UBAT dibahagi kepada ubat terkawal dan ubat am. FOTO hiasan
Disediakan oleh Nurul Izzah Abdullah

AHLI farmasi komuniti adalah ahli farmasi berdaftar yang memberi perkhidmatan kaunseling dan membekal ubat-ubatan di premis farmasi komuniti. Perkhidmatan farmasi komuniti adalah bidang paling hampir dengan masyarakat dalam penyampaian maklumat berkaitan ubat-ubatan.

Sewaktu mendapatkan bekalan ubat di farmasi komuniti, masyarakat perlu mengetahui secara amnya, ubat dibahagi kepada ubat terkawal dan ubat am. Ubat terkawal pula dibahagi kepada dua kategori, iaitu ubat terkawal dengan preskripsi dan ubat terkawal tanpa preskripsi.

Ubat terkawal dengan preskripsi hanya boleh dibeli sekiranya ada preskripsi atau slip ubat daripada doktor. Contohnya ubat untuk tekanan darah tinggi dan antibiotik.

Ubat terkawal tanpa preskripsi pula boleh diperoleh daripada ahli farmasi tanpa memerlukan preskripsi daripada doktor. Contoh ubat krim, ubat batuk dan sesetengah jenis ubat selesema.

Ubat am pula ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor seperti ubat demam (contoh: paracetamol). Ubat am boleh diperoleh tidak saja

di premis farmasi komuniti, juga di kedai biasa.

Ahli farmasi komuniti memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan ubat-ubatan bagi memastikan pesakit mendapat maklumat tepat ubat yang diambil.

Perkhidmatan utama yang disampaikan oleh ahli farmasi komuniti adalah sesi kaunseling ubat-ubatan. Sesi kaunseling ini adalah platform sangat berkesan bagi mempertingkatkan pemahaman masyarakat terhadap ubat-ubatan yang diambil di samping mengukuhkan keyakinan pesakit untuk mematuhi pengambilan ubat.

Kini sudah ada pesakit yang membawa semua bekalan ubat-ubatan yang diperoleh dari klinik kesihatan atau hospital ke farmasi komuniti apabila mereka kurang pasti mengenai arahan pengambilan ubat-ubatan itu. Ahli farmasi komuniti akan memberi penerangan lanjut mengenai perkara ini.

Pemahaman berkaitan dos ubat, cara dan masa pengambilan ubat amat penting bagi memastikan pesakit menggunakan ubat secara berkualiti dan seterusnya mendapat manfaat sepenuhnya.

Selain kaunseling ubat, ahli farmasi komuniti juga memberi kaunseling cara penggunaan alat bantu perubatan. Contohnya, cara penggunaan inhaler (ubat sedut) dan penggunaan pen untuk suntikan insulin.

Perkhidmatan kaunseling membantu pesakit menggunakan alat perubatan dengan betul supaya mencapai kesan rawatan yang diingini. Ia juga dapat mengurangkan kesan sampingan ubat dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Ramai ahli farmasi komuniti juga menyediakan perkhidmatan tambahan seperti ujian aras gula dan aras kolesterol dalam darah serta pemeriksaan tekanan darah. Pemeriksaan ringkas yang dijalankan di farmasi komuniti ini bertujuan memantau keadaan pesakit yang sedang mengambil ubat atau sebagai saringan awal penyakit.

Sesetengah farmasi komuniti membekalkan perkhidmatan profesional lain seperti program berhenti merokok. Mereka bertanggungjawab dalam membantu individu yang mahu berhenti merokok. Mereka akan menilai keadaan perokok, menetapkan pelan rawatan dan mencadangkan langkah yang sesuai untuk membantu perokok berhenti merokok secara berperingkat.

Selaras perkembangan multimedia, ahli farmasi komuniti juga menyebarkan maklumat berkaitan ubat-ubatan dan kesihatan menerusi media sosial seperti Facebook dan Instagram supaya maklumat ini sampai kepada masyarakat pada skala yang lebih besar dan berkesan. Keadaan ini berupaya memberi impak yang positif dalam meningkatkan ilmu berkaitan ubat-ubatan dalam kalangan pesakit.

Jika ada sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, sila hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 5:00 AM