan miopia 21.5 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 5:00 AM