DIALISIS bantu pesakit kegagalan buah pinggang kawal tahap pengambilan air, jaga tekanan darah. FOTO: Rosela
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


KEBANYAKAN pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis sama ada hemodialisis ataupun dialisis peritoneal dikategorikan pesakit yang stabil, justeru mereka mampu menunaikan ibadat puasa pada bulan Ramadan.

Pakar Nefrologi, Dr Muhammad Iqbal Abd Hafidz berkata, bagi pesakit kegagalan buah pinggang, berpuasa adalah pengalaman unik kerana mereka masih menjalani proses rawatan dialisis tiga kali seminggu selama empat jam yang memerlukan pesakit berada di pusat dialisis hingga waktu berbuka.

Menegaskan perkara pertama sering dibangkitkan mengenai hukum berpuasa bagi pesakit yang menjalani rawatan dialisis sama ada sah atau tidak, beliau berkata, secara amnya, puasa dilakukan pesakit adalah sah.

“Merujuk pada pendapat ulama dan pakar perubatan, hukum berpuasa bagi pesakit yang melakukan rawatan dialisis adalah sah malah tiada fatwa dikeluarkan yang menyatakan ia membatalkan puasa. Justeru, majoriti pesakit ini bersama-sama menjalani ibadat puasa.

“Dialisis adalah proses mencuci darah untuk membersihkan tubuh daripada bahan toksin atau racun berbahaya dalam aliran darah. Ia diperlukan apabila buah pinggang tidak lagi berfungsi.

“Rawatan dialisis terbahagi dua iaitu mencuci darah atau dipanggil hemodialisis dan mencuci darah menggunakan air (dialisis peritoneal). Dianggarkan 10 hingga 20 peratus pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang menggunakan kaedah rawatan dialisis peritoneal, manakala majoriti menggunakan rawatan hemodialisis.


PAKAR Nefrologi, Dr Muhammad Iqbal Abd Hafidz

“Bagi rawatan hemodialisis, secara jelas rawatannya tidak memasukkan air ke dalam tubuh dan ia hanya mencuci darah dengan mengeluarkan racun dalam tubuh pesakit.

“Rawatan dialisis peritoneal pula menggunakan air dialisid yang disalurkan dalam rongga peritoneal (dinding perut) menerusi tiub.

“Air ini bantu menyerap toksin atau racun dalam tubuh pesakit dan kemudiannya air ini dikeluarkan semula selepas empat jam.

“Saya tidak menafikan sememangnya air mengandungi glukosa tetapi ia tidak berfungsi memasukkan nutrien ke dalam tubuh sebaliknya sebahagian daripada proses dialisis,” terangnya ketika ditemui.

Menurut Dr Muhammad Iqbal, ibadat puasa sebenarnya memberi impak positif terhadap kesihatan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang kerana ia dapat membantu mengawal tahap pengambilan air, menjaga tekanan darah seterusnya menjadikan mereka lebih disiplin.

Berkongsi panduan berpuasa bagi pesakit, beliau berkata, sewajarnya pesakit berbincang dengan pakar nefrologi atau doktor masing-masing mengenai keputusan dan situasi kesihatan mereka sebelum berpuasa.

Bagi pesakit yang mempunyai pelbagai penyakit dan memerlukan mereka mengambil ubatan dengan kerap seperti tiga kali sehari disarankan tidak berpuasa, berbanding ubatan yang diambil sekali sehari.

Sekiranya pesakit memiliki keupayaan untuk berpuasa, mereka digalakkan melakukan ibadat berkenaan namun jika tidak mampu, dibolehkan tidak berpuasa pada hari pesakit menjalani rawatan dialisis dan menggantikan puasa itu kemudian.

“Bagi pesakit yang berusia, mempunyai penyakit lain seperti lemah jantung atau kencing manis selalunya tidak mampu untuk berpuasa kerana proses rawatan dialisis itu sendiri membuatkan mereka tidak bertenaga dan dibimbangi memudaratkan kesihatan.

“Syarat utama, pesakit harus tahu kemampuan mereka untuk berpuasa. Berbeza dengan pesakit buah pinggang kronik perlu menjaga kuantiti pengambilan air. Ini kerana buah pinggang mereka gagal berfungsi, justeru ia tidak dapat melakukan proses perkumuhan atau air kencing yang sempurna.

“Pesakit perlu berhati-hati ketika mengambil air sewaktu berbuka mahupun bersahur. Pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang hanya memerlukan kira-kira 800 hingga 1,000 mililiter air sehari.

“Tidak digalakkan minum air secara berlebihan kerana dibimbangi air diambil tidak dapat dikeluarkan dari tubuh seterusnya membuatkan tubuh membengkak, air berkumpul dalam paru-paru hingga mengalami kesesakan nafas,” katanya.

Selain itu, pesakit perlu mengamalkan pemakanan seimbang dengan mengurangkan makanan tinggi gula, garam, berminyak dan produk tenusu.

Ada jenis makanan yang ‘berbahaya’ buat pesakit sekiranya diambil berlebihan seperti kurma, durian, pisang, kentang dan buahan kering kerana kandungannya yang tinggi potasium boleh mengakibatkan masalah jantung.

Ujar Dr Muhammad Iqbal, makanan segera yang mengandungi fosfat tinggi juga perlu dielakkan kerana ia boleh meningkatkan penghasilan hormon paratiriod mengakibatkan tulang mudah rapuh terutama bahagian tulang belakang, kaki dan lengan.

Malah pesakit dinasihatkan mendapatkan rehat secukupnya kerana proses rawatan dialisis memenatkan.


RAWATAN dialisis memenatkan.

PERINGATAN BUAT PESAKIT BUAH PINGGANG

- Mesti bersahur dan melengahkan sahur. Ini penting untuk mengelakkan badan menjadi lemah. Pesakit buah pinggang memerlukan lebih kalori berbanding individu yang sihat.

- Berhati-hati dalam pengambilan sodium, potassium dan fosforus. Sodium banyak dalam garam, jika didapati makanan disajikan adalah masin, berhenti mengambil makanan berkenaan, sebaiknya pilih hidangan lain.

Potasium pula banyak dalam sesetengah sayur seperti tomato, kentang, sayur berdaun hijau dan buah-buahan seperti nanas, oren, mangga, kurma, aprikot dan pic. Fosforus banyak terkandung dalam kacang, minuman berkarbonat, kekacang dan produk tenusu.

- Patuhi waktu pengambilan ubat seperti yang diarahkan doktor kerana ada sesetengah ubat perlu diambil ketika makan, bukan sebelum atau selepas.

- Kawal pengambilan air supaya ia tidak membebankan jantung dan paru-paru.

- Kurangkan makanan manis dan banyak lemak kerana pesakit buah pinggang lebih cenderung mengalami penyakit kardiovaskular.

- Elakkan berada di tempat panas untuk mengurangkan risiko pitam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 5:30 AM