PESAKIT hanya bergantung pada antibodi untuk melawan virus. GAMBAR hiasan
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


MEREKA yang pernah mengalami demam denggi pasti tahu betapa deritanya kerana ada juga yang mengatakan seperti hampir hilang nyawa.

Mana tidaknya, tidak boleh tidur, jika bangun sendi terasa sakit dan selera makan turun mendadak.

Paling merisaukan pesakit hanya bergantung pada antibodi untuk melawan virus penyebab denggi yang mengambil masa agak lama dan air sentiasa diperlukan bagi memastikan badan tidak terhidrasi.

Menurut Pensyarah dan Pakar Kecemasan Jabatan Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Mohd Hisham Mohd Isa, demam denggi jangkitan virus disebabkan gigitan nyamuk Aedes betina yang dijangkiti virus denggi.

Katanya, dianggarkan 50 juta jangkitan demam denggi berlaku setiap tahun di seluruh dunia.

Jelasnya, dari 1995 hingga 2017 menunjukkan peningkatan ketara terhadap bilangan kes denggi di Malaysia.

“Pada 2017 sebanyak 83,849 kes dicatatkan di seluruh negara dengan 177 kematian akibat denggi.

“Selangor mencatatkan jumlah kes yang tertinggi sehingga Mei 2019.

“Kawasan jangkitan denggi tertumpu di bandar dan separa bandar kerana terdapatnya lokasi pembiakan nyamuk Aedes yang popular seperti tapak pembinaan dan pembuangan sampah yang tidak diselenggara dengan baik,” katanya.

Jelas Dr Mohd Hisham, pesakit yang dijangkiti akan merasa tanda penyakit denggi dalam tempoh tiga hingga 14 hari setelah digigit nyamuk berkenaan.

Katanya, antara gejala adalah demam, sakit kepala, sakit otot dan sendi, lesu atau lemah badan, hilang selera makan dan ruam di kulit.

“Jika penghidap demam denggi mempunyai gejala muntah atau cirit birit berterusan, sakit perut, pendarahan pada bahagian hidung, gusi, najis berdarah atau darah haid yang lebih daripada biasa mereka perlu segera mendapatkan rawatan.

“Selain itu, jika berasa terlalu lesu atau letih, susah bernafas atau hati bengkak juga tidak boleh dibiarkan kerana boleh mengakibatkan pesakit mengalami kesan lebih buruk,” katanya.

Kata Dr Mohd Hisham, pada fasa lebih kritikal, pesakit akan mengalami tekanan darah rendah, pendarahan pada rongga dan terdapat air di paru-paru atau bahagian abdomen.

SEMBURAN nyamuk di kawasan perumahan boleh mengelakkan kes denggi.

“Dari segi rawatan, tiada yang boleh diberikan secara khusus kerana tiada vaksin yang mampu mencegah denggi dan penggunaan antibiotik juga tidak membantu untuk merawat pesakit.

“Kebiasaannya kita perlu memastikan pesakit minum air secukupnya supaya tidak mengalami dehidrasi, mengambil ubat demam untuk mengawal suhu badan dan berehat secukupnya,” katanya.

Mengulas mitos dan fakta demam denggi, katanya, ramai yang percaya sup ketam, jus betik dan minuman isotonik boleh merawat denggi dengan menaikkan bacaan pada bilangan platlet.

“Sebenarnya adalah mitos kerana tiada bukti saintifik menyokong bahan makanan tadi boleh merawat denggi.

“Bahkan ada kajian yang melaporkan daun betik boleh memudaratkan pengguna kerana mengandungi sianida yang bertindak seperti racun.

“Minuman isotonik pula mempunyai kandungan gula yang tinggi dan tidak sesuai untuk penghidap kencing manis. Ia sekadar makanan dan bukan untuk merawat denggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 4:30 AM