APLIKASI bantu pesakit kulit dan radang sendi urus kehidupan mereka.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


PESAKIT kulit kronik psoriasis, artritis psoriatik (PsA) dan artritis ankylosing spondylitis (AS atau kejur) perlu mengawal kehidupan mereka yang terjejas akibat penyakit terbabit sepanjang hayat berikutan ia penyakit kronik yang tidak boleh disembuhkan.

Lebih 10 peratus pesakit dermatologi di Malaysia mengalami psoriasis yang disebabkan gangguan sistem imun badan yang menyebabkan pertumbuhan sel-sel kulit lebih cepat iaitu tiga hingga tujuh hari berbanding 21 hingga 28 hari dalam keadaan biasa.

Walaupun rekod melaporkan kira-kira 12,000 kes psoriasis di Malaysia, dianggarkan angka sebenar adalah jauh lebih tinggi iaitu kira-kira 500,000 pesakit dengan 30 peratus diramalkan akan mengalami PsA.

PsA adalah penyakit radang sendi selepas mendapat psoriasis dan ia membabitkan sendi tangan dan kaki, tulang belakang atau kedua-duanya. Pesakit PsA lazimnya mengadu sakit dan ketegangan pada sendi yang terbabit.

Ketegangan sendi biasanya lebih teruk pada waktu pagi dan berlanjutan melebihi 30 minit. Rasa tegang atau keras ini bertambah teruk sekiranya sendi itu tidak digerakkan untuk jangka masa yang panjang.

AS pula adalah sejenis artritis yang umumnya memberi kesan kepada tulang belakang. Ia amat menyakitkan dan boleh bertambah buruk sehingga mengakibatkan keradangan pada sendi-sendi tulang belakang.

Keradangan pada tulang belakang itu kemudian mengakibatkan kerosakan struktur yang tidak boleh dipulihkan hingga menjejaskan pergerakan pesakit yang akan memberi pengaruh besar terhadap kualiti hidup mereka.

Bagi membantu pesakit psoriasis, PsA dan AS menguruskan penyakit mereka dengan lebih baik, Novartis Malaysia melancarkan Let’s Be Clear iaitu aplikasi kesihatan mudah alih baru yang menyediakan penyelesaian lanjutan daripada perubatan, baru-baru ini.

Aplikasi ini menyediakan platform mesra pengguna bagi pesakit untuk menguruskan penyakit mereka dengan bantuan Internet. Ia menawarkan pelbagai ciri berguna termasuk pengimbas kod QR untuk memudahkan pemantauan pengambilan ubat dan penebusan yang memberi ganjaran apabila pesakit mematuhi proses pengambilan ubat.

Malah, peringatan bagi mendapatkan suntikan yang seterusnya, temu janji doktor dan maklumat penting yang lain juga boleh ditambah kepada halaman utama untuk memudahkan pesakit membuat rujukan.

Pengarah Urusan Novartis Malaysia dan Brunei, Patrik Grande berkata, aplikasi dibangunkan secara khusus bagi pesakit yang menggunakan rawatan biologik daripada syarikat farmaseutikal berkenaan untuk merawat psoriasis tahap sederhana dan teruk, PsA serta AS.

“Kami memahami beban harian yang dihadapi pesakit terbabit dan percaya aplikasi ini dapat memainkan peranan penting dalam menyediakan cara yang mudah namun menyeluruh kepada pengguna ubat biologik kami di Malaysia untuk menguruskan keadaan kesihatan mereka.

“Kelebihan aplikasi ini juga disokong oleh laman pemuka bagi doktor yang membolehkan mereka mendapatkan laporan pesakit, lantas memastikan mereka dapat memantau perkembangan dan kemajuan rawatan pesakit.

“Ini kerana, pesakit didapati sukar untuk menentukan sama ada keadaan mereka bertambah buruk atau rawatan mereka berkesan atau tidak. Oleh itu, menyimpan butiran penting dalam jurnal, menilai dan mengesan simptom serta menetapkan peringatan penting membolehkan pesakit mampu menangani keadaan kesihatan mereka,” katanya.

Katanya, bagi penghidap psoriasis yang mendakwa tidak melihat sebarang pemulihan dalam keadaan kulit mereka selama bertahun-tahun, aplikasi ini akan membantu mereka mengesan dan tidak akan terlepas pandang perubahan positif ini.

Dalam pada itu, pesakit yang mengalami kesakitan kronik akibat PsA dan AS boleh memaklumkan tahap penyakit mereka kepada doktor yang merawat dalam langkah menambah baik kaedah rawatan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:20 AM