Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Isyarat bagi Norsidah Kassim berkenaan berita kehamilannya selalunya dikesan apabila dia mengalami sakit gusi dan gigi yang teruk.

Dia mengakui simptom itu mula dikenal pasti ketika mengandung zuriat kelima dan situasi berkenaan berulang sehingga melahirkan anak kelapan pada 1991.

Memiliki susunan gigi yang bersih dan kemas, Norsidah, 63, berkata, masalah sakit gigi dan gusi hanya berlaku dalam tempoh kehamilan dan berhenti sejurus kelahiran.

Mengikut penerangan doktor, ia berpunca daripada masalah gusi, namun rawatan sukar dilakukan gara-gara status ibu mengandung digalasnya dalam tempoh berkenaan.

Lama-kelamaan, rasa sakit itu membuatkan Norsidah mengambil pendekatan mencabut gigi dan ada antara giginya tercabut sendiri, sebelum mula memakai gigi palsu pada usia semuda, 35 tahun.


GIGI kekal harus ada sepanjang hayat.

Sebagai pemakai gigi palsu lebih 28 tahun, wanita berasal dari Kuala Selangor ini mengakui wujudnya perbezaan ketara di antara gigi asli dan ‘tiruan’ terutama ketika menikmati hidangan kegemaran.

“Kehilangan 32 batang gigi pada usia muda sebenarnya menjejaskan keyakinan diri dan kualiti kehidupan.

“Bila ingin tersenyum, saya terpaksa menutup mulut. Apabila ingin menikmati makanan kegemaran terutama rendang daging dan ayam bakar, selera itu mati apabila menyedari kesukaran untuk mengunyah.

“Tetapi apabila memakai gigi palsu, sedikit sebanyak ia membantu meningkatkan keyakinan dan lebih gembira menikmati kehidupan,” katanya yang ditemani anak, Sharifah Noridayu Syied Mohd Safie, 29, pada majlis kempen ‘Senyum Bersama Dengan Yakin’ anjuran Polident, baru-baru ini.


NORSIDAH bersama Sharifah Noridayu.

Sementara itu, Pakar Prostodontik, Dr Ho Ting Khee berkata, wujud persepsi bahawa kehilangan gigi bukan perkara pelik seiring dengan peningkatan usia, sedangkan 32 batang gigi kekal seharusnya ada sepanjang hayat individu kecuali ada masalah kesihatan mulut ataupun trauma.

Akuinya, ramai pesakit yang menderita gara-gara kehilangan gigi dan keadaan ini menjadi semakin buruk apabila kehilangan gigi berlaku secara total seiring dengan peningkatan usia.

Memetik laporan Pusat Informatik Kesihatan, Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2016, sebanyak 62,352 gigi palsu dikeluarkan di klinik kerajaan.

Kata Dr Ho, masalah kehilangan gigi bukan sahaja diakibatkan peningkatan usia sebaliknya membabitkan masalah kesihatan mulut.

“Isu kesihatan ini merangkumi karies, masalah gusi, trauma dalam kalangan anak muda terutama pembabitan sukan lasak seperti hoki, hipodontia (mereka yang lahir dengan bilangan gigi yang sedikit).

“Masalah kehilangan gigi memberi kesan besar terhadap kualiti kehidupan individu. Mereka lebih mudah mendapat tekanan untuk berdepan dengan masyarakat kerana terpaksa menyembunyikan kekurangan itu.

“Mereka juga berdepan masalah pemakanan bernutrisi kerana ketiadaan gigi menyukarkan proses mengunyah dan menelan termasuk sayuran dan buahan.


VENAIG

“Keupayaan mengunyah makanan bagi gigi semula jadi adalah 14 kali, manakala hampir 10 kali ganda untuk gigi palsu sebanyak 106 kali kunyahan.

“Justeru, pemakaian gigi palsu dapat membantu golongan ini menjalankan kehidupan berkualiti. Pada masa sama, kita perlu memberi kesedaran kepada pemakai dan keluarga berkenaan penjagaannya untuk mengelakkan risiko masalah kesihatan mulut lain.

“Ini kerana pemakai gigi palsu berisiko mengalami masalah seperti gigi palsu longgar, bergoyang, berbau dan ulser pada gigi sekiranya tiada penjagaan yang betul,” katanya.

Hasil kaji selidik dijalankan GSK mendapati 56 peratus pengguna gigi palsu tidak sedar cara sewajarnya untuk memastikan gigi palsu mereka bersih dengan memilih menggunakan berus gigi atau ubat gigi biasa.

Manakala 49 peratus pemakai gigi palsu ini tidak berjumpa doktor gigi secara berkala dan hanya bertemu apabila mengalami masalah dengan gigi palsu.


VENAIG

Kata Dr Ho lagi, pesakit dinasihatkan tidak menunggu sehingga gigi semula jadi atau gigi palsu bermasalah untuk bertemu doktor.

“Pemakai gigi palsu juga tidak seharusnya mempercayai beberapa mitos pembersihan gigi palsu dalam Internet. Sebaliknya memberi perhatian terhadap kebersihan gigi palsu supaya dapat mencegah pembentukan plak dan kalkulus di tapak gigi palsu.

“Pertumbuhan bakteria dan kulat pada plak gigi akan menyebabkan mulut berbau dan penyakit mulut lain yang tidak diingini,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr Leong Kei Joe berkata, gigi palsu lazimnya 10 kali lebih lembut berbanding gigi asli.

Jadi, langkah pembersihan menggunakan kaedah biasa seperti gigi biasa hanya akan menjejaskan kesihatan oral dan menimbulkan perbelanjaan yang tidak diingini.

Jelasnya, pengguna gigi palsu juga perlu mengunjungi doktor gigi secara berkala untuk pemeriksaan. Ini kerana ia mengurangkan kerumitan lain pada gigi palsu dan menjejaskan kesejahteraan keseluruhan mereka.


ANTARA contoh gigi palsu.

Pengarah Pemasaran dan Ketua Digital Asia Tenggara GlaxoSmithKline Consumer Healthcare, Venaig Solinhac berkata, gigi palsu mempunyai pengaruh besar terhadap kualiti kehidupan dan keyakinan diri si pemakainya.

Tambahnya, segelintir pengguna gigi palsu mendapati gigi palsu memberi kesan terhadap cara mereka memilih makanan, minuman atau cara berinteraksi dengan orang lain.

Sejajar dengan kempen ‘Senyum Bersama Dengan Yakin’, Venaig berharap ia dapat menyebarkan kesukaran yang dihadapi pengguna gigi palsu terutama ibu bapa dalam kalangan anak, sekali gus membantu mereka senyum dengan yakin.

“Ibu bapa kita memainkan peranan penting dalam proses pembesaran kita. Merekalah yang membelikan berus gigi pertama dan mengajar kita berkenaan kebersihan gigi.

“Apabila kita dewasa, peranan itu berbalik dan kini sudah tiba masanya kita pula menjaga keperluan pergigian ibu bapa, terutamanya jika mereka memakai gigi palsu.

“Justeru, kempen ini dilancarkan untuk mendidik anak berkaitan dengan keperluan penjagaan gigi palsu orang tua mereka,” katanya.


DR Ho

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 5:15 AM