KUDIS buta boleh merebak dengan pantas menerusi sentuhan dan perkongsian alatan. GAMBAR hiasan
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

SEMASA zaman kanak-kanak dulu hampir setiap hari penulis mendengar amaran ibu supaya tidak bermain pasir, bimbang mendapat kudis buta.

Ketika kecil, memang penyakit kulit itu menjadi igauan ngeri apatah lagi melihat keadaannya yang merah dan kadang-kala bernanah, menyebabkan rasa sakit dan tidak selesa.

Masa itu, soal parut bukan isu besar kerana yang lebih penting tidak mahu berasa sakit.

Hakikatnya, amaran ibu itu ada benarnya kerana di kawasan permainan yang tidak bersih membuka peluang berlaku jangkitan kuman khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Antara yang membimbangkan adalah kudis buta kerana ia mengambil masa agak lama untuk sembuh.

Menurut laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2010, dianggarkan 130 juta penduduk dunia mengalami kudis buta atau skabies dan 1.5 juta pesakit mengalami komplikasi tidak langsung seperti masalah jantung dan buah pinggang kesan daripada jangkitan kudis buta.

Pensyarah dan Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Isa berkata, kudis buta adalah sejenis penyakit kulit disebabkan jangkitan parasit atau hama dikenali sebagai Sarcoptes scabiei var hominis.

Beliau berkata, saiznya juga amat kecil dan tidak dapat dilihat mata kasar. Apabila mendapat jangkitan berkenaan, ia akan menembusi lapisan kulit manusia untuk bertelur.


KUCING juga boleh mengalami kudis buta dan merebak kepada manusia. GAMBAR hiasan

“Telur itu menetas menjadi hama dan hidup selama 30 hari dan boleh dijumpai di mana-mana saja di dunia.

“Ia bukan saja menjangkiti manusia malah mampu menjangkiti haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

“Selain itu, boleh berlaku jangkitan bakteria menyebabkan kesan lebih serius seperti bernanah dan sepsis (keadaan toksik akibat pembiakan bakteria patogen dan produknya di kawasan jangkitan dan penyerapannya, ke dalam saluran darah) yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

Kudis buta adalah sejenis penyakit kulit mudah menular dalam kalangan masyarakat. Penyebarannya melalui sentuhan kulit secara berulang-ulang dengan seseorang yang mempunyai kudis buta.

Katanya, selain itu ia juga boleh berjangkit melalui perkongsian barang peribadi pemilik yang dijangkiti kudis buta seperti tuala, baju dan selimut.

Malah jelasnya, menggunakan tempat tidur dan sofa sama dengan individu yang ada kudis buta juga meningkatkan risiko mendapat masalah itu.

“Kanak-kanak pula terdedah terhadap jangkitan ini melalui perkongsian barang permainan dan peralatan perabot. Selalunya penularan ini berlaku di tempat awam yang sesak, taska, asrama dan pusat jagaan.

“Baru-baru ini di negara kita ada laporan di akhbar berkenaan kudis buta yang menjangkiti murid sekolah sehingga mereka terpaksa dikuarantinkan di rumah masing-masing,” katanya.

Bagi mereka yang dijangkiti kudis buta terdapat beberapa tanda awal boleh dikesan iaitu gatal yang keterlaluan dan ruam.

Ini adalah tanda utama yang sering berlaku kepada seseorang apabila dijangkiti parasit itu.

Dr Mohd Hisham berkata, rasa gatal biasanya lebih teruk pada sebelah malam sehingga boleh mengganggu tidur.

Katanya, ruam atau bintik merah yang sering berlaku di bahagian lipatan kulit dan celah jari tangan serta kaki. Selain itu, ia juga sering berlaku di bahagian kemaluan, punggung, celah ketiak dan sekitar pusat.

“Terdapat pelbagai mitos yang disebarkan berkaitan kudis buta.

“Ada mengatakan jangkitan kudis buta berlaku sekali seumur hidup sedangkan jangkitan ini boleh berulang jika seseorang terdedah kepada sumber jangkitan.


PERKONGSIAN alat mainan perlu dalam keadaan

“Selain itu ada juga yang beranggapan penyakit itu hanya menjangkiti kanak-kanak padahal sesiapa saja termasuk orang dewasa yang bersentuhan dengan orang yang dijangkiti kudis buta boleh mendapat jangkitan,” katanya.

Jelasnya, terdapat pelbagai ubat boleh didapati di farmasi atau klinik dan pesakit boleh melakukan rawatan sendiri di rumah.

Katanya, penggunaan krim sapuan seperti permethrin lima peratus sesuai digunakan kanak-kanak dan wanita mengandung serta benzyl benzoate 12.5 peratus untuk orang dewasa.

“Ia perlu disapu pada seluruh badan kecuali muka dan tumpuan perlu diberikan di bahagian celah-celah jari tangan dan kaki.

“Biarkan selama 24 jam sebelum membasuhnya dan dilakukan selama tiga hari.

“Krim untuk kegunaan luar ini adalah kaedah paling berkesan untuk membunuh parasit menyebabkan kudis buta pada seseorang.

“Selain krim sapuan, seseorang itu boleh juga mengambil ubat untuk mengurangkan kegatalan,” katanya.

Menurutnya, selain rawatan menggunakan krim anti kudis buta, terdapat pelbagai kaedah lain yang boleh digunakan untuk membasmi parasit berkenaan seperti mencuci pakaian, tuala, cadar menggunakan air panas melebihi 50 darjah Celsius.

“Selain itu peralatan perabot yang sering dipegang haruslah dibersihkan. Bagi barangan permainan kanak-kanak pula, ibu bapa perlu menyimpan permainan ini dalam bungkusan yang ditutup rapi selama seminggu supaya hama dan telurnya mati.

“Kaedah kuarantin juga perlu dilaksanakan untuk mengelak jangkitan terutamanya di pusat asuhan dan murid sekolah. Pelajar ini perlu diberi cuti kuarantin sehingga rawatan selesai,” katanya.

Tambahnya, penjagaan kebersihan diri turut perlu diberi perhatian bagi mengelak masalah jangkitan itu berulang. Pastikan kuku anak dipotong pendek supaya tidak berlaku jangkitan lain apabila mereka menggaru.

“Selain itu pastikan juga tidak berkongsi barangan peribadi dengan mereka yang mengalami jangkitan kudis buta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 10:15 AM