BERKHATAN boleh melindungi individu daripada dijangkiti pelbagai penyakit.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


“Tidak ada fakta mengatakan bersunat atau berkhatan dalam kalangan lelaki mampu memberi lebih rangsangan seksual,” menurut Pakar Urologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Fam Xeng Inn.

Beliau berkata demikian kerana ada

individu yang ingin berkhatan disebabkan tujuan itu. Namun, dalam bidang perubatan, berkhatan adalah amalan untuk menjaga kebersihan atau keperluan disebabkan menghidapi penyakit tertentu.

Berkhatan dalam kalangan rakyat Malaysia bukan sesuatu yang asing terutama bagi mereka yang beragama Islam kerana sudah menjadi tuntutan agama.

Dalam satu kiriman e-mel yang dihantar pakar urologi dari Singapura mengatakan bahawa lelaki bukan Islam kini semakin cenderung untuk melakukan amalan berkhatan kerana faktor kebersihan.

Bagaimanapun, dari segi statistik jumlah individu bukan Islam yang berkhatan sama ada di Malaysia atau Singapura tidak diperoleh, sekali gus angka peningkatan tidak dapat dicatatkan.

Dr Fam berkata, perkembangan itu berkemungkinan besar tidak dapat dinafikan kerana jika di negara Barat yang jelas secara majoritinya bukan beragama Islam, sudah lama mengamalkan aktiviti bersunat untuk tujuan kebersihan meskipun terdapat golongan yang menentang amalan berkenaan.

“Perkara paling utama dalam bersunat ini adalah amalan untuk memastikan pembedahan kecil bagi memotong kulit lebihan yang melindungi kepala zakar atau dikenali sebagai kulup atau ‘prepuce’ dijalankan dengan selamat.


LELAKI Muslim digalakkan berkhatan dan biasanya dilakukan ketika kanak-kanak.

“Di negara maju dalam bidang perubatan membabitkan berkhatan seperti Malaysia, teknologi pembedahan berkenaan sudah berkembang maju dan tidak mempunyai kesan negatif seperti jangkitan kuman selepas kulup dipotong,” katanya.

Jelasnya, berbanding di negara yang masih mundur, proses berkhatan dijalankan secara tradisional memberi kesan kepada individu untuk mendapat jangkitan kuman terutamanya selepas kulit itu dipotong kerana menggunakan alat yang tidak terjamin kebersihannya.

Dr Fam berkata, golongan bukan Islam berkhatan kerana ingin memastikan alat kelamin mereka dalam keadaan bersih. Perkara itu tidak dinafikan kerana

pada sudut kesihatan kulup yang melindungi kepala zakar boleh menjadi lokasi bakteria berkumpul.

“Bagi mereka yang masih mempunyai kulup boleh mengakibatkan smegma (gabungan sel kulit mati, minyak dan cecair dari kulit) pada keliling kepala zakar iaitu rembesan daripada kelenjar sebum kulit dan kulit yang sudah luruh.

“Smegma ini berwarna putih dan boleh mengeras jika tidak dibersihkan. Bagi memastikan keadaan ini tidak berlaku, mereka perlu membersihkannya sekurang-kurangnya sehari sekali,” katanya.

Katanya, seseorang itu boleh terdedah kepada jangkitan kuman, sekiranya smegma tidak diuruskan dengan baik. Lebih membimbangkan membolehkan seseorang itu mendapat penyakit balanitis xerotica obliterans (BXO).

Jelasnya, BXO adalah penyakit yang menyebabkan kulup mengeras, kepala zakar tidak dapat dibuka atau dikenali sebagai fimosis dan saluran kencing tertutup. Akhirnya menjadi faktor berlakunya barah zakar.

Ujarnya, ada juga lelaki yang bukan beragama Islam berkhatan ketika kecil disebabkan masalah kesihatan seperti fimosis yang mengakibatkan sistem kencing mereka tidak dalam keadaan baik.

“Sekiranya fimosis berlaku dalam kalangan kanak-kanak lelaki, boleh mengakibatkan masalah buah pinggang untuk beroperasi dengan baik kerana air kencing mereka tidak dapat dikeluarkan dengan lancar.

“Maka, keputusan untuk berkhatan dicadangkan oleh pakar bagi menyelamatkan mereka daripada mendapat penyakit lain atau merosakkan organ yang terbabit dalam proses perkumuhan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keperluan berkhatan bagi semua lelaki tanpa mengira agama, beliau berkata, dalam kalangan pakar sendiri ada banyak perbincangan dan debat mengenai perkara ini yang sampai sekarang belum ada kata sepakat dicapai.

“Justeru, keputusan untuk berkhatan atau mengekalkan kulup bergantung pada individu itu sendiri kerana ia hak peribadi. Jika mereka berasakan keputusan untuk berkhatan itu baik dan memberi faedah, ia boleh dilakukan.

“Selain itu, tiada had masa untuk berkhatan kerana tidak ada fakta mengatakan peningkatan umur boleh menyebabkan kulup ini sukar dipotong,” katanya.

Pakar itu berkata, usia terbaik untuk berkhatan adalah apabila seseorang itu sudah bersedia untuk menerima bius setempat dan bukan ketika masih bayi. Sebaik-baiknya bermula pada usia lima tahun ke atas.

“Bagi mereka yang ingin berkhatan, perkara paling utama adalah mendapatkan khidmat daripada perawat yang mempunyai kepakaran kerana kita perlu tahu,

setiap alat yang digunakan untuk pembedahan kecil itu penting bagi menjamin keselamatan.

“Kita tidak mahu berlaku pendarahan berlanjutan, dijangkiti kuman, tersalah potong bahagian yang tidak sepatutnya dan mendapat nasihat yang tidak tepat dari segi penjagaan selepas kulup dipotong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 9:26 AM