Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


TANPA ujian saringan air kencing, penyakit glomerulonefritis atau radang buah pinggang sukar dikenal pasti dalam kalangan masyarakat dengan lebih awal hingga meletakkan situasi pesakit di tahap paling kronik.

Masalah ini selalunya dikesan apabila seseorang individu dikehendaki melakukan ujian saringan kesihatan bagi memenuhi kriteria diperlukan majikan atau syarikat baharu.

Pakar Nefrologi UiTM Private Specialist Centre, Dr Muhammad Iqbal Abdul Hafidz berkata, radang ginjal ini boleh dikesan melalui simptom awal seperti kencing berdarah, kurang selera makan, tekanan darah tinggi dan loya.

“Simptom kencing berdarah adalah petanda utama seharusnya dititikberatkan meskipun ia berlaku sekali dalam tempoh yang lama.

Faktor lain, masalah radang ginjal (glomerulonefritis) serius, sista dalam buah pinggang yang selalunya diwarisi secara genetik dan jangkitan kuman kronik hingga menyebabkan kencing kotor serta berbau atau demam menggigil. FOTO Khairul Azhar Ahmad

“Kencing berdarah atau hematuria boleh berlaku dalam dua keadaan, hematuria makroskopik (boleh dilihat dengan mata kasar) dan hematuria mikroskopik (hanya dikesan melalui ujian air kencing).

“Hematuria makroskopik selalunya berpunca daripada masalah batu karang membuatkan rasa sakit di bahagian perut, belakang dan pundi kencing ketika ingin membuang air.

“Selain itu, ia juga diakibatkan ketumbuhan atau kanser pada sistem perkumuhan terutama di bahagian ureter (salur kencing) dan pundi kencing.

“Faktor lain, masalah radang ginjal (glomerulonefritis) serius, sista dalam buah pinggang yang selalunya diwarisi secara genetik dan jangkitan kuman kronik hingga menyebabkan kencing kotor serta berbau atau demam menggigil.

“Bagi kes ini, segelintir pesakit akan mendapatkan rujukan doktor dan diberikan rawatan segera.

FOTO NSTP

“Walaupun masalah ini hanya berlaku sekali sepanjang usia kita, tidak seharusnya diabaikan kerana ia petanda awal masalah buah pinggang pesakit.

“Selalunya hematuria makroskopik terjadi dalam kalangan warga emas yang dibimbangi berdepan risiko kanser ginjal dan pundi kencing.

“Manakala orang muda pula dikaitkan dengan masalah batu karang,” katanya ketika ditemui.

Mengulas mengenai hematuria mikroskopik, Dr Muhammad Iqbal menyifatkan ia jauh lebih serius kerana tidak boleh dikesan dengan pandangan mata kasar.

FOTO NSTP

Jelasnya, hematuria jenis ini hanya boleh dikenal pasti apabila individu melakukan ujian saringan air kencing yang dilaksanakan secara ‘tidak sengaja’ seperti menyertai organisasi atau pekerjaan baharu.

Meskipun air kencing tidak berdarah, hasil ujian mendapati kadar protein dan darah tinggi dalam air kencing menjadi penanda aras bahawa pesakit mengalami masalah glomerulonefritis.

Apabila ginjal tercedera, ia tidak mampu menjalankan tugasnya seperti menghilangkan sisa buangan dan bendalir tambahan di dalam badan.

Situasi ini menyebabkan individu mengalami simptom pembengkakan di kaki dan muka menjadi sembap kerana kandungan air yang banyak dalam tubuh.

Lebih mengejutkan, radang buah pinggang biasanya didiagnosis ketika ia berada di tahap paling kronik yang mengakibatkan pesakit berdepan kegagalan fungsi buah pinggang secara total.

SAKIT bahagian perut tanda masalah batu karang.

“Selalunya hematuria mikroskopik dan radang buah pinggang berlaku terhadap golongan muda berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Masalah ini dikenal pasti apabila mereka menjalani ujian saringan kesihatan.

“Jika penyakit ini dikesan lebih awal, mungkin ginjal mereka dapat diselamatkan daripada terpaksa menjalani rawatan dialisis seumur hidup.

“Kita tidak dapat mengenal pasti punca sebenar glomerulonefritis kerana ia tidak mempunyai kaitan dengan genetik, pencemaran, gaya hidup mahupun pemakanan.

“Ia boleh disifatkan sebagai keadaan yang mana sistem badan ‘menyerang’ buah pinggang sendiri secara tiba-tiba,” katanya.

Dr Muhammad Iqbal berkata, kesedaran mengenai komplikasi kencing berdarah dalam kalangan masyarakat tidak ketara kerana ia bukan isu kesihatan yang sering diperkatakan.

Katanya, 20 peratus daripada 20,000 pesakit buah pinggang dikenal pasti berpunca daripada glomerulonefritis.

BERAT BADAN TURUN MENDADAK

Juruteknik, Mohd Sobri Ahmad Yatim berkata, dia tidak menyedari simptom dialami dalam tempoh beberapa tahun seperti sakit kepala, sakit sendi, kerap demam dan kurang selera makan menjadi petunjuk awal masalah ginjalnya.

Kemuncaknya, lelaki berusia 33 tahun itu menjalani ujian saringan pada awal 2016 dan disahkan menghidap masalah buah pinggang peringkat akhir.

“Apabila saya jatuh sakit hingga badan jadi lemah, saya mendapatkan pemeriksaan daripada pakar nefrologi.

“Pada hari sama, saya dimasukkan ke wad dan perlu menjalani dialisis kecemasan kerana buah pinggang tidak lagi berupaya menapis darah.

“Bermula hari itu, saya didiagnosis sebagai pesakit buah pinggang tahap akhir yang memerlukan dialisis tiga kali seminggu.


“Jika dikaji mengenai latar belakang keluarga, tiada yang pernah menghidap penyakit buah pinggang.

“Perubahan paling ketara berlaku kepada saya adalah berat badan turun mendadak,” katanya ketika dihubungi.

Menjalani rawatan dialisis selama setahun, Mohd Sobri mencari alternatif perubatan lain sebelum menemui dan bersedia menjalani prosedur transplan buah pinggang.

Dimaklumkan doktor mengenai kerosakan kedua-dua buah pinggangnya, lelaki ini bersyukur kerana isterinya sanggup berkorban mendermakan sebelah buah pinggang kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:10 AM