PELANCARAN alat pemantau gula darah dihadiri Dr Hakhyun (kiri) dan Dr Nor Azmi (kanan) dan selebriti gaya hidup sihat, Jojo Struys (tengah).
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


TAHAP gula darah merujuk pada jumlah glukosa dalam darah kita. Lazimnya, gula ini datang dari apa saja yang kita makan dan minum termasuk gula yang tersimpan dalam hati dan otot.

Bagi kalangan kita yang tidak menghidap diabetes, aras gula darah (BGL) adalah normal berikutan tubuh kita berupaya menghasilkan insulin untuk mengawal gula darah. Bagaimanapun, bagi penghidap diabetes, BGL mereka sentiasa berubah-ubah dan pesakit terdedah kepada BGL yang tinggi (hiperglisemia) atau rendah (hipoglisemia).

Jika BGL tidak diurus menerusi amalan gaya hidup sihat atau pengambilan ubatan, jumlah gula dalam darah akan meningkat dan perlahan-lahan boleh merosakkan saluran darah. Ini seterusnya mengakibatkan komplikasi serius seperti penyakit jantung dan kegagalan buah pinggang.

Kadar BGL yang sihat adalah sesuatu yang semua orang patut beri perhatian. Lebih-lebih lagi pada musim perayaan seperti sekarang, kita dihidangkan pelbagai juadah lazat dan aneka kuih-muih serta biskut raya yang manis-manis belaka.

Tidak lengkap menjamu selera tanpa mengambil pencuci mulut dan kebiasaan ini menjadikan kita lalai atau memandang remeh mengenai kadar pengambilan gula dalam kehidupan seharian.

BGL normal bagi individu yang tiada diabetes berada pada aras di antara 4 mmol/L dan 7.8mmol/L, manakala penghidap diabetes pula perlu memastikan kadar BGL mereka menyamai aras normal.

Sasaran bagi mendapatkan BGL normal mungkin berbeza bagi setiap individu, bergantung pada beberapa faktor termasuk usia, berapa lama menghidap diabetes, jenis ubatan diambil dan jika anda menghidap masalah kesihatan lain.

Faktor lazim yang boleh membuatkan kadar BGL menaik atau menurun seperti makanan terutama yang mengandungi karbohidrat tinggi, aktiviti jasmani, penyakit dihidapi, tekanan emosi dan pengambilan ubatan bagi penghidap diabetes.

Bagi pesakit diabetes, berapa kerap mereka perlu menguji kadar BGL bergantung pada cara menguruskan penyakit berkenaan. Ada yang membuat ujian beberapa kali sehari dan ada juga yang membuat ujian beberapa kali seminggu.

Perubahan dalam rutin harian juga memberi kesan terhadap penyakit terbabit dan ini memerlukan pesakit diabetes untuk membuat ujian BGL lebih kerap. Mereka perlu membuat ujian lebih kerap jika ada perubahan aktiviti jasmani, mendapat tekanan, dihinggapi penyakit, perubahan tabiat makan, mengubah suai pengambilan ubat, mengalami hiperglisemia, berpeluh ketika waktu malam atau sakit kepala pada waktu pagi.

Penghidap diabetes perlu memeriksa sendiri bacaan gula dalam darah di rumah secara berkala. Ini kerana, penyakit terbabit memberi kesan terhadap tahap gula darah harian dan tahap gula darah yang berterusan tinggi akan merosakkan badan serta mengakibatkan komplikasi.

Mengekalkan gula darah anda pada aras normal boleh menghindar atau melambatkan komplikasi. Tahap gula darah boleh dipantau di rumah atau di tempat kerja dengan menggunakan glukometer mudah alih.


GULA darah yang banyak boleh akibat komplikasi.

Pantau tahap glukosa darah mengikut nasihat doktor. Pemeriksaan pada masa berlainan seperti sebelum atau selepas makan, sebelum atau selepas senaman, sebelum tidur dan ketika berasa tidak sihat kerana ia memberi kefahaman bagaimana tahap gula darah terjejas oleh pengambilan makanan dan aktiviti jasmani.

Pemeriksaan secara berkala ini membolehkan penghidap diabetes mengesan tahap gula darahnya dan sentiasa merekod serta bincangkan hasil ujian itu dengan doktor. Oleh itu, ia akan membantu penghidap diabetes menguruskan penyakitnya dengan cara terbaik.

Ketua Unit Endokrinologi, Pakar Perunding Kanan Endokrinologi dan Perubatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPIKM), Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin berkata, penghidap diabetes mesti mengekalkan kawalan yang baik terhadap keadaan mereka untuk membantu mengurang dan mengelakkan komplikasi diabetes bagi jangka panjang.

Memilih makanan yang berkhasiat, bersenam secara tetap, mengambil ubat diabetes mengikut arahan doktor dan mengawasi gula dalam darah adalah langkah penting untuk mengawal aras gula darah normal supaya boleh melewatkan atau mencegah komplikasi.

“Matlamat pengurusan diabetes adalah mencapai kawalan gula darah yang optimum kerana ini akan membantu cegah komplikasi jangka panjang dan pendek. Oleh itu, ujian pemantauan gula darah yang berkala memberitahu sama ada rawatan yang diikuti mencukupi untuk mengawal aras gula dalam darah atau pesakit perlu mengubah rawatan mereka.

“Lazim terjadi apabila penghidap diabetes meneruskan kehidupan mereka tanpa mengalami sebarang simptom sehingga diserang penyakit jantung, strok, kegagalan buah pinggang, hilang penglihatan dan amputasi anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran sistem pemantauan berganda gula darah dan keton, CareSens Dual daripada i-SENS, baru-baru ini. Alat pemantau dwifungsi itu membantu penghidap diabetes mendapatkan keseimbangan yang betul dalam pemeriksaan aras gula darah dan keton harian.

