SEKIRANYA si kecil pernah alami alahan ubat atau makanan tertentu, ibu bapa dinasihatkan untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada doktor. FOTO Pixabay
Disediakan oleh Wan Nor Amalina Zainun

SEBAGAI ibu bapa, perkara yang menjadi keutamaan pastilah keselamatan dan juga kesihatan anak. Tidak hairan apabila ibu bapa sanggup berkorban masa, wang dan tenaga demi memastikan anak berada dalam keadaan sihat dan ceria. Namun, ada ketika pengambilan ubat-ubatan dalam kalangan kanak-kanak untuk rawatan penyakit tertentu tidak dapat dielakkan sepanjang proses pembesaran.

Ada beberapa perkara yang harus dititikberatkan oleh ibu bapa semasa memberi ubat-ubatan kepada anak. Antaranya termasuklah amalan konsep 5B iaitu memastikan pesakit yang betul, ubat yang betul, dos yang betul, cara pengambilan yang betul dan masa yang betul. Ibu bapa atau penjaga dinasihat agar memahami dan membaca label ubat setiap kali sebelum memberi ubat kepada anak.

Penggunaan ubat dalam kalangan kanak-kanak adalah berbeza dengan orang dewasa kerana fungsi organ seperti hati dan buah pinggang bayi dan kanak-kanak masih belum matang.

Pengiraan dos ubat untuk kanak-kanak adalah berdasarkan berat badan.

Maklumkan maklumat penting kepada doktor

Sekiranya anak anda pernah mengalami alahan kepada ubat atau makanan tertentu, ibu bapa dinasihati untuk memaklumkan perkara ini kepada doktor atau ahli farmasi semasa mendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital.

Perkara ini penting supaya ubat daripada kumpulan yang lain boleh dipreskripsikan oleh doktor bagi mengelakkan alahan yang sama berulang.

Selain itu, maklumat seperti keadaan kekurangan enzim G6PD (Glucose-6-phosphate dehydrogenase deficiency) juga perlu dimaklumkan kepada doktor yang merawat kerana ada sesetengah jenis ubat-ubatan yang perlu dielakkan oleh pesakit ini.

Bentuk ubat yang lazim untuk kanak-kanak

Umum mengetahui terdapat pelbagai bentuk ubat yang terdapat dalam pasaran. Antara ubat yang biasanya diberikan kepada kanak-kanak adalah:

Ubat sirap: Persediaan dalam bentuk cecair

Ubat serbuk: Ubat yang kebiasaannya perlu dilarutkan dalam air sebelum diminum oleh pesakit

Ubat supositori: Ubat yang berbentuk seperti peluru yang dimasukkan ke dalam dubur pesakit.

Ubat sapu: Ubat-ubatan untuk kegunaan luaran yang disapu pada permukaan kulit seperti krim, losen dan salap.

Ubat titis: Ubat cecair yang mengandungi ubat tertentu dan dititiskan ke dalam rongga badan seperti mata, telinga dan hidung.

Kaedah pemberian ubat minum kepada kanak-kanak

Bentuk ubat yang paling kerap diberikan kepada kanak-kanak adalah jenis cecair. Pemberian ubat kepada kanak-kanak sering menjadi cabaran kepada ibu bapa kerana kanak-kanak mungkin memberontak atau menolak sewaktu ubat diberikan.

Ibu bapa disaran menggunakan alat-alat penyukat yang sesuai semasa memberi ubat bagi memastikan ketepatan dos.

Antara contoh alat penyukat disarankan:

Picagari (syringe): Alat penyukat ubat cecair yang mempunyai senggatan bernombor dan membolehkan sukatan dos ubat dengan tepat berdasarkan arahan yang diberikan. Ubat tersebut seterusnya dialirkan secara perlahan-lahan dan terkawal ke dalam mulut (arah ke pipi) pesakit sebelum ditelan.

Penitis (dropper): Alat ini juga mempunyai senggatan bernombor dan ibu bapa perlu memicit penitis untuk menyukat dos ubat seperti yang diarahkan.

Cawan pengukur dos (dosage cup): Bekas kecil yang mempunyai senggatan bernombor dan ia sesuai digunakan untuk kanak-kanak yang sudah boleh minum dengan menggunakan cawan.

Sudu penyukat - Sejenis sudu yang mempunyai senggatan bernombor.

Langkah keselamatan pengubatan kanak-kanak

• Ibu bapa perlu memahami maklumat ubat seperti indikasi, dos, cara dan masa pengambilan. Ibu bapa dinasihat agar mendapatkan maklumat dan penerangan berkaitan ubat-ubatan daripada doktor dan ahli farmasi sekiranya terdapat sebarang kemusykilan.

• Membaca label ubat setiap kali sebelum memberi ubat kepada anak perlu menjadi amalan bagi mengelakkan kesilapan pengubatan. Ibu bapa dinasihat untuk mengikut arahan diberikan ahli farmasi bagi memastikan anak-anak mendapat rawatan yang optimum.

• Perkongsian ubat-ubatan sesama pesakit kanak-kanak juga perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko pemberian dos ubat yang tidak tepat kepada mereka.

• Cara penyimpanan ubat-ubatan juga perlu diberi perhatian. Ubat-ubatan perlu disimpan di tempat yang jauh daripada capaian kanak-kanak.

Selain itu, ubat-ubatan juga perlu disimpan pada suhu seperti yang disarankan pada label ubat.

Sebarang maklumat lanjut berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call centre - NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 5:31 AM