MASALAH pening ketika solat boleh berlaku dalam pelbagai peringkat usia. FOTO NSTP
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


TIDAK semena-mena dunia terasa seperti berpusing, badan seolah-olah hilang imbangan. Situasi itu pula berlaku ketika menunaikan solat, bukan ketika bersendirian malah kadangkala sewaktu berjemaah.

Perkara itu boleh menyebabkan kita berasa tidak selesa dan hilang tumpuan ketika beribadat. Ia juga mencetuskan kebimbangan kerana hasil ujian tekanan darah dan aras gula, kedua-duanya berada dalam julat normal.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Pakar Perubatan Akut, Hospital Kuala Lumpur, Dr Azahirafairud Abdul Rahim berkata, pening bermaksud perasaan berpusing dan tidak selesa terutama di bahagian kepala dan boleh juga membabitkan ketidakseimbangan badan.

Beliau berkata, ada pelbagai sebab mengapa seseorang itu boleh mengalami pening ketika menunaikan solat. Antara puncanya boleh dikaitkan dengan faktor umur, kesihatan dan ubatan serta persekitaran.

“Pening sewaktu solat biasa berlaku pada peringkat umur lanjut atau golongan tua. Ia dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti penyakit kronik, masalah kurang deria penglihatan, pendengaran atau keseimbangan, serta kesan pelbagai ubatan yang lebih kerap dihadapi oleh golongan tua. Gejala pening ketika solat juga mungkin tanda atau amaran berkaitan penyakit tertentu,” katanya.

Pakar itu berkata, banyak penyakit boleh memberi simptom pening antara lain penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi (hipertensi), angin ahmar, kurang darah merah (anemia), kencing manis (diabetes) dengan kandungan gula tinggi (hiperglisemia) mahupun rendah (hipoglisemia).

Katanya, faktor lain ialah kekurangan elektrolit dan cecair badan (dehidrasi), masalah telinga dalam (organ vestibular), radang sinus atau sinusitis.


PENGAMBILAN pelbagai ubat boleh menjadi punca pening. FOTO NSTP

“Pening juga boleh berpunca daripada kesan sampingan ubat-ubatan sama ada ubatan yang disyorkan oleh doktor dan juga ubatan tradisional yang dijual di kedai ubat atau farmasi.

“Sekiranya pening berlaku ketika solat, ada beberapa langkah yang perlu dilakukan untuk mengelakkan komplikasi dan mengatasi masalah ini. Sewaktu bersolat, setiap pergerakan perlu dilakukan dengan perlahan dan jangan ubah posisi terutama dari rukuk atau sujud ke posisi berdiri dengan cepat,” katanya.

Katanya, perkara itu boleh menyebabkan situasi yang disebut ‘hipotensi postural’ atau perubahan tekanan darah rendah yang boleh menyebabkan pening.

“Jika masih berasa pening, anda dinasihatkan untuk meneruskan solat dalam keadaan duduk dan jika ia masih berterusan boleh tunaikan solat dalam keadaan baring.

“Ada yang mengatakan tidak perlu solat jika pening atau sakit, namun Islam memudahkan cara dengan solat ketika duduk atau baring. Solat adalah ibadat yang diwajibkan dalam setiap keadaan, hinggakan diajar solat menggunakan gerakan paling minimum yang menunjukkan ia sangat dituntut dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya.


BUAH kedondong yang sedia untuk dimakan.

Jelasnya, sekiranya seseorang itu menghidap penyakit kronik pastikan tahap kesihatan dan kawalan penyakit stabil dengan mengambil ubatan seperti disyorkan.

“Dapatkan nasihat doktor untuk menilai tahap penyakit dan kesan yang mungkin boleh berpunca daripada ubatan anda. Keadaan dehidrasi boleh memburukkan lagi pening ketika solat.

“Pastikan anda minum air secukupnya terutama jika cuaca panas atau jika anda mengalami muntah, cirit-birit atau jika mengambil ubat jenis diuretik yang menyebabkan anda kerap buang air kecil,” katanya.

Beliau juga menasihatkan, turut penting adalah memastikan persekitaran selesa dan mempunyai pengudaraan yang baik. Jika masalah itu berterusan, segera dapatkan nasihat doktor.

“Pening ketika solat mungkin adalah simptom penyakit dan keadaan ini boleh dikenal pasti dan rawatan sewajarnya dapat diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:15 AM