SOKONGAN keluarga bantu Nur Zarifah Syahirah (dua kanan) menguruskan penyakitnya.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


BIARPUN sudah jelas fakta penyakit jantung terus kekal sebagai penyebab utama kematian rakyat Malaysia, tetapi kesedaran orang ramai terhadap masalah perubatan lain yang menjejaskan kesihatan jantung masih rendah.

Satu daripada masalah perubatan kompleks adalah penyakit hipertensi pulmonari (HP) yang menjejaskan kesihatan jantung dan paru-paru.

Ia dikatakan jarang berlaku, namun penyakit ini berkembang dengan cepat dan tanda-tanda awalnya sering terlepas pandang.

Bagi memberi kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai HP, Institut Jantung Negara (IJN) menganjurkan sesi perkongsian bertajuk Hidup Dengan Hipertensi Pulmonari membicarakan mengenai penyakit itu bersama pesakit dan doktor pakar, baru-baru ini.

Pakar Perunding Kardiologi Pediatrik IJN, Dr Leong Ming Chern berkata, HP terbahagi kepada lima jenis kumpulan yang disebabkan punca berlainan.

“Segelintir pesakit mungkin mendapat penyakit itu disebabkan keturunan ataupun dilahirkan bersamanya, manakala yang lain disebabkan oleh penyakit lain.

“Selain kegagalan jantung, HP juga mengakibatkan komplikasi lain seperti darah beku dalam paru-paru dan batuk berdarah (haemoptysis),” katanya pada sesi bicara berkenaan.

HP adalah keadaan arteri paru-paru seseorang mempunyai tekanan darah yang tinggi.

Ia memberi kesan kepada arteri dalam paru-paru dan bahagian kanan jantung.

Penyakit itu bermula apabila salur darah arteri dan kapilari paru-paru menjadi kecil, tersekat atau musnah.

Ini menjadikan darah sukar mengalir melalui paru-paru lalu meningkatkan tekanan dalam arteri paru-paru.

Apabila tekanan semakin meningkat, ruang bawah kanan jantung (ventrikel kanan) terpaksa bekerja keras untuk mengepam darah melalui paru-paru menyebabkan otot jantung menjadi lemah dan akhirnya gagal.

Dr Leong berkata, malangnya sehingga kini HP masih belum ada penawarnya dan pesakit terpaksa menanggung rawatan seumur hidup, namun penyakit terbabit boleh diuruskan dengan cekap dengan rawatan yang tepat.

“Sebab itu diagnosis awal amat penting untuk rawatan dan membantu mereka melakukan perubahan dalam gaya hidup sebelum penyakit menjadi lebih teruk.

“Tahap awal pesakit mungkin tidak mengalami sebarang simptom dan ini turut menjadi sebahagian masalah HP “Namun, tanda-tanda biasa penyakit ini seperti kurang nafas, keletihan, rentak jantung tidak sekata, pengsan dan rasa tidak selesa dalam dada.

“Apabila pesakit sudah didiagnosis dengan HP, doktor akan mengkelaskan tahap keseriusan penyakit berkenaan dalam empat zon (putih, hijau, kuning dan merah) yang bergantung kepada bagaimana sesuatu simptom itu boleh menjejaskan pesakit,” katanya.


SESI perkongsian bersama pesakit dikendali Pakar Perunding Kardiologi IJN, Dr Teoh Chee Kiang (kiri) dan Dr Leong (dua dari kiri).

Empat zon HP

Zon putih

- Pesakit mungkin tidak mengalami sebarang simptom walaupun melakukan aktiviti rutin yang normal.

Zon hijau

- Pesakit tidak mengalami simptom ketika berehat, tetapi keletihan, sesak nafas atau sakit dada ketika melakukan aktiviti normal.

Zon kuning

- Pesakit mungkin rasa selesa ketika tidak melakukan apa-apa sebaliknya simptom datang apabila aktif melakukan aktiviti fizikal.

Zon merah

- Apabila pesakit mendapat simptom sama ada melakukan aktiviti fizikal ataupun tidak.

Komplikasi

Bahagian kanan jantung membengkak

Kegagalan jantung

Darah beku dalam saluran paru-paru

Rentak jantung tidak normal

Batuk berdarah

Rawatan

Memahami rawatan HP juga perkara yang penting berikutan terdapat banyak jenis ubat bagi merawat penyakit ini dan setiap jenis ubat itu diambil berasingan kerana mempunyai fungsi berlainan atau setiap ubat diambil bersama.

