DR Mohd Azhari (lima dari kiri) bersama kakitangan IJN memakai sarung kaki putih tanda menyokong kempen Sayangi Kaki Anda dan mempromosikan pakej pemeriksaan penyakit arteri periferal (PAD) sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2019. FOTO Rohanis Shukri
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


BAYANGKAN situasi ini. Anda bangun pagi dan ternampak beberapa helaian bulu kaki gugur di atas tilam.

Tanpa terlalu memikirkan hal itu, anda terus bangun menuju ke bilik mandi, namun tiba-tiba terasa kaki kebas atau sakit dan lebih buruk ketika berjalan dan menaiki tangga.

Awas! Anda mungkin diserang penyakit arteri periferal (PAD) yang berpunca daripada penyumbatan salur darah pada kaki.

PAD mempunyai spektrum yang luas, namun secara umumnya ia dikategorikan sebagai penyakit yang diakibat­kan penyempitan salur darah.

Ia sama seperti penyumbatan salur darah ke jantung atau otak yang mengakibatkan serangan jantung atau strok, cuma bezanya ia berlaku pada kaki.

Bagaimanapun, ramai beranggapan penyakit ini tidak terlalu bahaya, tidak seperti serangan jantung atau angin ahmar (strok) contohnya.

Namun sebenar­nya, penyumbatan darah di bahagian kaki boleh menyebabkan penyakit vaskular periferi. Penya­kit ini amat berbahaya jika tidak dirawat kerana akan menyebabkan rasa sakit berpanjangan pada anggota itu sebelum kesan gangren menyebabkan lebam atau hitam.

Mereka yang diserang PAD biasanya mengalami simptom seperti kaki kejang, sakit dan berasa di­ngin. Jika tidak dirawat segera, lama-kelamaan keadaan bertambah buruk seterusnya menjadi hitam menandakan kematian sel. Lebih parah apabila kaki pesakit terpaksa dipotong.

Apa yang menakut­kan, ada antara pesakit PAD yang awalnya tidak mengalami sebarang gejala atau tanda, namun kemudian berkembang secara perlahan-lahan tanpa disedari.

Di Malaysia, statistik menunjukkan lebih 10,000 pesakit terpaksa menjalani amputasi yang mana 40 peratus daripada kes ini boleh dielak jika mereka menerima rawatan awal.

Mereka yang kehilangan anggota selepas dipotong mempunyai peratusan tinggi untuk meninggal dunia kerana mengalami jangkitan kuman di bahagian jantung.


KAKI menjadi lebam dan hitam kesan gangren.

Pesakit yang kehila­ngan kaki mungkin me­ngalami tekanan kerana tidak dapat bergerak bebas dan melakukan pekerjaan rutin dengan cepat menye­babkan mereka kurang bergerak serta terdedah kepada penyakit lain.

Rawatan awal dapat membantu pesakit dan membolehkan mereka sembuh sepenuhnya bagi menjalani kehidupan normal.

PAD selalunya dipicu pelbagai kondisi penyakit akibat amalan gaya hidup tidak sihat antara­nya darah tinggi, kencing manis dan masalah paras kolesterol tinggi.

Secara alami, arteri sememangnya akan me­ngeras dan menyempit seiring pertambahan usia, namun proses ini berlaku lebih cepat kepada mereka yang mempunyai berat badan berlebihan (obesiti), perokok dan mempunyai sejarah ahli keluarga yang menderita akibat PAD, penyakit jantung koronari serta angin ahmar.

Langkah pencegahan paling berkesan adalah dengan menjalani gaya hidup sihat iaitu mengam­bil makanan dengan zat seimbang dan sering bersukan atau melakukan senaman.

Selain itu bagi perokok, segeralah hentikan tabiat buruk itu kerana ia antara punca utama PAD.

Penyakit ini juga me­nyebabkan jantung tidak dapat berfungsi dengan baik kerana penyumbatan di bahagian tertentu.

Bagi menghilangkan kesan tersumbat, beberapa rawatan dilakukan iaitu memasukkan belon atau besi khas ke dalam bahagian berkenaan yang akan membuka ruang untuk pengaliran darah dengan betul.

Rawatan ini membantu pesakit sembuh dan bahagian luka itu akan hilang dalam masa ditetapkan. Malah jika menjaga kesihatan dengan baik, teratur dan sering mengikut nasihat pakar perubatan, penghidap PAD boleh membebaskan diri daripada penyakit ini.

