Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Satu kajian dijalankan di Korea Selatan mengkaji hubungan, antara kualiti tidur dan tabiat tidur memakai stoking.

Rumusan kajian itu mendapati kualiti tidur bagi individu yang memakai stoking lebih baik berbanding yang tidak memakai sarung kaki itu.

Kualiti tidur yang baik dinilai berdasarkan tempoh yang diambil untuk tidur, tempoh tidur, kekerapan terjaga dan kecekapan tidur berdasarkan pengiraan tertentu dalam tempoh tujuh jam kepada enam individu.

Individu yang mengenakan stoking purata masa diambil sekitar 7.5 minit lebih singkat, sementara 32 minit lebih lama, sekitar tujuh kali ganda berkurang untuk bangun dan kecekapan sekitar 7.6 peratus dalam tempoh tujuh jam waktu tidur dikaji berbanding mereka yang tidur tanpa stoking.

Dalam kajian yang sama purata suhu kaki individu mengenakan stoking 1.3 darjah Celsius lebih tinggi dan begitu juga dengan badan mereka berbanding individu tidak mengenakan stoking dilihat membantu meningkatkan kualiti tidur.

Sebenarnya wujud 'jam biologi' yang mengawal secara semula jadi waktu tidur dan bangun kita yang dikenali sebagai ritma sirkadian.

Secara tidak langsung ia ada kaitan dengan suhu badan seseorang iaitu apabila suhu badan meningkat, biasanya badan akan berasa segar kerana ketika itu tenaga dihasilkan.

Suhu badan kemudian menurun pada waktu malam, membuat seseorang berasa mengantuk terutama apabila kita mula tidur, suhu badan berkurangan sebanyak satu hingga dua darjah. Ini mungkin kerana badan memelihara tenaga untuk fungsi lain.

Kesan pemakaian stoking dilihat membantu mengawal kitaran suhu badan supaya tidak terlalu drastik yang mana akan mempengaruhi kesan fungsi tubuh.

Dalam kajian lain yang dijalankan Knab dan Engel menekankan dua kaedah membabitkan aspek luaran bagi membolehkan seseorang itu mendapat tidur yang lebih baik iaitu:

1. Membentuk persekitaran menggembirakan

Persekitaran yang selesa untuk tidur tidak semestinya merujuk pada katil atau tilam yang empuk semata-mata, sebaliknya suasana ruang tidur termasuk warna dan susun atur boleh mengoptimumkan kualiti tidur.

Manakala suhu 25 hingga 27 darjah Celsius adalah terbaik untuk mendapatkan tidur yang lena.

2. Rangsangan pada tubuh

Rangsangan tertentu pada tubuh sebelum atau semasa tidur untuk mendorong tanggapan fisiologi yang diinginkan, seperti pemanasan badan pasif bagi meningkatkan suhu badan.

Memakai stoking adalah cara paling mudah untuk melindungi kaki iaitu anggota yang mudah dipengaruhi perubahan suhu supaya badan rasa selesa.

Selain membantu badan tetap panas, memakai stoking pada sebelah malam juga mempunyai faedah tambahan:

i. Mencegah peningkatan suhu badan secara tiba-tiba

Sering berlaku terhadap wanita menopaus. Sesetengah wanita mendapati memakai stoking berguna untuk menyejukkan suhu badan mereka.

ii. Mengelakkan tumit merekah

Memakai stoking kapas selepas mandi atau mencuci kaki dapat membantu menjaga tumit daripada masalah kulit kering.

iii. Meningkatkan potensi orgasme

Menurut BBC, penyelidik secara tidak sengaja mendapati bahawa memakai stoking meningkatkan keupayaan pasangan untuk mencapai orgasme sebanyak 30 peratus.

iv. Mengurangkan peluang serangan Raynaud

Penyakit Raynaud adalah masalah rasa berdenyut dan bengkak yang disebabkan aliran darah tidak lancar pada bahagian jari terutama kaki.

Memakai stoking pada waktu malam dapat membantu mencegah serangan dengan menjaga kaki supaya terus hangat dan peredaran darah juga lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:00 AM