Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Bayangkan krisis penjagaan kesihatan sedunia yang mengakibatkan 10 juta kematian setiap tahun dan memakan kos lebih RM420 trilion menjelang 2050. Apakah krisis yang berupaya mencetuskan situasi terbabit? Jawapannya adalah kerintangan antimikrob (AMR).

Keadaan ini boleh berlaku seandainya organisma mikro seperti bakteria, kulat, virus dan parasit berubah ketahanannya selepas terdedah kepada ubat antimikrob (antibiotik, antikulat, antivirus dan antimalaria). Ia mengakibatkan rawatan tidak lagi berkesan dan jangkitan kekal sekali gus meningkatkan risiko penyebaran kepada orang lain.

Ketua Jabatan Kawalan Jangkitan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Madya Dr Sasheela Sri La Sri Ponnampalavanar berkata, impak jangkitan disebabkan bakteria yang kebal kepada pelbagai jenis ubat berupakan bencana.

Malah, tanpa antimikrob yang berkesan boleh menggagalkan kebanyakan piawaian rawatan perubatan atau mengubahnya kepada prosedur berisiko tinggi.

“Keadaan ini juga menghalang pencapaian perubatan moden, menjejaskan kejayaan pemindahan organ, kemoterapi kanser dan pembedahan utama. Berdasarkan laporan bertajuk ‘The Review on Antimicrobial Resistance’, jika kita tidak ambil langkah segera, kita mengancam masa depan kesihatan awam.

“Anggaran 10 juta orang maut akibat AMR menjelang 2050 itu melebihi kadar kematian akibat kanser, diabetes dan kemalangan jalan raya. Di Asia saja bakal berdepan impak hebat dengan 4.7 juta kematian dalam tempoh 30 tahun lagi,” katanya.

Antibiotik dikategorikan sebagai ubat antimikrob dan kerintangan berlaku apabila kuman seperti bakteria dan kulat membentuk keupayaan melawan ubat yang direka untuk membasminya. Kegagalan tindak balas terhadap antibiotik menyebabkan penyakit berpanjangan dan meningkatkan kos termasuk risiko kematian.

Dr Sasheela berkata, dunia perubatan berhadapan cabaran dengan pesakit yang membuat tanggapan salah mengenai antibiotik yang dikatakan boleh mengubat semua jenis jangkitan. Sebaliknya, antibiotik hanya dibuat untuk merawat jangkitan disebabkan bakteria contohnya Streptococus pada jangkitan tekak, batuk kokol dan benjolan nanah.

“Ia tidak memberi kesan terhadap jangkitan virus seperti influenza, selesema dan denggi. Bukan saja tidak berkesan menentang virus, sebaliknya boleh menyerang antibiotik bakteria berfaedah yang sensitif dalam badan, mendorong pembiakan terlalu banyak bakteria yang rintang kepada ubat.

“Malangnya, bakteria yang kebal ubat ini boleh memindahkan gen kerintangan itu ke bakteria sensitif dalam badan,” katanya.


PELBAGAI ubat antibiotik tidak lagi berkesan akibat kekebalan bakteria.

Kini, lebih banyak jangkitan didapati tidak memberi tindak balas terhadap beberapa jenis antibiotik dan sebahagiannya juga tidak bertindak balas kepada mana-mana jenis antibiotik. Memburukkan lagi keadaan, disebabkan peningkatan kadar kerintangan antibiotik global, ia mengakibatkan antibiotik baharu jangka panjang menyusut.

“Ada sangat sedikit pilihan untuk merawat patogen kebal ini dan ada kala kita tidak mempunyai pilihan. Saya pernah merawat pesakit yang menderita akibat AMR, kebanyakan mereka terdedah kepada pelbagai jenis antibiotik. Apabila individu terdedah kepada sesuatu antibiotik dan membentuk rintangan, ia boleh kekal dalam badan bagi tempoh yang lama, mungkin lebih setahun.

“Pesakit sebegini sangat susah untuk dirawat, mereka memerlukan terapi antibiotik dalam vena (salur darah) untuk jangka panjang, namun biasanya hasil rawatan kurang memuaskan,” katanya.

Katanya, antibiotik juga dikenali sebagai ubat sosial, berikutan kerintangan antibiotik boleh berpindah dari bakteria ke bakteria. Malah, jangkitan berpunca daripada kerintangan bakteria juga boleh tersebar dari individu ke individu lain.

Antibiotik yang digunakan ke atas manusia atau haiwan, lebih kurang 80 hingga 90 peratus ubat itu yang dihadam tidak terurai sebaliknya turun ke usus dan dikumuhkan sebagai bahan buangan.

Antibiotik ini menyimpan keupayaan untuk menjejaskan bakteria dan menggalakkan kerintangan antibiotik walaupun selepas memasuki tanah atau sumber air sebagai bahan buangan. Oleh itu, penggunaan antibiotik dan kerintangan antibiotik akhirnya menjejaskan keseluruhan komuniti.

“Jika anda mendapat jangkitan bakteria dan menerima rawatan antibiotik, sebaik-baiknya habiskan ubat itu yang disarankan doktor bagi mengelak kemunculan bakteria kebal dan rawatan jangkitan separa.

“Secara keseluruhannya, pengambilan antibiotik mesti dikawal. Doktor, ahli farmasi dan orang awam mesti mengelakkan kecuaian penggunaan ubat berharga ini. Antibiotik mesti dideskripsi hanya untuk jangkitan bakteria dalam dos yang betul dan pada masa yang tepat,” katanya.

Saran Dr Shaseela, pesakit harus mendapatkan rawatan daripada doktor sehingga jangkitannya sembuh dan elakkan mendapatkan rawatan daripada banyak doktor pada satu masa. Pesakit juga perlu mendapatkan maklumat lanjut, apakah ubat yang diberi dan mengapa. Menurut undang-undang, nama ubat mesti dilabel dengan jelas bersama kadar dos dan masa pengambilan.

“Pesakit juga mesti menghabiskan ubat antibiotik yang diberikan dalam satu-satu masa. Jangan sekali-kali menyimpan baki ubat itu untuk digunakan pada kecemasan lain. Penting juga untuk tahu bahawa tidak semua antibiotik adalah sama kerana setiap satunya mempunyai mekanisme tindakan berlainan.

“Doktor juga perlu kenal pasti punca jangkitan dan memeriksa sama ada jangkitan itu disebabkan bakteria sebelum membuat deskripsi atau menyarankan antibiotik kepada pesakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 8:02 AM