Pelancaran alat pemantau gula darah dari Korea Selatan itu bermatlamat mengetengahkan kepentingan gaya hidup sihat di Malaysia berikutan negara ini kini dilaporkan memiliki kadar diabetes tertinggi di Asia.

Menurut statistik daripada Institut Diabetes Negara (NADI), kira-kira 2.5 juta penduduk dewasa menghidap diabetes. Malah, data diperoleh NADI juga menunjukkan hampir separuh rakyat Malaysia tidak sedar mereka menghidap penyakit kronik itu.

Presiden i-SENS, Dr Hakhyun Nam berkata, alat pemantau dwi fungsi itu dapat menghasilkan ujian gula darah yang teliti dan langkah melancarkan alat itu di negara ini dianggap tepat pada masanya berikutan bilangan penghidap diabetes diramalkan meningkat.

“Kami tidak saja melancarkan alat pemantau yang boleh membantu penghidap diabetes menguruskan penyakit mereka. Malah, kami bersama-sama masyarakat setempat mempertingkatkan kesedaran mengenai diabetes dengan cara yang berhemah dan sampai ke kumpulan lain yang lebih besar.


PERBEZAAN gula darah normal dan gula darah tinggi serta gula darah rendah.

“Selain itu, kami juga sedar memahami diabetes ibarat kerja sepenuh masa dan peranan kami untuk berkongsi bagaimana menguruskan diabetes. Kami juga menggesa orang awam supaya mendapatkan pemeriksaan aras gula darah yang akan membantu penghidap diabetes mencari keseimbangan,” katanya.

Alat pemantau gula darah berkenaan dilengkapi teknologi terkini yang menawarkan bacaan cepat dan teliti biarpun sampel darah yang sedikit digunakan. Selain mudah dibawa ke mana-mana, alat ini juga disambungkan dengan aplikasi membolehkan bacaan data dihantar terus ke telefon pintar untuk pemantauan hari ke hari yang lebih komprehensif.

INFO

Tanda dan gejala hiperglisemia (gula tinggi)

a. Dahaga yang berlebihan

b. Kerap membuang air kecil (urin) terutama pada waktu malam

c. Keletihan dan rasa mengantuk

d. Loya dan muntah

e. Sakit di bahagian abdomen

f. Penglihatan kabur

g. Peningkatan rasa lapar

h. Kehilangan berat badan yang tidak diketahui puncanya

i. Mulut dan kulit kering

j. Pernafasan berbau seperti buah-buahan

Tanda dan gejala hipoglisemia (gula rendah)

a. Jantung rasa berdebar-debar

b. Kepenatan

c. Penglihatan kabur atau mengalami perubahan visual seperti aura atau kilat

d. Tidak mampu menumpu sepenuh perhatian terhadap pekerjaan

e. Berpeluh

f. Rasa menggigil

g. Sakit kepala

h. Kulit menjadi pucat dan sejuk

i. Pertuturan menjadi tidak jelas

j. Bagi hipoglisemia yang serius, individu itu boleh menjadi tidak sedarkan diri atau mengalami sawan

Jenis diabetes

1) Diabetes Jenis I

Dikenali sebagai diabetes bersandar insulin atau diabetes awal remaja yang dicirikan dengan kegagalan penghasilan insulin oleh kelenjar pankreas. Biasanya, penghidap diabetes Jenis I mula mendapat simptom penyakit ketika kanak-kanak atau remaja. Disebabkan kegagalan penghasilan insulin semula jadi oleh badan, pesakit memerlukan suntikan insulin dari luar untuk pengawalan tahap glukosa darah. Sebanyak 10 peratus penghidap diabetes dalam kategori ini.

2) Diabetes Jenis II

Boleh berlaku disebabkan oleh kerintangan insulin (penurunan sensitiviti tisu badan terhadap insulin) atau penghasilan insulin yang berkurangan. Oleh kerana masih mempunyai sedikit sebanyak insulin dari pankreas, penyakit boleh dikawal secara pemantauan pengambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam dan pengambilan ubat secara suapan (suntikan insulin diperlukan dalam keadaan tertentu sekiranya pengambilan ubat oral kurang berkesan) atau memberi kesan sampingan serius kepada pesakit. Sebanyak 85 peratus penghidap diabetes dalam kategori ini

3) Diabetes ketika hamil (diabetes gestasi)

Diabetes ketika hamil adalah sejenis alahan glukos yang dikenal pasti pada sebahagian wanita ketika mengandung. Sering berlaku dalam kalangan orang Amerika keturunan Afrika, Hispanik, Latin dan pribumi. Diabetes ketika hamil juga biasa didapati dalam kalangan wanita kuat makan atau wanita yang dari keturunan pengidap diabetes.

Ketika mengandung, diabetes ketika hamil memerlukan rawatan untuk mengurangkan gula dalam darah agar tidak memberi kesan terhadap kandungan. Selepas mengandung, kebanyakan wanita antara 90 hingga 95 peratus kembali pulih.

Sebahagian kecil pula antara lima hingga 10 peratus didapati mengidap diabetes bebas insulin (Jenis II). Wanita yang mengalami diabetes ketika hamil mempunyai risiko 20 hingga 50 peratus mengidap diabetes dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

Diabetes ketika hamil juga meningkatkan lagi risiko bayi mempunyai aras bilirubin yang tinggi (demam kuning) berbanding bayi normal.

4) Diabetes bentuk lain

Ada diabetes yang disebabkan faktor genetik (peringkat permulaan dewasa), pembedahan, dadah, kurang zat pemakanan, jangkitan dan penyakit lain. Diabetes kategori ini membentuk satu hingga lima peratus daripada semua penyakit diabetes yang dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 6:01 AM