KEMPEN pendidikan kanser paru-paru dilancarkan bersama JKPM oleh Dr Anand (tengah), Naib Presiden JKPM, Dr Tho Lye Mun (kanan) dan Ahli Jawatankuasa JKPM, Dr Hilmi Lockman.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

RAMAI beranggapan kanser paru-paru adalah penyakit yang hanya dihidapi oleh perokok sehingga ia diabaikan segelintir orang kerana mengandaikan mereka tidak berisiko mendapat penyakit ini. Tanggapan sedemikian perlu diubah untuk memahami beban akibat penyakit terbabit.

Kanser paru-paru adalah kanser kedua paling lazim di Malaysia dan juga punca utama kematian berkaitan kanser. Pada peringkat global, kanser paru-paru kekal sebagai satu daripada kanser paling lazim meragut lebih banyak nyawa setiap tahun berbanding kanser payudara, kolon dan prostat.

Oleh itu, amat penting untuk memperlengkapkan orang ramai terutama pesakit, penjaga mahupun pengamal penjagaan kesihatan profesional dengan maklumat yang tepat mengenai kanser paru-paru. Bagi menangani bilangan kes penyakit yang membimbangkan ini, Jaringan Kanser Paru-paru Malaysia (JKPM) ditubuhkan sempena sambutan Hari Kanser Paru-Paru Sedunia, baru-baru ini.

JKPM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diwujudkan secara eksklusif bagi menangani segala aspek dan peringkat kanser paru-paru di Malaysia. Jaringan ini merangkumi pengamal penjagaan kesihatan profesional aneka disiplin yang berhasrat menambah baik keputusan rawatan pesakit menerusi sokongan, pendidikan dan kesedaran.

Wawasan JKPM untuk mengurangkan kadar kematian akibat kanser paru-paru di negara ini dan mempertingkatkan kualiti serta ketahanan hidup bagi pesakit.

JKPM juga berusaha memperbetulkan tanggapan kurang tepat berkaitan penyakit ini dan meningkatkan kefahaman serta empati masyarakat terhadap penghidap kanser paru-paru.

Presiden JKPM, Dr Anand Sachithanandan berkata, majoriti pesakit di Malaysia disahkan mengalami kanser peringkat lanjutan berikutan data kontemporari daripada Registri Kanser Kebangsaan mendapati bahawa 90 peratus kes kanser paru-paru disahkan pada tahap tiga (kanser setempat) atau tahap empat (kanser sudah merebak).

“Diagnosis segera dan kejayaan rawatan kanser paru-paru sering memerlukan pendekatan pelbagai disiplin dan terapi berbilang kaedah. Matlamat kami di JKPM ialah untuk sama-sama menentang kanser paru-paru dan menyediakan platform untuk mendapatkan maklumat sahih yang relevan di peringkat tempatan.

“Ini kerana, kami mahu pesakit kanser ini dan doktor yang merawat mereka membuat keputusan wajar berlandaskan maklumat terbaik mengenai penjagaan pesakit,” katanya pada majlis pelancaran JKPM di ibu negara, baru-baru ini. Turut hadir, Presiden AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal.

JKPM juga memperkenalkan laman sesawang yang menyediakan maklumat berguna termasuk strategi pencegahan, pemeriksaan individu berisiko tinggi, diagnosis, penentuan tahap kanser dan rawatan penyembuhan serta mengurangkan kesakitan.

“Kandungan dalam laman web ini merangkumi keperluan doktor dan pesakit serta memberikan maklumat bagi setiap kumpulan sasaran.

“Malah, JKPM juga bekerjasama dengan AstraZeneca untuk membangunkan dan berkongsi dua produk pendidikan iaitu panduan komprehensif dan alat kaunseling mengenai pesakit untuk pengamal penjagaan kesihatan profesional.

“Ia dilengkapi maklumat dalam bentuk yang mudah difahami mengenai kanser paru-paru, diagnosis dan pilihan rawatan yang disediakan dan juga statistik penting mengenai penyakit ini. Pesakit dan pengamal penjagaan kesihatan profesional turut boleh mendapatkan risalah ini dengan mudah menerusi kod QR atau melalui laman sesawang JKPM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:30 AM