SENAMAN dan aktiviti sihat mampu membantu membakar lemak di bahagian perut.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


“PAKAILAH bengkung seketat mana pun, kalau diet tak dijaga, perut buncit tetap buncit,” jelas Pakar Perunding Endokrinologi, Dr Alexender Tan Ton Boon.

Katanya, ramai beranggapan penggunaan alat bantuan untuk kelihatan ramping boleh mengempiskan perut yang boroi terutama bagi lelaki yang sudah berkahwin.

Masalah perut buncit dalam kalangan lelaki selepas berkahwin bukan cerita baharu.

Malah, rata-ratanya mengidamkan bentuk tubuh yang ‘menggiurkan’ sebelum sah menjadi suami orang, iaitu perut rata berotot dan bangga untuk ditayang.

Bagaimanapun ada antara rakan penulis yang sudah berkahwin berasakan perut buncit selepas berkahwin adalah satu ‘kurniaan terindah’ kerana menunjukkan mereka gembira dan makan minum terjaga.

Dr Alexender berkata, sebenarnya banyak faktor mendorong seseorang lelaki mengalami masalah buncit selepas berkahwin antaranya gaya hidup kerana masa untuk keluarga lebih diutamakan berbanding ketika zaman bujang.

Ketika bujang mereka boleh beraktiviti di gimnasium tanpa mengira masa.

Jelasnya, mentaliti lelaki yang baru berkahwin juga berubah untuk tidak menjaga bentuk tubuh kerana berasakan zaman untuk ‘memasarkan’ diri sudah berakhir.

“Selepas berkahwin lelaki berasakan mereka tidak perlu mengerah tenaga di gimnasium bagi mendapatkan bentuk tubuh menarik kerana masa bersama keluarga lebih penting.

“Bahkan mereka juga tidak perlu memikirkan mengenai matlamat mencari pasangan hidup.

“Isteri pula mahu memastikan makan dan minum suami sentiasa terjaga.

“Maka, pelbagai jenis masakan tanpa mengira tahap kolesterol dihidangkan dan rasanya semua isteri mahu menyediakan hidangan enak sepanjang masa,” katanya.

Menurut beliau, sebenarnya masalah perut buncit boleh dialami sesiapa saja baik lelaki atau wanita.


PENGAMBILAN makanan berkalori tinggi menjadi penyumbang berlakunya buncit.

Katanya, ia berlaku apabila lemak di bahagian perut tidak dapat dibakar atau akibat faktor kehilangan otot disebabkan peningkatan usia.

Jelasnya, otot mampu menjadi ejen untuk membakar kalori dalam badan.

Oleh itu, ujarnya jika seseorang mempunyai otot yang kurang boleh mengakibatkan masalah perut buncit.

“Otot biasanya akan mula berkembang pada usia 20 hingga 30 tahun dan mula menurun pada usia 60 hingga 70 tahun dengan kadar sekitar 20 hingga 30 peratus.

“Dalam tempoh perkembangan otot, orang ramai perlu membina otot dengan maksimum kerana kita khuatir apabila sampai usia kemuncak pengembangannya iaitu selepas 30 tahun, otot tidak dapat berkembang seperti dalam tempoh berkenaan.

“Akibatnya bahagian tubuh seperti perut menjadi lokasi pengumpulan lemak,” katanya.

Menurunya, kekurangan hormon testosteron dalam badan lelaki juga mengakibatkan seseorang menjadi buncit dan gemuk serta mengundang pelbagai masalah kesihatan lain.

“Perut buncit menjadi petanda awal kepada seseorang itu untuk mendapat penyakit lain seperti darah tinggi, diabetes, serangan jantung dan masalah kegemukan.

“Kawalan makanan dan gaya hidup yang baik adalah kunci utama mengawal masalah perut buncit tanpa mengira peringkat umur terutama pada usia muda, berkahwin atau tidak,” katanya.

Jelasnya, aktiviti kecergasan amat membantu membakar lemak di bahagian perut disebabkan mengambil makanan berkalori tinggi.

Katanya, tiada jalan pintas seperti menggunakan alat bantuan antaranya bengkung untuk mengempiskan perut yang buncit.

“Kalori daripada makanan akan berkumpul di dalam badan.

“Jika anda pakai alat yang boleh membuatkan perut berpeluh, ia tidak akan membantu ‘menanggalkan’ lemak berkenaan.

“Jadi, kawalan makanan dan aktiviti kecergasan adalah jalan penyelesaiannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:01 AM