Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


MALAYSIA boleh berbangga dengan reputasi sebagai syurga makanan. Sebut saja apa yang teringin dinikmati, semuanya ada di sini, boleh dicari pada bila-bila masa dan di mana saja. Namun, kesan daripada pencapaian itu ialah kecenderungan selera rakyat negara ini terhadap makanan sehingga dinobatkan sebagai negara paling gemuk di Asia Tenggara.

Menerusi pencapaian ini dianggarkan Malaysia terpaksa membelanjakan sekitar RM8 bilion bagi merawat penyakit akibat obesiti iaitu mewakili 10 hingga 19 peratus perbelanjaan negara.

Berdasarkan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015, jumlah rakyat yang dikategorikan mempunyai berat badan berlebihan mencecah 30 peratus berbanding 1996 sekitar 16.6 peratus.


OBESITI menjadi punca kepada masalah penyakit lain.

Untuk golongan obes pula, angka ini mencecah 17.7 peratus meninggalkan jauh negara jiran iaitu Thailand sekitar sembilan peratus. Kegemukan juga menjadi penyebab kepada masalah kesihatan lain termasuk kardiovaskular, diabetes, kanser, gangguan tidur hinggalah kepada gangguan psikologi iaitu kemurungan.

Justeru tidak hairanlah semakin banyak pihak rancak berusaha mempromosi gaya hidup sihat termasuk mengambil makanan seimbang dan menjadikan senaman sebagai rutin dalam membantu mengembalikan berat badan ke lingkungan atau julat ideal.

Namun, tidak dinafikan ada segelintir pesakit memerlukan pembedahan bagi membantunya keluar daripada cengkaman obesiti. Menurut Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi, Datuk Dr Tan Huck Joo, biasanya apabila seseorang itu sukar mengurangkan berat badan secara normal (melalui kawalan pengambilan makanan, bersenam dan pengambilan ubatan bawah kawalan doktor), dia terpaksa mencari alternatif lain termasuk menjalani prosedur tertentu dalam mengawal berat badan mereka.

“Tidak dinafikan pemilihan makanan betul dan rutin senaman konsisten boleh membantu menurunkan berat badan tetapi ada kala ia tidak berhasil bagi sesetengah individu.“Mereka ini biasanya mempunyai masalah lain berkait dengan obesiti atau memerlukan pengurangan berat badan pada kadar segera bagi mengurangkan risiko komplikasi penyakit lain seperti diabetes atau berkait dengan kardiovaskular.


KAEDAH endoskopi dengan memasukkan belon khas dalam perut bagi mengatasi masalah berat badan.

“Bagi kumpulan ini, mereka ada pilihan lebih baik iaitu mendapatkan bantuan pakar perubatan untuk menjalani rawatan endoskopi untuk mengecilkan kantung perut,” katanya ketika Forum Umum Pengurusan Obesiti di Nexus Bangsar baru-baru ini.

Tambah Dr Tan lagi, ketika ini ada pelbagai alternatif rawatan atau pembedahan rendah risiko serta tidak memberi komplikasi serius menyebabkan ramai memilih untuk menjalani rawatan sedemikian.

“Prosedur dalam rawatan endoskopi tidak rumit dan biasanya pesakit cuma berasa kurang selesa. Dalam satu rawatan endoskopi ini pesakit akan dimasukkan sejenis tiub yang dikenali belon gastrik.

“Belon ini akan mengembang dan memenuhi ruang perut untuk membuatkan individu itu berasa cepat kenyang. Jadi, jumlah makanan yang diambil juga dapat dikurangkan. Belon ini hanya ditempatkan sementara dan sebaik mendapat berat badan yang sesuai, ia akan dikeluarkan daripada tubuh pesakit.

“Proses ini dianggap kurang menyakitkan, kalau ada pun rasa kurang selesa hanya ketika pesakit diberikan suntikan bius selain komplikasi risiko rendah iaitu biasanya luka semasa proses peralatan ini dimasukkan ke dalam saluran perut,” katanya.

Merujuk kepada pembedahan pula, kata Dr Tan, kini ada tiga jenis pembedahan bagi membantu pesakit yang mengalami obesiti.


SILIKON berbentuk cincin yang diikat pada bahagian saluran atas usus yang juga laluan makanan masuk ke dalam perut bagi pembedahan ‘gastric banding’.

“Bagi pesakit yang tidak selesa dengan kaedah endoskopi, pembedahan boleh dilakukan mengikut keperluan pesakit. Ketika ini ada tiga pembedahan merujuk kepada masalah obesiti iaitu ‘gastric banding’ (mengikat kantung perut), ‘sleeve gastrectomy’ (saiz kantung perut dikecilkan sehingga tinggal kira-kira 15 peratus daripada saiz asal) dan ‘gastric bypass’ (pembedahan pintasan perut di mana saiz kantung perut dikecilkan dan disambungkan dengan usus kecil).

“Biasanya untuk menjalani prosedur ini, pesakit akan menjalani saringan terlebih dulu dalam melihat kesesuaian terhadap pesakit selain risiko. Ketika ini pembedahan ‘gastric banding’ antara yang popular kerana kurang berisiko dan tidak membabitkan sebarang proses pembuangan bahagian usus dan tempoh pemulihan juga lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:10 AM