DEPRESI boleh mengakibatkan masalah kebimbangan melampau. GAMBAR hiasan
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

BERPELUH, degupan jantung menjadi laju dan akhirnya terasa sesak nafas. Kadangkala terasakan diri kurang selamat dan jadi tidak keruan. Apabila menjalani pemeriksaan kesihatan, keadaan darah, oksigen dan organ lain berada dalam keadaan normal.

Perkara seperti ini tentu menimbulkan tanda tanya mengapa berlaku, sedangkan mereka sihat dan tidak menghidap penyakit.

Sebenarnya, perkara itu boleh disebabkan masalah mental yang dipanggil kebimbangan melampau dan berlaku pada individu tertentu.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Khaidir Ismail berkata, masalah mental bermula dengan tiga tahap iaitu tekanan, kemurungan dan kebimbangan melampau.

Beliau berkata, tekanan atau stres boleh terjadi dalam keadaan positif dan negatif kerana ia membabitkan emosi yang disebabkan berlaku keadaan luar jangka seperti kejutan kelewatan gaji masuk atau mendapat hadiah yang terlalu mewah.

“Peringkat kedua ialah kemurungan atau depresi. Perkara ini membabitkan emosi yang menyebabkan kita jadi malas bertindak seperti tidak mahu bercakap, mengasingkan diri daripada orang lain dan berasa sedih bagi tempoh yang panjang.

“Peringkat ketiga ialah kebimbangan melampau yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang lebih serius sehingga mengganggu fungsi organ dalaman dan ingin membunuh diri,” katanya.

Pada 2018, berdasarkan Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan, tiga dalam setiap 10 orang dewasa berusia lebih 16 tahun menderita pelbagai isu kesihatan mental. Malah, ia dijangka masalah kesihatan kedua terbesar menjejaskan rakyat Malaysia menjelang 2020 selepas penyakit jantung.

Dr Khaidir berkata, masalah kebimbangan melampau tidak hanya berlaku pada golongan tertentu seperti pekerja yang dikatakan mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi.

Katanya, perkara itu boleh menimpa mereka berusia seawal 12 tahun. Di negara asing, isu kebimbangan melampau dalam kalangan usia yang sangat muda ini bukan perkara baru.

“Di Malaysia ramai tidak mengendahkan masalah tekanan mental peringkat awal kerana anggapnya sebagai isu remeh dan tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan.

“Bagaimanapun, sejak timbul laporan mengenai individu melarikan diri serta cuba bunuh diri akibat tekanan di tempat kerja atau di sekolah, masyarakat kita melihatnya sesuatu yang serius dan perlu ditangani,” katanya.

Tambahnya, masalah tekanan di tempat kerja boleh diatasi dengan mewujudkan kerjasama baik antara majikan dan pekerja kerana kedua-dua pihak perlu sama-sama memainkan peranan bagi mengelakkan tekanan mental berlaku kerana kerja.


KANAK-KANAK tidak terkecuali mengalami tekanan.

“Pertama, majikan perlu mempunyai dasar kerja sebelum memberi arahan kepada pekerja. Perkara ini penting bagi memastikan pekerja menyiapkan tugasan seperti ditetapkan.

“Sekiranya majikan atau ketua dalam kumpulan kerja tidak mempunyai dasar kerja yang jelas dan sentiasa berubah-ubah, ia pasti memberikan tekanan kepada pekerja untuk menyiapkan tugasan,” katanya.

Tambahnya, golongan pekerja juga perlu mempunyai pengurusan waktu yang baik untuk memastikan tugasan diberikan oleh ketua pasukan atau majikan disiapkan tanpa tertekan.

“Keterbukaan kedua-dua pihak menerima kritikan atau pandangan perlu kerana memendam rasa tidak berpuas hati terlalu lama mengakibatkan seseorang mengalami masalah mental, kebimbangan melampau.

“Selain itu, meluaskan jaringan komunikasi dengan rakan-rakan atau ahli keluarga boleh bantu mengurangkan tekanan, yang akhirnya mencegah kebimbangan melampau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 5:00 AM