BERLAKU apabila sisa makanan terlekat pada tonsil palatin.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


PROSES pembentukan tonsilolith atau lebih dikenali dengan batu tonsil boleh berlaku dalam jangka masa singkat mahupun panjang.

Ia dapat dikenal pasti berdasarkan tekstur batu tonsil sama ada lembut atau keras.

Mempunyai struktur berbentuk bulat rata dan tidak bersegi, tonsilolith berwarna putih kekuningan ini selalunya berlaku pada tonsil palatin yang terletak di belakang mulut serta di tonsil lingua (di pangkal lidah).

Pakar otorinolaringologi (telinga, hidung, tekak, kepala dan leher), Dr Ahmad Kusyairi Khalid berkata, pembentukan tonsilolith jarang berlaku pada tonsil lain seperti ‘tubal tonsil’ (tonsil tiub) di belakang telinga atau tonsil adenoid.

“Batu tonsil ini hanya berlaku pada tonsil palatin dan tonsil lingua kerana pembentukannya terhasil daripada makanan yang diambil serta pengumpulan bakteria.

“Segelintir individu memiliki saiz tonsil yang besar, jadi apabila kita menelan makanan, lebih banyak sisa makanan terlekat pada tonsil palatin.

“Tambahan pula, ciri fizikal tonsil ini mempunyai ‘lurah’ atau berjalur-jalur, makanan yang dimakan boleh tersekat pada mana-mana lurah berkenaan.

“Apabila kita tidak membersihkan mulut selepas makan seperti berkumur, sisa makanan terus terlekat pada lurah tonsil, seterusnya menarik kehadiran bakteria.

“Gabungan sisa makanan dan bakteria ini akan membentuk tonsilolith. Proses pembentukan ini boleh berlaku dalam beberapa hari, minggu atau tahun.

“Tonsilolith ini mempunyai tekstur lembut dan juga keras, terutama jika ia dibiarkan dalam tempoh yang panjang serta reaksi terhadap kalsium.

“Berdasarkan rekod diperoleh, tonsilolith paling berat pernah dicatatkan adalah 42 gram.

“Tonsilolith atau batu tonsil ini mempunyai bentuk tidak bersegi, justeru ia tidak melukakan bahagian dalaman mulut,” jelasnya ketika ditemui.

Mengulas hubung kait diantara tonsilolith dan mulut berbau, beliau mengakui ia antara punca mulut berbau.

Kehadiran sisa makanan dan bakteria menyebabkan penghasilan bau mulut yang kurang menyenangkan, terutama waktu menunaikan ibadat puasa.

Ujarnya, ketika bersahur selalunya selepas makan, kita sering tidak menggosok gigi atau berkumur dan terus menyambung tidur.

TONSIL bersaiz besar lebih mudah memerangkap sisa makanan.

Ketika tidur, secara normal manusia tidak akan menelan air liur dan membuatkan air liur berkumpul di dalam mulut.

Kehadiran sisa makanan pada gigi dan bakteria dalam mulut membuatkan mulut menjadi lebih berbau ketika bangun tidur seterusnya berpuasa.

Katanya, punca mulut berbau juga boleh disebabkan masalah plak yang banyak pada gigi, sinus dan ketumbuhan dalam mulut.

Menurut Dr Ahmad Kusyairi, saiz tonsil palatin terbahagi kepada beberapa gred mengikut strukturnya sama ada normal, sederhana atau besar hingga menghalang laluan pernafasan.

Tonsil adalah organ yang ‘bekerja kuat’ dalam menghasilkan sel melawan penyakit sejak manusia dilahirkan.

Ia juga adalah sebahagian daripada sistem imun badan apabila menyaring bakteria yang cuba menyerang tubuh serta membantu dalam proses pembentukan antibodi.

Jadi, ia adalah normal sekiranya kita melihat ramai kanak-kanak mempunyai tonsil bersaiz besar.

Namun, apabila sum sum tulang mengambil alih fungsi tonsil ketika manusia berusia lima hingga tujuh tahun, seharusnya organ berkenaan mengecut kerana ia tidak lagi ‘bekerja’.

Meskipun begitu, beliau berkata, kira-kira 30 hingga 40 peratus populasi masyarakat mengalami situasi tonsil tidak mengecut sekali gus menjadi faktor pembentukan tonsilolith.

“Apabila tonsil palatin ini besar, makanan lebih mudah terlekat dan menarik pembiakan bakteria seterusnya mengakibatkan tonsil membengkak atau tonsilitis.

“Selalunya jangkitan tonsilitis akan dirawat dengan pemberian antibiotik dan ia akan pulih. Namun, jika batu tonsil masih tidak dibuang, risiko untuk pesakit mendapat tonsilitis berulang adalah tinggi.

“Selain itu, saiz tonsil yang besar boleh menyebabkan masalah tidur berdengkur apabila ia menghalang laluan udara dan mengganggu sistem pernafasan.

“Komplikasi lain, individu akan mengalami gangguan tidur apabila kerap terjaga gara-gara sesak nafas (sindrom tidur apnea). Ia juga boleh mengakibatkan kes kematian dalam tidur.

“Sekiranya tonsilitis tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan pengumpulan nanah diantara tonsil dan lelangit lembut. Nanah ini boleh memasuki salur darah ke organ lain.

“Masalah tonsilitis berulang juga boleh menyumbang kepada pembesaran organ tonsil, justeru disarankan ia dibuang menerusi pembedahan.

“Pembedahan tonsilektomi adalah prosedur kecil menerusi bukaan mulut yang memakan masa kira-kira 20 hingga 30 minit saja. Manakala tempoh pemulihannya mengambil masa antara satu hingga dua minggu,” katanya.

Berkongsi panduan penjagaan mulut dan pernafasan sihat, Dr Ahmad Kusyairi menyarankan amalan kesihatan oral yang baik termasuk memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan berkumur.

Selain itu, orang ramai juga boleh menggunakan produk pencuci mulut yang ada di pasaran bagi mengekalkan kesegaran nafas dan kebersihan mulut yang sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:30 AM