Nurul Amira Zunaidi

VAPE atau rokok elektronik adalah trend semasa dalam kalangan masyarakat. Aliran semasa penggunaan vape disebarkan secara meluas melalui media sosial.

Keadaan ini ditambah pula dengan kemudahan untuk mendapatkan alat vape dan cecair isian semula, baik daripada penjual di tepi jalan mahupun pembelian secara dalam talian serta kewujudan kafe bertemakan vape.

Vape didapati dalam pelbagai reka bentuk seperti bentuk konvensional, seakan-akan alat Universal Serial Bus (USB) dan jam tangan.

Taktik ini bukan saja menarik minat perokok tegar, malah golongan yang tidak pernah merokok sebelum ini termasuk wanita dan remaja untuk mencuba.

Situasi ini lebih membimbangkan apabila penggunaan vape mula meningkat dalam kalangan kanak-kanak. Reka bentuk seperti USB dan jam tangan membolehkan vape diseludup serta menyukarkan pihak sekolah untuk mengesannya.

Tambahan pula, cecair vape yang hadir dalam pelbagai perisa dan botol yang berwarna-warni bukan saja menarik perhatian orang dewasa, malah remaja dan kanak-kanak.

Antara faktor lain yang menyebabkan peningkatan penggunaan vape adalah terdapat pelbagai dakwaan oleh penjual dan pengguna mengenai kebaikan vape.

Vape didakwa sebagai pengganti rokok, bebas bahan kimia dan nikotin, tidak menyebabkan ketagihan dan selamat digunakan. Selain itu, ada juga dakwaan vape lebih jimat daripada rokok kerana harga rokok semakin mahal. Namun, adakah dakwaan ini benar?

Fakta berkaitan vape

Vape yang ada di pasaran terdiri daripada campuran cecair khas yang digunakan untuk menghasilkan wap cecair seakan-akan asap. Cecair khas itu biasanya mengandungi bahan seperti glycerin dan propylene glycol. Selain itu, bahan pewarna, perisa dan juga nikotin turut dicampurkan ke dalam sesetengah jenis cecair vape.

Cecair itu akan dipanaskan menggunakan elemen pemanas dalam vape, seterusnya menghasilkan wap cecair untuk disedut. Namun, kandungan cecair dalam vape ini dikhuatiri berpotensi membawa kemudaratan kepada kesihatan pengguna terutamanya kanak-kanak kerana sedutan wap cecair dengan isi kandungan dalam cecair vape boleh mengganggu fungsi paru-paru manusia dalam pertukaran gas.

Bagi peranti yang mengandungi nikotin, kesannya sama dengan rokok termasuk menyebabkan ketagihan. Insiden pengambilan dos nikotin berlebihan boleh berlaku akibat penggunaan vape kerana cecair nikotin yang disediakan tidak dipantau selia kepekatan dan kekuatannya.

Adakah vape selamat untuk kanak-kanak?

Fenomena penggunaan vape menjadi ikutan anak muda dan kanak-kanak. Hal ini amat membimbang­kan kerana ia bertentangan dengan Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau 2015-2020 de­ngan misi menjadikan Malaysia negara bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok menjelang 2045.

Tabiat menghisap vape dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya murid sekolah adalah gejala yang menggusarkan guru dan ibu bapa.

Tambahan pula, cecair vape yang mengandungi nikotin bukan saja boleh menyebabkan ketagihan, malah boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak apabila dos berlebihan diambil.

Pelbagai perisa dan pewarna dalam cecair vape akan menarik kanak-kanak untuk mencuba. Keadaan ini juga dikhuatiri akan membuka gerbang kepada percubaan bahan-bahan ketagihan lain seperti rokok, bahan hidu perangsang contohnya gam dan dadah.

Cara berhenti merokok

Perokok yang ingin berhenti merokok dinasihatkan mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor dan ahli farmasi bertauliah. Kementerian Kesihatan Malaysia menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) di hospital dan kebanyakan klinik kesihatan kerajaan.

KBM ini biasanya dianggotai oleh pasukan yang terdiri daripada doktor, ahli farmasi, penolong pegawai perubatan dan jururawat.

Maklumat berkaitan panduan dan tip berhenti merokok akan diberikan kepada perokok melalui sesi kaunseling oleh doktor dan ahli farmasi. Dalam keadaan tertentu, doktor akan memberi ubat bagi membantu seseorang itu mengawal gejala ketagihan dan berhenti merokok secara berperingkat.

Ibu bapa dinasihati memantau anak-anak kerana peranti vape ini boleh datang dalam pelbagai bentuk dan saiz.

Bagi perokok, dapatkan bantuan ahli profesional kesihatan sekiranya ingin berhenti merokok. Ahli profesional kesihatan yang bertugas di KBM terlatih dalam pengurusan dan rawatan tabiat ketagihan berbanding penjual vape yang tidak mempunyai sebarang latihan atau pentauliahan.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, sila hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre NPCC) melalui talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum.

Penulis adalah Pegawai Farmasi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:00 AM