FOTO NSTP
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


KEROSAKAN pada sarung mielin (myelin) yang menjadi satu daripada struktur penting saraf manusia boleh menjejaskan fungsi penyebaran maklumat atau mesej ke otak dan seterusnya dari otak ke badan.

Sistem saraf menjalankan tugas penting dalam mengawal semua fungsi tubuh manusia. Ia merangkumi degupan jantung, deria, pernafasan dan sebagainya.

Menerusi sistem saraf juga, membolehkan manusia memahami dan bertindak balas dengan persekitaran apabila ia bertindak secara sukarela.

Perunding Perubatan dan Neurologi, Dr Hiew Fu Liong berkata, sistem saraf manusia terbahagi kepada dua iaitu sistem saraf periferal (PNS) dan sistem saraf pusat (CNS).

“Sistem saraf pusat dikaitkan dengan otak dan saraf tunjang, manakala sistem saraf periferal berfungsi dengan bantuan neuron yang juga dipanggil sel saraf.

“Terdapat ribuan saraf yang membawa isyarat sebagai gelombang elektrokimia dari badan dan membawanya ke otak.

“Kemudian, ia menyalurkan mesej dari otak dan menyampaikan ke bahagian tertentu badan untuk proses berikutnya.

“Namun, fungsi penghantaran mesej ini boleh terjejas sekiranya berlaku gangguan atau kerosakan pada struktur saraf terutama PNS mengakibatkan masalah periferal neuropati,” katanya ketika ditemui dalam program ‘Pengurusan Saraf Sihat Optimum - Mencari Bahagian Yang Hilang’, baru-baru ini.


Penyakit periferal neuropati berlaku apabila proses penghantaran maklumat menerusi sel saraf kepada otak tersekat mengganggu kualiti kehidupan pesakit. FOTO NSTP

Katanya, periferal neuropati ini berlaku disebabkan beberapa punca, namun ia sering terjadi tanpa sebab diketahui (idiopatik).

Menurut Dr Hiew, terdapat beberapa keadaan yang boleh menjadi komplikasi sekunder kerosakan saraf termasuk proses penuaan.

“Risiko kerosakan saraf meningkat seiring dengan pertambahan usia apabila periferal neuropati berlaku kira-kira 8.1 peratus dalam kalangan dewasa berusia 40 hingga 49 tahun dan ia meningkat kepada 34.7 peratus bagi mereka yang berusia 80 tahun ke atas.

“Penyakit kronik terutama diabetes juga menjadi faktor pertama masalah periferal neuropati di seluruh dunia. Ini terbukti apabila hampir 50 peratus pesakit diabetes mengalami periferal neuropati diabetik.

“Amalan gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan alkohol dan rokok turut menyumbang kepada masalah kesihatan ini.

“Selain itu, proses tekanan pada saraf secara berterusan atau trauma menjejaskan kesihatan saraf dalam tempoh yang panjang.

“Kekurangan nutrien terutama vitamin B, kesan sampingan ubatan tertentu dan faktor genetik antara faktor masalah periferal neuropati,” jelasnya.

Merujuk kepada struktur saraf, Dr Hiew berkata, ia terdiri daripada sel saraf, axon dan sarung mielin.


KEROSAKAN pada lapisan sarung mielin. FOTO NSTP

Lapisan sarung meilin berfungsi seperti penebat elektrik, perlindungan dan mempercepatkan proses penghantaran maklumat.

Justeru, apabila serat mielin mengalami kerosakan, ia tidak dapat menyalurkan isyarat yang betul sekali gus mewujudkan simptom seperti kebas, rasa seperti terbakar ataupun kejutan elektrik.

“Simptom periferal neuropati ini meluas dan berbeza-beza, jadi ia sering dianggap tidak masuk akal untuk pesakit mendapatkan nasihat dan rawatan perubatan.

“Profil periferal neuropati agak rendah dan mempunyai persamaan dengan gejala penyakit lain, sekali gus ia sukar dikesan dan tidak didiagnos.


MASALAH periferal neuropati mengganggu penghantaran maklumat dan isyarat. FOTO NSTP

“Masalah periferal neuropati kronik selalunya terjadi apabila kerosakan saraf berlaku secara berterusan tanpa rawatan. Ini akan memberi impak negatif kepada pelbagai jenis saraf di bahagian tubuh berlainan serta fungsinya.

“Dalam kalangan penduduk di Malaysia, faktor risiko periferal neuropati seperti penuaan dan diabetes terus meningkat, jadi penting bagi penyedia penjagaan kesihatan dan orang awam memberikan lebih perhatian serta bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran mengenai periferal neuropati.

“Pengesanan awal dan pengurusan atau rawatan adalah satu kemestian untuk mengekalkan kualiti hidup dan kebebasan fizikal mereka yang berisiko,” katanya.

Beliau turut mendedahkan hasil kajian pesakit dan doktor, ‘Perception of Painful Diabetic Peripheral Neuropathy (pDPN) in South East Asia’ menunjukkan hanya 43 daripada 100 pesakit menjalani ujian saringan kesihatan saraf di Malaysia.


PENGAMBILAN sumber vitamin B bantu mengurangkan masalah periferal neuropati. FOTO NSTP

Manakala, selebihnya tidak melakukan ujian saringan berkenaan kerana tidak mengetahui mengenai PNS malah tidak dikongsikan bersama pegawai perubatan.

Sementara itu, Pengurus Kanan Perubatan Global, Procter & Gamble Health International, Dr Inna Eiberger berkata, kekurangan pengambilan vitamin B dalam kehidupan harian memberi kesan terhadap kesihatan saraf.

Katanya, pengambilan vitamin B terbukti mempunyai kesan pemulihan pada fungsi saraf periferal bagi peringkat terapeutik.

Menyifatkan vitamin B1, B6 dan B12 antara sumber zat yang diperlukan, beliau berkata, ia boleh didapati dalam bentuk bijirin, sayuran, kentang, kekacang, buahan, susu, produk tenusu dan daging.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:10 AM