Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


SEBAIK bangun daripada tidur dan kelihatan ada tanda-tanda lebam, timbul persoalan, bagaimana ia boleh muncul? Sedangkan kita tidak melakukan sebarang aktiviti lasak yang boleh mendatangkan kecederaan.

Bila mencari jawapan, biasanya keadaan itu dilihat sebagai petanda misteri dan dikaitkan dengan unsur mistik seperti mana kepercayaan masyarakat kita yang mengatakan ia adalah petanda gangguan makhluk halus.

Menurut Pakar Kardiologi, Dr Choor Chee Ken, dalam meniti dunia moden seharusnya tanda lebam yang berlaku ketika tidur itu tidak dikaitkan dengan gangguan mistik atau digigit hantu.


SERING berlaku pada anggota tubuh kerap bersentuhan seperti kaki dan tangan.

Ada penerangan lebih rasional dan berasaskan saintifik bagi menjelaskan bagaimana masalah lebam boleh timbul tanpa sebarang trauma.

Katanya, masalah lebam yang muncul selepas tidur berkait dengan fisiologi tubuh individu khususnya mereka yang mempunyai saluran darah lebih tipis dan rapuh.

“Masalah lebam muncul tiba-tiba selepas bangun tidur sebenarnya bukanlah disebabkan gangguan mistik ataupun ‘dicubit’ hantu, sebaliknya ia boleh terjadi andai individu itu mempunyai saluran darah lebih nipis.

“Biasanya keadaan ini sering menimpa wanita kerana saluran darah wanita lebih kecil dan tisu kulit mereka lebih tipis berbanding lelaki. Namun ia tidak berbahaya dan boleh pulih tanpa rawatan,” katanya.

Kata Dr Choor, dalam kebanyakan kes, kecederaan menjadi punca utama lebam tetapi ada juga keadaan di mana lebam bukan disebabkan kemalangan atau trauma.

“Umumnya, lebam adalah keadaan di bawah permukaan kulit yang mana sel darah merah terkeluar daripada saluran darah di permukaan kulit. Apabila sel darah yang asalnya berwarna merah ini terkeluar, ia akan bertukar warna menjadi ungu apabila tidak mendapat oksigen.


DR Choor

“Lama-lama ia akan hilang dan warna ungu tadi beransur-ansur menjadi kehijau-hijauan dan beralih ke kuning lalu hilang. Biasanya proses ini mengambil masa dua minggu dan rasa sakitnya mungkin hanya satu atau dua hari selepas kecederaan berlaku.

“Namun bagi kes tertentu, lebam juga boleh berlaku disebabkan kesan sampingan dalam pengambilan ubat yang mencairkan darah. Ini merujuk pada kes lebam yang sering dialami pesakit jantung dan strok apabila mereka mengambil aspirin.

“Selain aspirin, ubat steroid juga boleh menyebabkan individu yang mengambilnya lebih mudah mendapat lebam kerana saluran darah pada kulit makin menipis,” katanya.

Selain kecederaan akibat kemalangan dan pengambilan ubat, kata Dr Choor, kehadiran lebam boleh juga menjadi gejala kepada penyakit lebih berbahaya seperti leukemia dan penyakit hati.

“Biasanya lebam yang disebabkan faktor kecederaan atau saluran darah rapuh tidak mencetus komplikasi serius dan akan pulih secara semula jadi.

“Namun, yang perlu diambil perhatian ialah kes lebam yang merujuk pada keadaan luar biasa seperti lebam itu mula merebak disusuli rasa sakit bagi tempoh lama dan jika ia kerap berulang.

“Contohnya kes lebam yang lama dan tidak sembuh mungkin ada kaitan dengan masalah darah iaitu platelet iaitu sel penting dalam pembekuan darah.

“Dalam keadaan sebegini, sangat penting untuk seseorang itu menjalani saringan kesihatan terutama kumpulan pesakit berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga mempunyai penyakit hati atau kanser darah untuk pengesanan awal,” katanya.

Dr Choor berkata, rawatannya bergantung pada puncanya.

“Dalam kes lebam akibat trauma, elak rawatan kaedah alternatif seperti bekam, akupuntur atau urutan kerana boleh memburukkan lagi keadaan.

“Kaedah terbaik adalah terapi sejuk iaitu dengan meletakkan pek ais pada kawasan tercedera dan kemudian berehat daripada melakukan aktiviti boleh menjejaskan proses pemulihan anggota berkenaan.

“Namun, orang kita lebih suka pergi mendapatkan rawatan alternatif kerana kononnya boleh membuang darah beku.

“Bagi saya, ia lebih memudaratkan kerana individu yang mengalami masalah lebam ini perlu tahu bahawa keadaan itu disebabkan saluran darah pecah. Rawatan bekam dan akupuntur akan mendedahkan mereka kepada jangkitan kuman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 6:01 AM
TIDAK boleh menggunakan minyak panas dan urut.