MENGAMBIL ubat pada waktu siang membataskan untuk berpuasa. GAMBAR hiasan.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


KEHADIRAN Ramadan pastinya amat dinanti-nantikan semua umat Islam memandangkan bulan ini menjadi lubuk mendapatkan pahala hasil daripada amalan yang dilakukan.

Bagi orang yang sihat, menahan makan dan minum selama sekitar 13 jam bukanlah satu masalah besar. Malah, ramai yang mampu kekal cergas.

Namun puasa bagi golongan yang uzur atau menghidap penyakit kronik adalah satu cabaran. Inilah sebabnya Islam memberi keringanan kepada mereka. Namun begitu, mereka masih perlu berpuasa mengikut kemampuan masing-masing, walaupun hanya separuh hari.

Inilah yang dilakukan oleh Mohd Yusof Ahmad, 66, yang mengalami penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan ulser usus. Malah, setiap hari dia perlu mengambil lima jenis ubat untuk merawat penyakitnya.

Mohd Yusof atau lebih mesra disapa Pak Usop adalah bekas tentera yang kini berkhidmat sebagai pekerja landskap. Dia mula dikesan menghidap empat penyakit berkenaan sejak empat tahun lalu.

Disahkan mempunyai penyakit adalah khabar duka buat dirinya. Apatah lagi, apabila mengetahui diri tidak cergas seperti dulu untuk berpuasa.


AKTIVITI beriadah tidak terhad di bulan puasa dan dapat mencergaskan badan. GAMBAR hiasan.

Katanya, sejak empat tahun lalu apabila disahkan menghidap empat penyakit berkenaan terutama ulser usus, dia tidak boleh membiarkan perut dalam keadaan kosong kerana ia boleh mengakibatkan perut menjadi berasid dan seterusnya menyebabkan gastrik.

“Biasanya saya akan cuba juga untuk berpuasa mengikut kemampuan selama empat atau lima jam sebelum jam 1 tengah hari. Sekurang-kurangnya dapat juga merasai sedikit nikmat berpuasa walaupun dalam keadaan tidak mengizinkan.

“Saya pernah mencuba untuk berpuasa penuh satu hari tetapi ia menyebabkan saya mengalami gastrik yang teruk,” katanya.

Mohd Yusof berkata, ahli keluarga amat memahami keadaan dirinya dan sentiasa menyokong untuk mengutamakan soal penjagaan kesihatan dan di dalam Islam juga tidak memaksa golongan yang dalam keadaan uzur untuk terus berpuasa.

Katanya, bagi membolehkan dia terus berpuasa separuh hari, biasanya waktu sahur dia akan mengambil makanan berat dan ubat yang diperlukan.

“Selepas waktu sahur saya cuba untuk tidak tidur kerana itu adalah tempoh yang membolehkan saya untuk merasai nikmat berpuasa seketika kerana biasanya selepas jam 1 tengah hari saya akan mula letih.

“Jadi dalam tempoh enam atau tujuh jam ketika berpuasa itu, saya perlu peka kepada keadaan kesihatan. Jika perut terlalu sakit, biasanya saya akan terus berbuka kerana tidak mahu mengambil risiko,” katanya.

Katanya, meskipun tidak boleh berpuasa penuh tetapi dengan kekuatan fizikal yang masih baik membolehkan dia melakukan ibadat lain seperti solat sunat Tarawih pada waktu malam.

“Bagi saya, ini adalah ujian untuk saya sepanjang Ramadan tetapi ia bukan penghalang saya menikmati dan merasai keindahan mendapatkan pahala menerusi amalan lain.

“Dalam masa yang sama, setiap hari saya tetap mencuba menambah bilangan jam untuk berpuasa. Namun, buat masa ini, keadaan kesihatan hanya membolehkan saya berpuasa separuh hari,” katanya.

Tambahnya, dia menasihatkan mereka yang mempunyai kesihatan yang baik untuk menghayati Ramadan sebaiknya kerana apabila sudah dalam keadaan kurang sihat, mereka akan berasa rugi kerana tidak dapat menikmati amalan itu.

“Golongan muda khasnya, dalam keadaan masih sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan jangan mudah meninggalkan amalan wajib ini kerana kita tidak tahu sampai bila diberi peluang bertemu Ramadan.

“Saya juga berharap dengan pengambilan ubat secara berdisiplin ini dapat membantu mengembalikan tahap kesihatan seperti dulu dan mampu menunaikan ibadat pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 5:30 AM