Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

“SEBAGAI lelaki, apakah yang anda tahu mengenai haid? Adakah lelaki perlu tahu mengenai haid? Adakah selaku lelaki, anda perlu mempunyai tanggungjawab untuk mengetahui isu itu?” soal penulis kepada empat lelaki sewaktu meninjau sejauh mana pengetahuan golongan Adam mengenai haid yang menjadi hak eksklusif wanita.

Pelbagai maklum balas mereka beri. Ada antara mereka memberitahu, haid adalah tempoh wanita berehat daripada menunaikan solat dan puasa, haid juga menyebabkan wanita bersikap agak dingin dan ada juga yang tidak pasti mengenai tempohnya.

Apapun jawapan yang diberikan, tinjauan rambang kecil itu tidak cukup untuk menggambarkan pengetahuan lelaki mengenai haid. Mungkin ramai yang masih tidak tahu. Mungkin juga kerana ia adalah dunia eksklusif wanita, maka sebagai lelaki budiman, ramai yang tidak bertanya lebih lanjut supaya tidak dianggap melanggar sempadan.

Sebenarnya haid bukan sekadar pendarahan seminggu atau emosi sindrom prahaid (PMS) yang tidak menentu, sebaliknya mencakupi skop yang lebih luas untuk diambil tahu kerana ia juga membabitkan soal kesihatan, ibadat dan kesejahteraan keluarga.

Menariknya, dalam temu bual berkaitan keperluan lelaki mengetahui isu haid bersama Pakar Perbidanan, Sakit Puan dan Kanser Wanita Pusat Perubatan Sunway, Dr Zaharuddin Rahmat, beliau menjelaskan golongan Adam kini sebenarnya semakin mempunyai pengetahuan mengenai isu berkenaan.

Malah, ada suami yang lebih peka mengenai tempoh dan kitaran haid isteri kerana bagi mereka, perkara itu penting bagi menjamin keharmonian rumah tangga. Inilah juga yang diinginkan wanita.

Berdasarkan tinjauan rambang penulis, tiga daripada empat wanita bersetuju haid dibincangkan merentasi sempadan jantina kerana lelaki perlu tahu mengenai haid untuk memahami keadaan wanita terutama apabila mereka sudah berkahwin.

Begitupun, hingga hari ini masih ada yang mengaitkan perubahan emosi wanita dengan haid dan mengatakan mereka mengalami sindrom PMS. Walaupun sekadar gurauan tetapi isu kecil ini boleh mencetuskan pergaduhan jika lelaki khususnya suami tidak memahami perubahan yang dialami isteri.

“Wanita tidak suka lelaki terutamanya, melabelkan mereka mengalami PMS, sama ada ketika itu mereka didatangi haid atau tidak kerana ia menggambarkan mereka dalam keadaan ‘kotor’ dan mengalami ketidakseimbangan hormon.

“Jika mereka tidak boleh melakukan sesuatu perkara, jangan dipaksa dan sebaliknya perlu dibantu. Kalau mereka tidak mahu pergi ke sesuatu tempat, jangan juga dipaksa. Jika mereka inginkan waktu bersendirian, berikan waktu itu kepadanya,” kata Dr Zaharuddin.

Menurutnya, haid adalah perkara yang tidak saja merangkumi proses mengeluarkan darah kotor daripada badan wanita yang sudah matang.

Lebih daripada itu, jelas beliau, apabila seseorang wanita didatangi haid, pelbagai tindak balas berlaku terhadap diri mereka yang tidak saja membabitkan kesakitan pada bahagian bawah perut atau pelvis iaitu terdapatnya rahim, ovari, tiub Fallopio dan pundi kencing, malah membabitkan ketidakseimbangan emosi dan bahagian tubuh badan yang lain.

“Apabila wanita didatangi haid mereka perlu dalam keadaan berjaga-jaga kerana proses mengeluarkan haid ini, secara normal dalam tempoh sehari atau dua hari sebelum darah itu keluar, mereka akan terasa sakit di bahagian pelvis dan boleh berlanjutan sehingga hari kedua ketika darah itu sudah keluar.

