KANAK-KANAK perlu didedahkan dengan sentuhan selamat dan tidak selamat sebagai perlindungan awal terhadap gangguan seksual. GAMBAR hiasan
myhealth

KEJADIAN gangguan seksual membabitkan kanak-kanak sebagai mangsa rogol dan liwat sama ada dilakukan dalam kalangan orang terdekat termasuk ahli keluarga mahupun golongan yang dipercayai kewibawaannya seperti guru kian menjadi paparan biasa hari ini.

Hilangnya rasa kasih sayang terhadap si cilik membuktikan jiwa dan fikiran segelintir manusia lebih dikuasai nafsu hingga mengetepikan norma hidup bermasyarakat.

Jadi, sebagai ibu bapa mahupun ahli keluarga normal pasti berasa bimbang apabila memikirkan keselamatan si cilik seandainya wujud manusia bertopengkan binatang berada dalam kalangan mereka.

Selain komunikasi dua hala yang seimbang, ibu bapa disarankan mendidik anak mengenai sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat sebagai petunjuk awal bagi mengesan sesuatu perlakuan atau niat jahat individu asing terhadap mereka.

Sentuhan adalah tindakan menyentuh seseorang atau sesuatu seterusnya mencetuskan perasaan dalam diri sama ada baik ataupun sebaliknya.

Sentuhan baik atau selamat adalah sentuhan yang membuatkan kita berasa gembira dan selesa. Manakala sentuhan tidak baik atau tidak selamat pula menjadikan kita tidak selesa dan berperasaan negatif.

Bagi kanak-kanak seawal usia dua tahun, ibu bapa boleh bantu menamakan bahagian tertentu badan mereka. Antara umur empat hingga lima tahun pula, mereka boleh menamakan bahagian badan, fungsinya dan mengetahui adanya bahagian tertentu adalah sulit dan rahsia.

Jadi, keluarga atau guru perlu mengambil tanggungjawab ini untuk mengajar kanak-kanak bahawa badan mereka adalah hak dan dimiliki sendiri.

Kanak-kanak harus tahu bahawa tiada siapa boleh menyentuh badan tanpa kebenaran mereka sendiri malah berhak untuk menolak daripada disentuh.

Kanak-kanak perlu dididik mengenai empat bahagian dianggap sulit dan peribadi, mulut, dada, kawasan di antara paha (kemaluan) serta punggung.

Satu kaedah mudah, mengajar kanak-kanak peraturan seluar dalam. Seorang kanak-kanak tidak boleh disentuh oleh orang lain pada bahagian badan yang ditutupi pakaian dalam mereka dan mereka juga tidak boleh menyentuh orang lain di bahagian terbabit juga.

Selain itu, ibu bapa juga boleh bantu memberi kefahamankepada anak-anak menerusi perbincangan mengenai sentuhan baik dan tidak baik. Sekiranya anak ingin berbual mengenai sentuhan, sewajarnya ibu bapa atau ahli keluarga memberi perhatian sepenuhnya.


DIDIK anak mengenai bahagian badan sulit. GAMBAR hiasan

Pada masa sama, ia adalah peluang terbaik untuk mengajar mereka mengenai anatomi badan, penggunaan bahasa atau istilah bersesuaian. Dalam mengekalkan kemesraan dengan saudara, ia tidak bererti ibu bapa perlu memaksa anak untuk bermesra sewenang-wenangnya. Ini kerana wujud kes penderaan membabitkan ahli keluarga terdekat mahupun saudara-mara.

Tidak dinafikan, ada segelintir kanak-kanak mempunyai masalah untuk menyatakan emosi sebaliknya ia dizahirkan melalui perbuatan seperti menangis, menjerit atau membaling barangan. Justeru, sebagai ibu bapa seharusnya mengajar dan memberitahu anak untuk meluahkan perasaan tidak selesa melalui perkataan.

Antara teknik yang mungkin boleh membantu adalah latihan bermain peranan. Sebagai contoh, berlatih apa yang harus mereka katakan seperti ‘Jangan! Saya tidak suka itu. Hentikan! dan memberitahu orang dewasa yang dipercayai jika mereka pernah diminta untuk menunjukkan atau disentuh bahagian sulit mereka.

Ibu bapa juga seharusnya mempercayai anak dan sentiasa menyatakan rasa sayang terhadap mereka berbanding menyalahkan si kecil.

Ajar kanak-kanak untuk beri reaksi sekiranya bahagian sulit disentuh, antaranya:

- Menjerit ‘jangan’ atau berteriak sekuat hati untuk pertolongan.

- Lari secepat mungkin ke tempat selamat atau ramai orang.

- Meminta kanak-kanak memberitahu orang dipercayai seperti ibu, bapa, ahli keluarga lain atau guru.

Kanak-kanak perlu beritahu ibu bapa atau individu dipercayai jika:

- Apabila seseorang menyentuh atau melihat bahagian sulit atau peribadi anda.

- Apabila seseorang menunjukkan bahagian sulit atau peribadi mereka kepada anda.

- Apabila seseorang meminta anda menanggalkan pakaian anda.

- Apabila seseorang mengambil gambar anda tidak berpakaian.

- Apabila seseorang menunjukkan gambar atau video orang tidak berpakaian kepada anda.

- Apabila seseorang menyentuh atau mencium bahagian sulit anda.

Peraturan sentuhan untuk diingati:

- Terdapat sentuhan baik dan sentuhan tidak baik.

- Tiada sesiapa yang patut menyentuh bahagian sulit atau rahsia anda tanpa kebenaran anda.

- Jangan sekali-kali bersetuju menyimpan rahsia sentuhan tidak baik.

- Beritahu seseorang yang anda percayai dan teruskan memberitahu sehingga anda dapat bantuan dengan masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 6:01 AM