CHAN kongsi tip sihat bersama kanak-kanak.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


SEBANYAK 70 peratus responden terdiri daripada kanak-kanak berusia enam hingga 10 tahun tidak mengetahui mengenai pemakanan sihat berbanding sukan.

Kajian kesedaran kanak-kanak mengenai sukan dan pemakanan sihat dijalankan Barca Foundation dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang membabitkan 13,500 kanak-kanak dari 18 negara seluruh dunia.

Perunding dietetik, Goo Chui Hoong berkata, pemakanan sihat penting untuk mengekalkan kecergasan dan kesihatan secara keseluruhan.

Namun, ia lebih mudah diperkatakan berbanding melakukan amalan sihat ini, terutama apabila membabitkan kanak-kanak.

Justeru, ibu bapa perlu ‘bermain’ dengan pelbagai helah untuk memastikan anak mendapat sumber nutrien sihat dan seimbang, di samping mengekalkan keinginan atau cita rasa mereka bagi proses tumbesaran yang positif.

“Secara umumnya, kita tidak mahu terlalu tegas mengenai gaya pemakanan kanak-kanak kerana bimbang mengganggu proses pembesaran mereka.

“Satu cara untuk mendidik anak mengenai amalan pemakanan sihat menerusi pengenalan Pinggan Sihat Malaysia yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Menggunakan mesej pengambilan sukatan makanan seperti karbohidrat, protein, vitamin dan sebagainya mudah difahami kanak-kanak berbanding pengiraan kalori.

“Saya sangat tidak menggalakkan pengiraan kalori makanan terutama untuk kanak-kanak kerana sukar difahami walaupun dalam kalangan orang dewasa. Ini menyebabkan maklumat menjadi sia-sia.

“Sebaiknya mereka didedahkan dengan gaya pengambilan makanan sihat melalui imej Pinggan Sihat Malaysia yang lebih senang,” katanya yang ditemui ketika Bengkel Badminton bersama Beko ‘Eat Like a Pro’, baru-baru ini.

Menurut Goo, ibu bapa memainkan peranan penting menentukan amalan pemakanan sihat bagi anak masing-masing khusus yang mengalami masalah obesiti.

Menyekat nafsu makan anak mungkin boleh mengganggu proses pembesaran mereka, jadi ibu bapa perlu kreatif dan sentiasa memperkenalkan makanan seimbang untuk anak.

Ujarnya, ramai kanak-kanak tidak gemar makan sayur-sayuran, namun itu tidak bermaksud ibu bapa perlu mengalah sebaiknya terus mencuba menerusi gaya penyediaan yang berbeza hingga ia menepati cita rasa anak.

“Jika ibu bapa tidak memulakan inisiati di rumah, berkemungkinan besar anak tidak mendapat sumber nutrisi diperlukan di sekolah kerana ada banyak pilihan kurang sihat ditawarkan yang menjadi kegemaran mereka.

“Selalunya segelintir ibu bapa beranggapan makanan berproses sejuk beku adalah snek ringan dan mudah disediakan, malah turut menjadi kesukaan kanak-kanak.

“Bagi menyeimbangkan makanan sihat dan selera anak, ibu bapa boleh memanfaatkan teknologi seperti ‘air fryer’ untuk menggoreng sekali gus mengurangkan penyediaan makanan berminyak dan berlemak,” jelasnya.

Mengulas mengenai minuman bergula, Goo berpendapat faktor cuaca panas dan dahaga membuatkan kanak-kanak memilih minuman ringan, termasuk selepas aktiviti sukan.

Pengambilan gula berlebihan dalam diet harian boleh meningkatkan risiko obesiti dalam kalangan kanak-kanak, jadi ibu bapa boleh menggunakan helah dengan menyediakan minuman dingin berperisa.

Kata Goh, ibu bapa boleh menghasilkan sendiri minuman berperisa yang kalori sifar sekiranya menggabungkan buahan seperti lemon dan timun yang disejukkan.

Melalui cara ini, ibu bapa dapat mendidik dan mengurangkan pengambilan minuman bergula bagi kanak-kanak.

Perkara yang sama boleh dilakukan sekiranya ibu bapa ingin menggalakkan pengambilan susu yang kaya dengan kalsium bagi pembentukan tulang si kecil.

Kombinasi susu kosong (tanpa gula) bersama buahan atau susu berperisa dengan nisbah 1:1 juga membantu kanak-kanak mendapat sumber kalsium, pada masa sama, mengurangkan gula dalam minuman berkenaan.

Tegas Goo, selain amalan pemakanan seimbang, ibu bapa perlu mendorong kanak-kanak menyertai sukan diminati secara aktif kerana tanpa disedari, mereka melakukan senaman yang baik untuk kesihatan.

Turut hadir, pemain badminton yang juga pemenang pingat perak Olimpik 2016, Chan Peng Soon, berkongsi tip kesihatan bersama kira-kira 50 kanak-kanak di Kepong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 5:10 AM