“Dalam proses mengeluarkan darah haid, hormon wanita menjadi tidak menentu, kesakitan pada bahagian tertentu seperti di pelvis yang sinonim dengan senggugut mempengaruhi emosi mereka secara langsung,” katanya.

Katanya, selain itu, golongan lelaki terutama yang dekat dengan seseorang wanita yang didatangi haid seperti suami atau bapa, boleh menawarkan apa yang mereka inginkan seperti menonton wayang. Sebolehnya jangan hampakan permintaan wanita tersayang kerana perkara yang dianggap kecil seperti itu boleh menyebabkan emosi mereka terganggu.

“Isu haid perlu dibincangkan secara terbuka terutama mereka yang sudah berkeluarga dan golongan lelaki perlu faham keadaan wanita dari segi faktor perubahan tingkah laku dan sentiasa bersifat sensitif terhadap golongan itu.

“Sekiranya pasangan atau anak datang haid, digalakkan untuk lakukan aktiviti yang boleh menggembirakan bagi menyokong psikologi untuk melupakan rasa sakit ketika tempoh ‘bercuti’ itu,” jelasnya.

SOKONGAN lelaki dan suami penting untuk wanita ketika haid. GAMBAR hiasan

GAMBAR hiasan

Menjelaskan mengenai haid atau datang bulan, pakar itu berkata, ia adalah proses fisiologi normal kepada setiap wanita yang mampu mengandung. Perkara itu berlaku kepada perempuan seawal usia sembilan tahun dan bagi wanita di Malaysia mereka biasanya mengalami putus haid antara usia 51 hingga 52 tahun.

Katanya, wanita biasanya didatangi haid antara lima hingga tujuh hari dengan purata kadar pusingan 28 hari bergantung pada individu kerana setiap wanita mempunyai tempoh haid dan kitaran yang berbeza.

Beliau menambah, memandangkan proses haid berlaku pada organ bawah perut atau pelvis iaitu terdapatnya rahim, ovari, saluran Fallopio dan pundi kencing, ia boleh mengakibatkan sakit di bahagian itu yang dikenali sebagai senggugut atau dalam terma perubatan dikenali sebagai dismenorrhea.

“Rasa sakit senggugut ketika haid adalah perkara biasa kerana mereka akan mengalami situasi berkenaan sama ada sehari atau dua hari sebelum haid atau boleh berlanjutan sehingga hari kedua atau ketiga haid. Biasanya apabila darah haid keluar, rasa sakit itu hilang.

“Lelaki perlu tahu bahawa sakit senggugut berpotensi mengakibatkan seseorang wanita itu tidak boleh bangun, sukar membuang air kecil dan besar yang sekali gus mengganggu produktiviti untuk bekerja atau melakukan aktiviti harian,” katanya.

Katanya, sebagai suami atau bapa, dalam keadaan ini mereka boleh menjadi pemerhati situasi wanita berkenaan kerana rasa sakit haid yang normal adalah sederhana tetapi jika pasangan atau anak mengalami situasi sakit yang teruk, mereka perlu bawa wanita berkenaan berjumpa doktor secepat mungkin.

“Jika kesakitan itu luar biasa, kita bimbang ia disebabkan ketumbuhan yang memerlukan rawatan lebih khusus. Selain itu, lelaki dan bapa khususnya boleh memerhatikan tempoh pusingan haid sama ada 28 hingga 30 hari atau haid tidak teratur yang datang tiga atau empat bulan sekali.

“Anda boleh tahu sama ada isteri atau anak datang haid setiap bulan kerana jika tidak, ia berkemungkinan mengandung atau berisiko mendapat penyakit yang lain,” katanya.

Perkara ini penting khususnya dalam keadaan sekarang ketika mana kes kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja menjadi semakin biasa. Di sinilah bapa boleh memainkan peranan mereka untuk mengekang gejala tidak sihat itu daripada terus berlaku.

