JEMAAH haji tak ambil vaksin terdedah penyakit meningitis dan boleh jadi penyebar sebaik pulang ke tanah air.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


AWAL bulan lalu, akhbar negara jiran, The Sunday Times, Singapura, mendedahkan ada rakyat Malaysia beragama Islam menentang pengambilan vaksin dengan mendapatkan khidmat bantuan ejen pelancongan atau doktor bagi memalsukan dokumen pemvaksinan jemaah haji atau umrah sekali gus lulus syarat ketat kemasukan mereka ke Tanah Suci.

Sedangkan bermula Mei 2001, kerajaan Arab Saudi menjadikan pengambilan vaksin meningokokus meningitis jenis A, C, Y, W135 dikenali sebagai vaksin Meningococcal Meningitis Quadrivalent (ACYW135) sebagai syarat wajib semua bakal haji dan umrah seluruh dunia.

Ini berikutan insiden yang berlaku pada 1987, sebanyak 12.8 kes daripada 100,000 dilaporkan membabitkan epidemik ini, diikuti 53 kes dengan kematian 30.2 peratus pada 1996.

Disifatkan tidak bertanggungjawab, taktik penipuan ini turut mendedahkan jemaah Malaysia lain kepada penyakit berjangkit seperti meningitis dengan percampuran berjuta-juta jemaah dari seluruh pelosok dunia di Arab Saudi.


KETUA Makmal Penyelidikan Antibiotik Novel, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaaan Malaysia Prof Madya Dr Noraziah Mohamed Zin.

Malah tidak menolak kemungkinan, ia boleh menyebabkan penyebaran penyakit berjangkit kepada ahli keluarga lain sebaik pulang ke tanah air kelak.

Ketua Makmal Penyelidikan Antibiotik Novel, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Noraziah Mohamad Zin berkata, meningitis adalah penyakit membabitkan keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang yang dijangkiti bakteria Neisseria meningitidis.

“Ada 12 jenis bakteria Neisseria meningitidis dan enam daripadanya atau serotip yang sering menjangkiti manusia adalah jenis A, B, C, W135, X dan Y.

“Di seluruh dunia, jenis B dan C sering menjangkiti manusia terutama mereka di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS), manakala serotip A dan C pula di Asia. Serotip W135 adalah jenis yang sering ditemui dalam kalangan jemaah haji. Serotip Y pula dikatakan semakin meningkat di AS.

“Bakteria ini disebarkan daripada manusia ke manusia menerusi titisan cecair saluran pernafasan dari hidung dan tekak orang yang dijangkiti seperti batuk, bersin, bercium atau berkongsi peralatan peribadi termasuk berus gigi, pisau cukur serta peralatan makanan dan minuman.

“Bakteria ini boleh bersembunyi di dalam tekak kita tanpa apa-apa tanda dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa 10 peratus populasi dunia membawa Nesseria meningitidis di dalam tekak mereka.

“Bakteria ini sangat berbahaya kerana bermula dari saluran pernafasan, ia memasuki saluran darah dan menyebabkan keracunan darah (septisemia) teruk serta terus ke otak mengakibatkan meningitis.

“Sekiranya tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan lebih 50 peratus risiko kematian. Namun, dalam segelintir kes antara lapan hingga 15 peratus pesakit akan meninggal dunia dalam masa 24 hingga 48 jam.

“Ada juga 10 hingga 20 peratus pesakit boleh meneruskan kehidupan, namun berkemungkinan mengalami masalah kesihatan kekal termasuk kerosakan otak, hilang pendengaran dan gangguan pembelajaran,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Kesihatan ke Arah Kesempurnaan Manasik Haji dan Umrah di Bangi, baru-baru ini.

Jangkitan mudah merebak ke kawasan penempatan padat seperti asrama, kem tentera dan jemaah haji, Dr Noraziah berkata, wabak ini juga boleh disebarkan ke mereka yang mempunyai tahap imuniti rendah, hubungan dekat dengan pesakit atau pelancong yang melawat kawasan epidemik meningitis seperti negara Afrika, Amerika Selatan dan Asia Tengah.

Menurut beliau, penyebaran paling tinggi penyakit ini dilaporkan di kawasan ‘Lingkaran Meningitis Afrika’ merangkumi 26 negara di bahagian pinggir Sahara, meliputi negara Senegal hingga Habsyah.

Pada 2009, dilaporkan 80,000 kes meningitis mengakibatkan 4,000 kematian dan bagi 2017 pula, Liberia mencatatkan 13 kematian daripada 31 kes direkodkan.

Berdasarkan kajian Masud et al, 2016, sebanyak 3.3 peratus kes meningokokus dilaporkan dalam kalangan jemaah Malaysia dan pada tahun sama, kadar kematian membabitkan meningitis dalam kalangan kanak-kanak adalah 0.7 peratus.


JANGKITAN bakteria pada selaput otak boleh mengakibatkan kematian.

Ujarnya, semua bakal haji dan umrah diwajibkan mendapat suntikan vaksin antimeningokokus meningitis. “Ada dua jenis vaksin, vaksin konjugat kuadrivalen ACYW-135 bagi mereka berusia sembilan bulan hingga 55 tahun, manakala vaksin polisakarida kuadrivalen ACYW-135 untuk jemaah berusia lebih 55 tahun.

“Pengambilan vaksin ini boleh mengelakkan empat jenis penyakit meningokokus (kuadrivalen - A, C, Y, W-135) , mengurangkan kadar pembawa penyakit melalui saluran pernafasan dan risiko membawa balik penyakit ke tanah air seterusnya menjangkiti keluarga terdekat.

“Peratusan pembawa kuman meningokokus meningkat daripada 2.6 peratus ke 53 peratus dalam kalangan jemaah selepas menunaikan haji atau umrah.

“Ini bermakna pembawa bakteria ini tidak saja membahayakan diri sendiri malah memberi ancaman kepada orang sekeliling terutama golongan berisiko tinggi seperti pesakit kronik dan kanak-kanak berusia bawah lima tahun apabila mereka pulang ke negara masing-masing.

“Vaksinasi adalah usaha perlindungan buat jemaah daripada jangkitan penyakit berbahaya dan melindungi keluarga mereka apabila pulang nanti,” jelasnya.

Katanya, pengambilan vaksin percuma ini perlu diambil sekurang-kurangnya dua minggu sebelum ke Tanah Suci dan ia dapat mengekalkan daya imuniti tubuh selama dua hingga tiga tahun.

Penyakit meningokokus boleh membunuh dalam tempoh 24 jam selepas simptom awal dikesan

Gejala meningokokus

- Letih lesu

- Demam panas

- Pening kepala dan muntah-muntah

- Mengantuk dan kekeliruan

- Kejang pada leher atau kaki

- Tidak sedarkan diri

- Sensitif terhadap cahaya

- Meracau

Gejala septisema meningokokus

- Demam

- Sentiasa letih

- Loya atau muntah

- Sakit badan cirit-birit

- Ruam berwarna ungu (tidak hilang jika ditekan)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 5:30 AM