BERSIN tidak berlaku ketika tidur.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


HANYA kerana menahan bersin, seorang lelaki dikejarkan ke wad kecemasan hospital apabila mengalami masalah kesihatan serius iaitu letusan kecil di dalam lehernya.

Tindakan lelaki itu menutup hidung dan menekap mulut sebaik mahu bersin menyebabkan dia mengalami kesakitan melampau di bahagian farinks (bahagian saluran makanan di antara mulut dan esofagus), disusuli pembengkakan serta perubahan suara.

Pemeriksaan terhadap pesakit itu mendapati ada udara terperangkap sekitar trakeanya. Keadaan itu juga menyebabkan satu lubang pada tisu tekak yang lembut terhasil dan menyebabkan udara beralih hingga ke bahagian leher.

Kes itu dilaporkan secara terperinci oleh British Medical Journal Case Reports dan dikategorikan sebagai kes jarang ditemui.

Meskipun kes itu terpencil, mereka yang gemar menahan bersin juga terdedah kepada risiko gegendang telinga pecah, pendarahan hidung dan kerosakan saluran darah.

Justeru, memadai menutup hidung dan mulut dengan kertas tisu bagi mengelak penyebaran bakteria ke individu lain.


BERSIN tindakan pembersihan daripada kuman.

Berikut adalah fakta menarik mengenai bersin:

• Bersin memastikan badan selamat daripada serangan penyakit

Bersin bermakna saluran hidung dilindungi daripada bakteria dan virus. Sebaik sesuatu memasuki ke dalam hidung, bersin adalah tindakan refleks terhadap rangsangan itu.

• Bersin tindak balas pantas

Ia mencapai kelajuan 100 batu sejam dan menghamburkan sekitar 100,000 jenis kuman ke udara.

• Anda tidak bersin apabila tidur

Apabila anda mengantuk, saraf-saraf berkait dengan tidur seterusnya mengawal refleks.

• Cahaya mungkin membuat anda bersin.

Satu dalam tiga orang dilahirkan dengan satu gen turun-temurun yang menyebabkan mereka mudah bersin apabila didedahkan kepada cahaya terang. Ia tindakan semula jadi dan tidak ada apa-apa yang harus dibimbangkan.

• Generasi terdahulu lebih menghargai manfaat bersin

Orang lama biasanya dengan sengaja menggunakan rumput atau bulu untuk merangsang diri supaya bersin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:01 AM