KESUKARAN kawal pundi kencing simptom masalah kesihatan dialami lelaki dan wanita segenap peringkat umur.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PERNAHKAH anda berdepan situasi kurang selesa termasuklah insiden ‘terkucil’ sebaik sahaja terbatuk atau terbersin?

Situasi ini biasanya membuatkan individu berasa malu dan kurang selesa berada di khalayak umum dan ada kala, boleh mencetuskan kegelisahan keterlaluan.

Mana tidaknya, hanya didorong oleh batuk, bersin atau menerusi aktiviti senaman termasuk melompat, mereka yang mengalami masalah ini akan terkencing yang tidak boleh dikawal.

Masalah terkucil itu juga mengganggu tumpuan terutama dalam situasi memerlukan seseorang itu berada dalam keadaan bersih termasuk ketika beriadah, sembahyang serta mengerjakan ibadat umrah atau haji.

Senario yang dikenali sebagai lemah kawalan pundi kencing ini tidak diklasifikasikan sebagai penyakit sebaliknya ia simptom buat masalah kesihatan yang berkait rapat dengan saluran kencing lelaki dan perempuan.

Masalah ini boleh menimpa setiap usia, lelaki atau perempuan. Bagi kanak-kanak perempuan akan terlebih dulu dapat mengawal fungsi pundi kencing berbanding dengan kanak-kanak lelaki.

Kerana itu masalah kencing malam lebih banyak dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Namun, wanita dewasa lebih me­ngalami masalah kelemahan kawalan kencing berbanding dengan lelaki dewasa.

Masalah lemah kawalan pundi kencing adalah istilah popular dalam kalangan pakar perubatan merujuk pada tidak keupayaan mengawal pelepasan air kencing. Dalam kebanyakan kes, lemah kawalan pundi kencing ini hanya bersifat sementara.

Pakar perubatan, Dr Nurhalina Azly Minhat berkata, pundi kencing mempunyai otot khas untuk membolehkan air kencing dikeluarkan daripada organ berkenaan.

“Air kencing yang dihasilkan buah pinggang tersimpan di dalam pundi kencing. Apabila seseorang kencing, air kencing akan keluar dari pundi ini melalui tiub yang dikenali sebagai uretra.

“Sebaik pundi kencing penuh, maklumat dihantar ke otak melalui sistem saraf bahawa individu itu hendak membuang air kecil.

“Otak pula akan menghantar maklumat ke otot pelvis dan uretra supaya mengendur dan pada masa yang sama, otot pundi kencing akan menguncup supaya air kencing boleh keluar. Bagi wanita, lubang uretra berada di atas faraj,” katanya.

Berlainan bagi lelaki, bahan kumuh ini keluar dari tubuh menerusi saluran kencing yang bersambung dari pundi kencing melalui prostat dan zakar.

Seperti fungsi otot lantai pelvis dan otot uretra, sekeliling saluran kencing lelaki adalah otot berbentuk cincin yang mengawal bukaan dan kuncupan.

Dalam masalah kawalan lemah pundi kencing, kata Dr Nurhalina, ia berlaku apabila wujud kelemahan pada otot dan tisu yang menyokong pundi kencing otot pelvis dan otot di sekitar sfinkter uretra iaitu tempat keluarnya air kencing dari pundi kencing.

“Berlakunya masalah terkucil kerana ada kelemahan pada otot dan tisu yang menyokong pundi kencing dan otot di sekitar sfinkter uretra.


PERLU pengambilan ubat.

“Pundi kencing akan membesar sewaktu air kencing yang dihasilkan oleh buah pinggang terkumpul. Kebiasaannya, sfinkter pada uretra akan tertutup sehingga tiba waktu untuk kencing.

“Sekiranya otot sfinkter menjadi lemah, sebarang tekanan pada kawasan abdomen seperti bersin, mengangkat berat atau ketawa akan menyebabkan air kencing terkeluar,” katanya.

Ada juga mengatakan tabiat buruk menyumbang pada masalah kawalan kencing termasuklah individu yang gemar menahan kencing sedangkan pundi kencing sudah tidak dapat menampung kandungannya hingga menyebabkan insiden terkencing sebelum sempat ke tandas.

Masalah lemah kawalan kencing kalangan lelaki biasanya berkait rapat dengan masalah kelenjar prostat selain kesan rawatan penyakit berkaitan prostat seperti pembesaran kelenjar prostat (BPH) yang berlaku seiring dengan peningkatan usia.

Apabila kelenjar prostat membesar, ia akan menghimpit saluran kencing uretra dan menyebabkan saluran uretra menjadi kecil. Lebih daripada 50 peratus lelaki berumur 60 tahun, dan 90 peratus lelaki berumur 70 hingga 80 tahun mengalami masalah kencing.

Tidak terkecuali juga ia gejala penyakit berkait lain seperti komplikasi saraf yang dialami penghidap diabetes kronik, Parkinson, sklerosis berbilang, strok, selain kecederaan saraf tunjang biasanya akibat kemalangan.