“Bagi pesakit yang mengalami terlalu banyak endothelin (ET) iaitu sebatian pada dinding saluran darah yang menyebabkan penyempitan, ubat antagonis perencat endothelin (ERA) akan digunakan untuk membantu menenangkan dan membesarkan saluran darah dalam paru-paru serta pada masa sama mengurangkan pertumbuhan berlebihan sel pada dinding saluran.

“Pesakit yang tidak mencukupi nitrik oksida (NO) iaitu sejenis gas dihasilkan badan manusia untuk membesarkan pulmonari perlu mengambil perencat Phosphodiesterase Jenis 5 (PDE5i) yang membantu meningkatkan NO dalam badan, selain menenangkan dan membesarkan saluran darah dalam paru-paru serta mengurangkan pertumbuhan berlebihan sel pada dinding saluran.

“Pesakit tidak cukup prostasiklin atau hormon pelindung kardio yang dilepaskan lapisan endotelium saluran darah memerlukan terapi sasaran dalam laluan hormon itu yang berfungsi dengan membuka saluran darah dan menghalang pertumbuhan berlebihan sel dalam arteri pulmonari,” katanya.

Kebanyakan tanda HP adalah akibat kegagalan fungsi ventrikel kanan yang bertanggungjawab mengepam darah ke dalam paru-paru. Dengan penyempitan progresif arteri pulmonari, ventrikel kanan akan mencapai had maksimum kuantiti darah yang boleh dipam ke paru-paru dan mula gagal.


DR Leong

Sokongan keluarga beri semangat

Nur Zarifah Syahirah Zainudin, 17, yang disahkan menghidap PH sejak tiga tahun lalu menjadikan sokongan ahli keluarga sebagai pembakar semangat untuk meneruskan perjalanan hidup kerana tanpa rawatan, keadaannya bertambah buruk dan jangka hayat akan menjadi pendek.

“Kos ubat saja mencecah puluhan ribu sebulan kerana harga ubat yang mahal.

“Saya memerlukan lima jenis ubat yang mempunyai fungsi berlainan bagi merawat HP.

“Mujur ibu bapa ada mengambil insurans untuk saya dan kos ditanggung oleh pihak insurans.

“Selain ubatan, saya juga perlu menjalani pelbagai ujian seperti ekokardiogram, elektrokardiogram (ECG) dan angiogram bagi mengesan perkembangan penyakit ini.

“Ujian sebegini dilakukan setiap bulan di IJN bagi membolehkan doktor membuat pemantauan,” katanya.

Menceritakan semula detik awal menghidap penyakit itu, Nur Zarifah Syahirah berkata, dia mengalami simptom seperti cepat penat walaupun berjalan selain tidak boleh mengangkat barang yang berat.

“Masalah itu berlaku dalam tempoh setahun, tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa sebaliknya memikirkan kemungkinan penat disebabkan aktif melakukan pelbagai aktiviti sukan.

“Saya seorang yang aktif bersukan dan kerap menyertai acara larian serta berbasikal.

“Oleh itu, saya fikir rasa cepat penat itu mungkin disebabkan tidak cukup rehat sehinggalah satu hari saya jatuh pengsan ketika berbasikal.

“Saya dimasukkan ke hospital namun masalah sebenar saya tidak dapat dikesan sehingga terpaksa dirujuk ke hospital lain sebelum disahkan menghidap HP.

“Saya kemudian dirujuk ke IJN kerana pusat jantung mempunyai kepakaran merawat HP,” katanya.

Dia berkata, kehidupannya berubah selepas disahkan menghidap penyakit itu apabila tidak boleh lagi menyertai aktiviti kegemarannya, selain perlu mengehadkan pergerakan rutin.

“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan termasuk guru di sekolah.

“Saya tidak bersendirian kerana mereka banyak membantu saya dalam mengharung penyakit ini.

“Biarpun tidak lagi aktif dengan aktiviti luar, ia memberi ruang kepada saya menghidupkan minat lain dalam dunia penulisan kerana saya juga bercita-cita ingin menjadi penulis novel,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:40 AM