Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


“ALAH tidak mengapa, ia hanyalah bisul biasa! Cungkil dan buang matanya. Bila nanah dah keluar, hilanglah penyakit itu.”

Itu mungkin reaksi atau nasihat yang kita terima apabila berdepan dengan masalah bisul yang dianggap satu penyakit biasa sedangkan ia boleh mendatangkan komplikasi lebih serius termasuklah keracunan dalam darah.

Malah, masih ada yang percaya sikap gemar duduk di atas bantal di mana melanggar pantang larang orang terdahulu boleh menyebabkan tumbuhnya bisul.

Biarpun ia hanyalah kepercayaan, namun terdapat hikmah mengenai larangan berkenaan apabila Pakar Perunding Dermatologi UiTM Private Specialist Centre ( UPSC), Dr Tarita Taib memberitahu kuman boleh berjangkit daripada pelbagai medium termasuklah bantal yang kotor.


PROSES pembuangan nanah perlu dilakukan oleh doktor.

Apatah lagi bakteria seperti Stafilokokus aureus (S. aureus) yang sentiasa mencari peluang untuk memasuki badan ‘mangsa’ menerusi permukaan kulit yang luka dan merekah. Jika tidak ditangani dengan amalan kesihatan yang baik, dalam kes tertentu, bakteria daripada bisul berkemungkinan besar menjadi serius hingga menyebabkan keracunan dalam darah (septisemia) dan boleh mengancam nyawa.

“Punca bisul biasanya disebabkan jangkitan bakteria kuman biasanya S. aureus yang merebak. Jika tidak dirawat dengan sewajarnya, septisemia disebabkan bakteria itu boleh masuk ke aliran dalam darah dan menjangkiti organ lain termasuklah tulang dan injap jantung.

“Jangkitan ini merebak ke mana-mana organ penting, dikhuatiri ia boleh mengancam nyawa khususnya apabila pesakit menghidap komplikasi lain termasuklah kerosakan buah pinggang dan hati,” katanya.

Dr Tarita berkata, dalam menangani bisul, pesakit perlu memberi lebih perhatian kepada masalah yang dialaminya terutama membabitkan kawasan yang dijangkiti, apatah lagi jika ia berada di lokasi yang sukar ditutup seperti muka.


BISUL boleh berlaku pada bahagian muka atau leher.

Selain masalah lain seperti yang kerap berulang, tanda demam, dan saiz bisul yang lebih besar daripada lima sentimeter memerlukan rawatan segera oleh doktor di mana antibiotik intra-vena boleh diberikan.

“Kalau dulu, apabila disebut masalah bisul, ramai menganggapnya berlaku di punggung saja. Sebenarnya bisul boleh ‘muncul’ di mana-mana termasuklah muka, namun ia lebih kerap berada di bahagian tubuh terutamanya pada kulit yang lebih mudah bergesel, mempunyai rambut dan kerap berpeluh.

“Leher, ketiak, paha mahupun muka boleh ‘disinggahi’ bisul tetapi dalam kebanyakan kes selalunya belakang badan dan punggung kerana bahagian itu mempunyai tiga aspek dinyatakan tadi.

“Ia bermula dengan bisul nanah kecil atau ‘boil’ mahupun dalam bentuk bisul kelompok nanah yang besar di bawah permukaan kulit dikenali dengan karbunkel.

“Dalam kes lebih serius ialah membabitkan karbunkel yang terkumpul tempat yang sensitif seperti pada tempat sulit kerana mengundang risiko berlakunya jangkitan kuman yang lebih agresif akibat kontaminasi daripada najis.


WARNA nanah putih dan bercampur dengan aliran darah disebabkan jangkitan bakteria.

“Tanda awal bisul kecil seperti tanda merah kecil ini lebih berpotensi untuk membesar dan disusuli demam panas terutama apabila karbunkel terbentuk. Biasanya tempoh pemulihan mereka yang mengalami karbunkel lebih perlahan dan nanah besar itu akan meninggalkan parut pada bahagian terjejas.

“Jika bisul berada di muka, saya ingatkan jangan sesekali mengambil jalan mudah cuba memecah sendiri lesi berkenaan sebaliknya bertemu doktor untuk mengelak kesan sampingan,” katanya turut memaklumkan pesakit boleh menuam lesi dengan kain bersuhu suam.

Kata Dr Tarita, biasanya lelaki remaja atau dewasa lebih mudah untuk mendapat bisul berbanding kanak-kanak mahupun wanita. Malah ada juga kumpulan berisiko lain terbabit untuk menghidapi penyakit berkenaan.

“Risiko komplikasi dari bisul lebih tinggi kepada pesakit berimunisasi rendah seperti diabetes, individu obes, wanita mengandung dan pesakit kanser, individu kulit berjerawat dan mereka yang mengalami masalah berkaitan kulit ekzema atau mempunyai kulit yang terlampau berminyak dan banyak berjerawat.


RAJAH menunjukkan bisul mula membentuk pada bahagian folikel.

“Bisul kecil tanpa tanda demam atau lesu boleh baik sendiri tetapi kalau terlalu kerap disarankan untuk bertemu dengan doktor bagi mengenalpasti masalah sebenar.

“Bisul yang kerap pada kanak-kanak mungkin disebabkan oleh sistem imun yang tidak normal dan pada dewasa mungkin menandakan tanda awal diabetes atau penyakit lain yang memerlukan ujian darah,” katanya.

Dr Tarita menerangkan beberapa ciri bisul yang perlu diketahui iaitu ia bermula dengan bengkakan ketulan merah, berisi nanah, membesar dan mempunyai titik mata. Ia menjadi lebih sakit apabila disentuh terutamanya bengkak berkenaan mulai ‘masak atau matang’ sehinggalah pecah. Nanahnya berwarna putih kuning dan bercampur darah apabila mengalir keluar sebaik pecah.

Rawatan diberikan, biasanya pesakit akan menjalani rawatan antibiotik oral seperti penisilin (biasanya amoxycillin,cloxacillin), doxycyline,clindamycin atau erythromycin. Sementara bagi bisul besar, bagi saiz atas dua sentimeter prosedur ringkas iaitu membuang nanah terkumpul dilakukan sebelum ia melarat menjadi lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:15 AM