PEMERIKSAAN telinga jarang dilakukan berbanding lain-lain bahagian tubuh.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PERTUBUHAN Kesihatan Dunia (WHO) menjangkakan lebih 900 juta penduduk dunia menghidapi masalah pendengaran menjelang 2050. Dalam kata mudah, dianggarkan satu dalam 10 orang akan ada masalah pendengaran.

Tahun lalu saja, data mengenai masalah pendengaran mencatatkan sekitar lima peratus populasi dunia atau kira-kira 466 juta manusia. Di Malaysia saja isu berkaitan masalah pendengaran tidak saja dialami 3.3 juta warga emas malah kanak-kanak juga mula mengalami masalah ini.

Menurut Pengasas Soundlife Hearing yang juga Pakar Audiologi, Alleya Cheng, tanggapan mengenai kualiti pendengaran itu menurun kerana peningkatan usia menyebabkan masalah itu jarang ditangani umum.

“Masyarakat menganggap masalah pendengaran adalah perkara semula jadi yang berlaku seiring dengan peningkatan usia. Biasanya toleransi mereka terhadap masalah itu tinggi sehingga tidak hirau untuk mendapatkan nasihat pakar pemulihan pendengaran atau audiologi.

“Sebenarnya, masalah pendengaran boleh menimpa semua peringkat umur. Inilah sebabnya sangat penting untuk kita menjalani saringan awal bagi membantu mengurangkan komplikasi lain akibat masalah pendengaran terutama dalam kalangan kanak-kanak.

“Tambah pula peningkatan penggunaan fon telinga dan kepala disebabkan gaya hidup masa kini (terlalu asyik dengan telefon pintar) turut menjejaskan fungsi pendengaran pada awal usia.

“Anda harus jalani saringan agar boleh tahu adakah anda perlu mendapatkan bantuan tertentu termasuk menggunakan alat bantuan dalam meningkatkan daya pendengaran supaya dapat menikmati hidup yang lebih berkualiti,” katanya.

Meskipun alat akustik itu tidak boleh memulihkan gangguan pendengaran yang dialami seseorang, ia dapat mengurangkan masalah pendengaran supaya tidak menjadi lebih teruk.


PENGGUNAAN alat bantuan pendengaran penting.

Cheng berkata, ada lima sebab mengapa kita memerlukan alat bantuan pendengaran yang sesuai jika mengalami masalah ini iaitu:

1. Menghindar demensia

Demensia dan masalah pendengaran mempunyai kaitan apabila beberapa kajian dilakukan mendapati daya pendengaran menyusut boleh mengundang demensia. Jalani saringan dengan pakar atau doktor telinga, hidung dan tekak untuk mencegah daripada menghidapi demensia pada awal usia.

2. Kemudahan dan keselesaan mendengar

Peranan alat itu adalah untuk meningkatkan keupayaan mendengar dan membuatkan seseorang itu dapat mengenal pasti bunyi persekitaran dengan lebih jelas.

Maka, mereka boleh fokus memilih untuk mendengar perkara ingin didengar tanpa gangguan persekitaran. Dalam pada itu, ia juga menjadikan mereka selesa apabila dapat membezakan satu bunyi dengan bunyi lain.

3. Komunikasi dan keyakinan diri meningkat

Apabila anda berada dalam persekitaran yang memerlukan anda berkomunikasi, pendengaran yang baik amat penting supaya ‘input’ dan ‘output’ berlangsung dengan tepat.

Justeru, ruang membuat kesilapan juga berkurangan apabila tiadanya masalah pendengaran dan ini membantu anda mengatur langkah lebih yakin meskipun dalam persekitaran ramai orang.

4. Mengurangkan tekanan

Apabila berada dalam kelompok atau dalam suasana hiruk-pikuk, anda tidak mendengar dengan lebih jelas, itu sendiri sudah mengundang rasa marah.

Bayangkan mereka yang menghidapi masalah pendengaran dan sepanjang masa tidak dapat mendengar dengan baik. Ia akan membuatkan mereka rasa tertekan dan terasing kerana tidak dapat mengambil bahagian dalam perbualan dengan saudara atau sahabat.

5. Meningkatkan keseimbangan

Perlu diketahui bahawa telinga adalah pusat keseimbangan tubuh manusia. Jika deria pendengaran bermasalah, maka anda akan hilang keseimbangan badan.

Alat bantuan pendengaran akan membantu fungsi pendengaran dengan betul supaya keseimbangan tubuh akan bertambah baik.

Cheng berkata, pihaknya sering menganjurkan kempen pendengaran, terkini pada Julai lalu, dan mengambil inisiatif menyumbang 16 unit alat bantuan pendengaran bernilai RM92,800 yang didermakan kepada individu mempunyai masalah pendengaran dengan pendapatan isi rumah kurang RM2,500 sebulan menerusi program ‘Hope for Hearing Project’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:10 AM