Masalah lemah kawalan pundi kencing sering dihadapi wanita sudah berkahwin. Tambah Dr Nurhalina, faktor mendorong gejala itu termasuk komplikasi selepas bersalin.


RAWATAN laser untuk masalah lemah kawalan kencing.

“Kajian menunjukkan 44.1 peratus sudah berumah tangga di Malaysia mengalami masalah kawalan kencing. Trauma sewaktu proses bersalin juga mendorong masalah ini.

“Masalah lemah kawalan pundi kencing bermula sebaik sahaja selepas bersalin atau beberapa tahun kemudian. Proses kelahiran normal melalui faraj menambah risiko simptom berkenaan.

“Begitu juga jika bersalin dengan bantuan forsep, ketika bayi perlu dikeluarkan dengan cepat, kesan trauma berlebihan berlaku pada otot pelvis dan berisiko untuk mendapat masalah lemah kawalan pundi kencing,” katanya.

Punca lain yang disenaraikan sebagai pencetus gejala lemah kawalan pundi kencing ialah;

Menopaus. Apabila wanita melalui fasa menopaus, hormon estrogen dan testosteron berkurangan menyebabkan otot pelvis dan sfinkter uretra menjadi lemah

Komplikasi selepas bersalin.

Pernah menjalani pembedahan pelvis seperti histerektomi (pembuangan rahim).

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

Meskipun pada awalnya lemah kawalan kencing adalah simptom disebabkan penyakit lain, kesedaran untuk menanganinya perlu ada bagi mengelak fungsi pundi kencing terus merosot.

Bagi wanita, antara rawatannya ialah;

1. Senaman Kegel atau kemut

Senaman ini adalah seperti menahan perjalanan air kencing sewaktu tengah kencing. Kemut selama lima saat dan rehatkan otot lima saat. Ulangi 10 kali, dan lakukan sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

2. Rawatan hormon

Biasanya ujian darah dilakukan terlebih dahulu. Sekiranya aras hormon estrogen atau testosteron rendah, ia boleh diganti dengan hormon bioidentikal dalam bentuk krim sapuan atau pil.

3. Rawatan radiofrekuensi

Rawatan ini dilakukan sewaktu tiada haid. Ujian lumuran PAP diadakan terlebih dulu untuk memastikan kesihatan pangkal rahim. Alat radiofrekuensi dimasukkan ke dalam faraj untuk memanaskan bahagian dalam faraj ke suhu 41 darjah Celsius.

Rawatan ini tidak menyakitkan tetapi cuma berasa suam di dalam faraj. Rawatan mengambil masa 20 hingga 30 minit sehingga semua bahagian di dalam faraj sampai ke tahap 41 darjah Celsius.

Rawatan radiofrekuensi ini merangsang pembentukan kolagen yang mampu menguatkan otot lantai pelvis dan sfinkter uretra. Rawatan ini juga mengetat­kan faraj bagi wanita yang mengalami masalah kelong­garan faraj selepas bersalin atau menopaus.

Selepas rawatan radiofrekuensi, aktiviti harian boleh dilakukan seperti biasa, termasuk hubungan intim. Rawatan perlu diulangi sebulan sekali sebanyak tiga kali dan diulangi jika perlu.


PAKAR perubatan, Dr Nurhalina Azly Minhat.

4. Laser

Seperti rawatan radiofrekuensi, laser dimasukkan ke dalam faraj dan dinding faraj dilaser. Proses ini menyebab­kan badan menghasilkan lebih banyak kolagen.

Pesakit yang menjalani rawatan laser faraj memerlukan masa sekitar seminggu untuk pulih. Dalam lingkungan waktu ini, pesakit tidak dibenarkan melakukan hubungan intim kerana bimbang luka laser dijangkiti kuman. Rawatan laser vagina perlu diulang jika perlu.

5. Pembedahan

Jika semua rawatan disebut tadi tidak berhasil atau tahap kelemahan otot lantai pelvis dan sfinkter uretra sudah pada tahap yang serius, pembedahan mungkin diperlukan.

Lelaki pula perlukan rawatan berbeza kerana faktor anatomi yang berbeza di sekitar kawasan pelvis.

Rawatan untuk masalah kawalan kencing bagi lelaki adalah rawatan pada punca menyebabkan masalah itu berlaku.

Jika ia berpunca daripada masalah kelenjar prostat yang besar, rawatan ubat untuk merehatkan otot pada kelenjar prostat and pundi kencing seperti Terazosin, Doxazosin, Tamsulosin serta ubat hormon yang mengurangkan hormon DHT, iaitu hormon yang mengakibatkan kelenjar prostat membesar.

Ada juga penggunaan ubat anti depresi yang merehatkan otot pada pundi kencing. Rawatan surgeri mungkin diperlukan jika rawatan dengan ubat tidak dapat membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 5:00 AM