Tambahnya, wanita yang tidak mengalami haid selama tiga bulan bukan disebabkan mengandung boleh mengakibatkan rahim membengkak dan tebal sekali gus secara tidak langsung berpotensi menghidap barah untuk jangka masa panjang.

Selain itu, beliau juga menegaskan wanita yang didatangi haid juga secara perubatan tidak boleh mengadakan hubungan seks membabitkan hubungan kelamin kerana ketika itu bahagian kemaluan mereka mengandungi darah kotor.

“Dalam agama pun sudah mengatakan mereka tidak boleh melakukan hubungan kelamin ketika haid dengan rasional ketika itu ada darah kotor dan wanita tidak bersedia dari segi jasmani untuk mengadakan hubungan intim berkenaan.

“Seperti diberitahu ketika haid, wanita mengalami sakit pada bahagian bawah perut dan semestinya mental mereka juga tidak bersedia untuk melakukan perkara itu disebabkan keadaan diri yang ‘tidak bersih’. Bagaimanapun, ada cara lain melakukan hubungan intim tanpa membabitkan kemaluan boleh dilakukan jika kedua-dua pihak rasa selesa,” katanya.

Ujarnya lagi, golongan lelaki yang mempunyai tanggungjawab kepada seorang wanita perlu mempunyai pengetahuan mengenai tuala wanita dan tidak perlu malu untuk membelinya secara terbuka kerana ia membuktikan golongan Adam peka kepada lumrah yang berlaku kepada pasangan atau anak mereka.

“Jika orang lelaki ingin membantu belikan tuala wanita untuk isteri atau anak, pastikan mendapat maklumat terlebih dulu daripada penggunanya kerana mereka mempunyai pilihan saiz atau jenama yang sudah selesa untuk dipakai.

“Pemilihan tuala wanita ini bergantung pada saiz badan pengguna, kekerapan darah yang keluar dan juga waktu sesuai untuk digunakan. Maka, hanya penggunanya sahaja yang boleh memberi gambaran tepat jenis tuala wanita yang mereka inginkan,” katanya.

Zaharuddin berkata, komunikasi antara golongan lelaki yang mempunyai tanggungjawab kepada seorang perempuan untuk membincangkan haid perlu kerana ia amat membantu dari segi kesihatan, keharmonian dan peka kepada tingkah laku dalam ahli keluarga.

“Bagaimanapun, untuk membincangkan haid secara terbuka ia perlu memberi keselesaan kepada wanita untuk menceritakan sendiri isu itu kepada seorang lelaki terutama bagi mereka yang baru datang haid.

“Sebagai seorang lelaki kita perlu mempunyai ilmu dan menyokong dari segi psikologi wanita terutamanya dan jika berdepan dengan anak yang baru datang haid. Sebaik-baiknya biarlah anak perempuan menceritakan hal itu kepada ibu atau saudara perempuan terdekat kerana mereka masih berasa malu,” katanya.

ANAK perempuan yang kali pertama datang haid lebih selesa berkongsi pengalaman dengan ibu. GAMBAR hiasan

PERKARA YANG LELAKI PERLU TAHU

• Perempuan mengalami haid seawal usia sembilan tahun dan wanita di Malaysia biasanya putus haid ketika usia 52 tahun.

• Tempoh purata haid dari lima hingga tujuh hari.

• Kitaran haid selama 21 hingga 35 hari

• Senggugut membabitkan sakit di bahagian bawah perut atau pelvis yang biasa dialami wanita sebelum sehingga awal haid.

• Perubahan emosi sebelum haid adalah perkara normal, bukan mengada-ngada.

• Lelaki khususnya suami dan ayah perlu tahu kitaran haid isteri dan anak perempuan.

• Lelaki perlu beri sokongan emosi dan jasmani ketika isteri haid.

• Wanita yang tidak datang haid selama tiga bulan perlu membuat pemeriksaan doktor secepat mungkin khususnya jika kitaran haidnya adalah normal.

Darah wanita haid boleh hadir dalam bentuk cecair atau ketulan, malah warnanya juga berbeza-beza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 10:30 AM