Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

KUKU cengkam atau cagu merujuk kepada radang bahagian tepi jari apabila kuku tumbuh dan menekan tisu bahagian berkenaan.

Ia kerap berlaku pada kuku jari kaki dan biasanya bermula dengan bengkak merah dan mula mengeluarkan nanah akibat jangkitan kuman.

Keadaan itu menyebabkan pesakit derita menahan sakit sehingga mengelak untuk memakai sepatu. Nanah yang terkumpul di situ mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Justeru, dikongsikan beberapa tip bagi membantu cegah masalah cagu:

1. Elak sarungkan stoking atau kasut terlalu ketat;Apabila mengenakan kasut atau stoking ketat, tekanan dikenakan terhadap kulit di sekitar kuku. Keadaan ini boleh menyebabkan tisu kulit tercedera.

2. Potong kuku dengan betul;

Memotong kuku terlalu pendek atau memotong tepi akan menggalakkan pertumbuhan tisu di bahagian tepi. Akibatnya kuku akan tumbuh ke dalam kulit dan berlakulah ‘trauma’ sehingga menyebabkan tisu berkenaan mengalami radang.

Elak memotong kuku terlalu melengkung atau berbentuk kipas kerana bentuk itu lebih cenderung menekan ke dalam kulit sekitar kuku.

3. Pastikan kaki sentiasa kering; Kulit kaki yang lembut membolehkan kuku mudah tembus ke dalam kulit. Selain faktor kebersihan iaitu mudahnya jangkitan kuman memasuki permukaan tisu kulit. Jika anda individu yang cepat berpeluh, pakai stoking yang boleh menyerap kelembapan dengan baik. Lap kaki hingga kering selepas keluar bilik air.

4. Segera rawat kecederaan; Jika anda tersadung dan ada jari yang luka, sebaiknya oles sedikit antiseptik di bahagian hujung kaki terutama kuku bagi mengekal kuku tertusuk dalam tisu menyebabkan jangkitan.

5. Rawatan di rumah;Anda boleh memberikan rawatan kecantikan kepada kaki yang secara tidak langsung mencegah masalah cagu. Antara caranya ialah merendam kuku dalam air suam, menolak kulit daripada kuku dengan menggunakan kapas sedia direndam minyak zaitun atau menggunakan ubat tahan sakit acetaminophen dan minyak antibakteria.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:00 AM