TEKNOLOGI pergigian restoratif bantu atasi masalah kehilangan gigi
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


WARGA emas sering dikaitkan dengan masalah kehilangan gigi yang memberi kesan kepada penampilan, keupayaan bertutur dengan jelas, proses penghadaman seterusnya menjejaskan proses penyerapan nutrisi.

Kesihatan gigi yang baik bahagian penting dalam aspek kesihatan umum. Bahagian oral yang sihat dan selesa penting bagi orang tua sama seperti peringkat umur lain. Manfaat oral yang sihat kepada warga emas adalah bebas daripada kesakitan dan ketidakselesaan, mampu untuk makan, bercakap dan bersosial tanpa rasa tidak selesa serta malu selain menyumbang ke arah kesejahteraan hidup.

Kehilangan gigi atau edentulism turut berlaku dalam kalangan orang muda berpunca daripada pelbagai sebab termasuk penyakit gusi, gigi mereput dan trauma akibat kemalangan kenderaan, jatuh dan kecederaan bersukan.

Malah, menggigit makanan keras juga boleh menyebabkan gigi retak atau sompek yang memerlukan perhatian. Ketua Pusat Penjagaan Oral IMU Healthcare, Dr Hussein Al-Wakeel berkata, walaupun kehilangan gigi lebih banyak berlaku kalangan orang yang lebih tua, tetapi bukan golongan berkenaan saja yang terbelenggu dengan masalah terbabit.


IMPLAN gigi kaedah popular ganti gigi hilang.

“Kami menemui ramai pesakit yang kehilangan gigi dan mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan usia. Ini termasuk atlet yang cedera di padang dan kanak-kanak yang terjatuh di rumah atau sekolah, malah akibat gigi mereput kerana penjagaan oral yang lemah.

“Tanpa gigi ia sebenarnya boleh menimbulkan pelbagai masalah. Biarpun satu gigi hilang, ia menyebabkan susunan gigi di sebelahnya tidak teratur, selain menyebabkan bebanan terhadap gigi yang ada dan ini menjadi punca gigi retak.

“Bebanan yang berlebihan pada sendi temporomandibular (TMJ) iaitu sendi dan otot rahang untuk membuka dan menutup mulut akibat kehilangan gigi juga boleh mengganggu cara kunyahan dan menyebabkan sakit sendi.


DR HUSSEIN AL WAKEEL

“Umum mengetahui kunyahan yang tidak betul boleh menjejaskan pencernaan, tetapi masalah lain boleh timbul iaitu sukar untuk mengunyah atau berasa sakit.

Ini berikutan kehilangan gigi memberi kesan ke atas cara kita makan, malah menentukan jenis makanan yang patut diambil. Malah, kajian juga mengemukakan hubungan antara kehilangan gigi dan nutrisi.

“Kaitan ini boleh dilihat dalam kalangan warga emas yang rata-ratanya memilih makanan lembut dan mengelak mengambil makanan yang sukar atau menyebabkan rasa sakit bila mengunyah.

“Pilihan ini menyebabkan pengambilan diet tidak seimbang dan kurang berkualiti. Warga emas juga cenderung memilih makanan yang mudah mereka kunyah berbanding makanan yang memiliki nilai nutrisi.

“Selain isu kurang nutrisi, mereka juga mengalami masalah keyakinan diri berikutan kehilangan gigi yang boleh menjejaskan penampilan seseorang terutama senyuman.

“Malah, kehilangan gigi juga menjejaskan sebutan dan mengubah cara kita bercakap. Mereka yang mengalami masalah sebegini sering berdepan kesukaran untuk berkomunikasi dengan jelas, di samping pertuturannya sukar difahami.

“Semua kesan itu menyebabkan perubahan dalam sedar diri mereka. Jika berlaku dalam kalangan orang muda, mereka lebih mudah berdepan isu psikologikal seperti kurang keyakinan, berasa terlalu rendah diri dan ini boleh menjejaskan kualiti hidup mereka dalam tempoh panjang,” katanya.

PILIHAN PEMULIHAN GIGI

Bagaimanapun perkembangan teknologi dalam pergigian seperti pergigian restoratif membantu mengatasi masalah kehilangan gigi. Pergigian restoratif berkaitan dengan pemulihan dan penggantian gigi yang rosak atau hilang.

Kaedah ini membantu mengembalikan semula senyuman, mencegah isu kesihatan oral pada masa akan datang dan memastikan seseorang itu berupaya mengekalkan keseluruhan kesihatan secara optimum.


KEHILANGAN gigi punca otot muka menyusut.

Terdapat beberapa pilihan menggantikan gigi yang hilang dalam rawatan pergigian restoratif dan kaedah yang lazim digunakan adalah tampalan (filling), jambatan (bridge), dentur, implan, korona (crown) atau sarung gigi (cap) dan lapisan seramik (veneer).

Tampalan lebih sesuai merawat lubang kecil pada gigi, di mana bahagian mereput dibersihkan dan lubang pada gigi diisi supaya tidak meninggalkan ruang.

Lapisan seramik adalah penggantian kepada lapisan permukaan gigi, manakala korona adalah gigi prostetik yang dipasang pada gigi rosak untuk mengembalikan fungsinya.

Jambatan pula membolehkan gigi yang berdekatan dengan gigi yang hilang dikecilkan kemudian disarungkan bersama untuk menyokong dan menggantikan gigi yang hilang di tengah.

“Pilihan yang banyak dalam rawatan pergigian ini memudahkan pesakit mencari penyelesaian yang menepati keperluan dan kemampuan kewangan mereka.

“Lebih penting adalah memastikan penyelesaian yang dipilih itu memenuhi objektif rawatan sama ada membantu pesakit dapat mengunyah makanan yang menyediakan nutrisi diperlukan, mendapatkan semula keyakinan dalam penampilan dan senyuman atau membaiki sebutan percakapan dengan jelas.

“Penggunaan gigi palsu sebenarnya tidak cekap kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan. Contohnya, menggunakan gigi palsu yang rosak boleh mengakibatkan ulser mulut dan seterusnya mempengaruhi pemilihan makanan,” katanya.

Katanya, implan pergigian adalah pilihan popular dalam penggantian gigi kerana kaedah ini lebih cekap berbanding jambatan atau dentur konvensional dalam mendapatkan penampilan gigi yang semula jadi.

“Implan adalah akar gigi tiruan terdiri skru titanium dimasukkan ke dalam soket tulang pada gigi yang hilang menerusi pembedahan. Selepas implan dipasang, korona kemudian disarung pada implan dan ia akan kelihatan seperti gigi.

“Dentur yang lengkap juga boleh dipasang bersama implan sekurang-kurangnya dua gigi yang menjalani implan. Hasilnya akan lebih baik dalam kestabilan gigi terutama ketika mengunyah dan bercakap. Implan juga membantu mengekalkan struktur tulang rahang dan mencegah otot muka daripada menyusut berikutan tidak upaya untuk mengunyah.

“Biarpun tiada masalah untuk melakukan implan gigi, namun terdapat situasi memerlukan persediaan dan penjagaan tambahan sebelum seseorang menjalani kaedah ini. Mereka yang menghadapi penyusutan tulang pada rahang atau penyakit gusi tidak boleh melakukan implan gigi.

“Implan gigi juga memerlukan pesakit komited kepada penjagaan gigi yang rapi berikutan tabiat tidak menjaga kebersihan mulut boleh menyebabkan kesakitan, ulser, gingivitis, jangkitan dan keradangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 5:30 AM