Paling penting, ma­syarakat perlu ada kesedaran mengenai penyakit ini kerana ramai tidak tahu penyakit ini boleh dirawat pada peringkat awal apabila kaki dapat diselamatkan tanpa dipotong.

Menyedari perlunya hebahan mengenai PAD disampaikan kepada ang­gota masyarakat, doktor dan kakitangan di Institut Jantung Negara (IJN) mengambil bahagian dalam ‘White Sock Campaign’ (Kempen Stoking Putih).


DR Mohd Azhari

Kempen secara global ini dicetuskan oleh ‘Save a Leg, Save a Life Foundation’ dan dijalankan pada September setiap tahun.

Menerusi kempen ini, doktor dan kakita­ngan yang bertugas di IJN me­nyarungkan stoking putih di sebelah kaki.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata, stoking putih melambangkan pesakit PAD yang kehilangan kaki akibat lambat menerima rawatan.

“PAD dihidap 204 juta individu di seluruh dunia. Bagaimanapun, ramai pesakit tidak menyedari mereka penghidap PAD dan tidak mempedulikan sakit kaki yang dialami serta tidak berjumpa pe­ngamal perubatan.

“Dua faktor utama PAD ialah kencing manis dan tahap kolesterol tidak sihat. Memandangkan keadaan ini semakin meningkat saban hari, PAD tidak harus dipandang remeh.

“Meskipun sejak dulu lagi menawarkan rawatan khusus kepada penghidap PAD, kami di IJN tetap beranggapan perlu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit ini supaya mereka mendapat informasi lebih baik dan menerima rawatan awal,” katanya.

Selanjutnya, Dr Mohd Azhari menjelaskan, IJN ketika ini mempunyai pelbagai bentuk pilihan ujian dan rawatan di bawah pakej perkhidmatan PAD yang ditawarkan.

“Ini termasuk pemeriksaan fizikal dan indeks jisim tubuh (BMI); ujian makmal dan gula darah serta ujian indeks brakial pergelangan kaki (ankle brachial index atau ABI) atau iaitu kaedah segera mengesan PAD.

“Untuk merawat pe­nyumbatan akibat PAD, IJN menawarkan prosedur invasif minimal dipanggil intervensi vaskular periferal (peripheral vascular intervention atau PVI).

“IJN juga menyediakan laman web untuk mendidik masyarakat mengenai PAD, termasuk cara menangani dan mencegah penyakit ini. Untuk mengetahui lebih lanjut, layari http://ijn.com.my/ijnpad/,” katanya.


PENYUMBATAN darah boleh menyebabkan penyakit vaskular periferi.

Tanda-tanda penyakit:

• Penyempitan salur darah di bahagian kaki - Penghidap berasa sakit terutama di bahagian paha dan betis seperti ditekan. Dalam masa lima minit ia akan hilang, tetapi kemudian datang kembali dan berasa sakit semula.

• Walaupun tidak berjalan, tetap berasa sakit atau sakit datang secara tiba-tiba ketika sedang berehat. Ia adalah ketidaksempurnaan di bahagian kaki kerana kekurangan darah di ang­gota berkenaan.

• Luka atau ulser di kaki yang berpanjangan (lambat sembuh) kerana darah tidak sampai dan tiada zat di bahagian itu seterusnya menyebabkan hitam atau lebam. Jika tidak dirawat dengan cepat, pesakit akan kehila­ngan anggota tubuh yang terpaksa dipotong kerana jangkitan kuman.

Bahagian yang biasa mendapat jangkitan:

Biasanya berlaku di bahagian hujung kaki dan risiko penyumbatan kepada pesakit kencing manis, darah tinggi, kolesterol tidak normal, perokok, individu obes, kurang bersenam dan ada sejarah keluarga.

Rawatan:

• Ubah gaya hidup iaitu berusaha berhenti merokok bagi perokok tegar yang lebih terdedah dan bahaya kerana sukar sembuh.

• Gaya pemakanan tidak sihat juga perlu diubah. Mereka yang mempunyai masalah tahap kolesterol tinggi perlu mengawalnya kerana penyakit ini akan mengecilkan perjalanan darah ke anggota penting.

• Pembedahan pintasan iaitu memasukkan jarum ke dalam bahagian tersumbat untuk membantu membuka saluran. Angioplasti belon akan dimasukkan ke bahagian tertentu dengan cara belon dikembangkan apabila berada di bahagian tersumbat itu untuk membesarkan salur darah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:15 AM