ANTARA gejala sifilis.
hmdigital

PELAKSANAAN pemberian vaksin human papilloma virus (HPV) secara percuma kepada remaja perempuan berusia 13 tahun menerusi Program Imunisasi Kebangsaan di sekolah dan klinik kesihatan Kementerian Kesihatan (KMM) antara usaha mencegah kanser pangkal rahim menjelang mereka dewasa kelak.

Virus HPV antara punca beberapa isu kesihatan berkaitan penyakit kelamin yang boleh berlaku menerusi aktiviti seks atau pemindahan daripada ibu kepada bayi.

Selain aktiviti seks bebas bersama pasangan berbeza, aspek kebersihan dan penggunaan kondom boleh mengurangkan risiko pelbagai jenis jangkitan penyakit kelamin.

Berikut antara jenis penyakit kelamin yang biasa berlaku dalam kalangan masyarakat yang sewajarnya diberi perhatian.


VIRUS HPV boleh mengakibatkan ketuat kelamin.

1. Ketuat genital

Dikenali juga ketuat kelamin, ia berlaku akibat jangkitan HPV yang boleh disebarkan menerusi aktiviti seks sama ada melalui vagina, oral dan dubur serta pemindahan virus daripada ibu kepada bayi ketika kelahiran.

Jangkitan penyakit ini tidak mempunyai sebarang gejala, dan ketuat akan timbul dalam tempoh tiga minggu hingga tiga bulan selepas seseorang dijangkiti.

Bagi wanita, ketuat genital ini biasanya tumbuh di bahagian vagina, dubur atau pangkal rahim manakala lelaki di bahagian penis atau zakar.

Bercirikan ketuat berwarna merah jambu atau warna kulit, ia boleh kekal dalam tubuh bagi jangka masa lama. Sekiranya tidak dirawat, ketuat ini boleh tumbuh menjadi lebih besar dan banyak. Bagi wanita pula, ia boleh menyebabkan kanser pangkal rahim.

Antara rawatan bagi ketuat genital ialah ubat topikal khas disapu pada kulit atau terapi laser.

2. Herpes genital

Penyakit kelamin ini berlaku disebabkan jangkitan virus Herpes simplex jenis satu (HSV1) dan dua (HSV2).

Penyebaran dua jenis virus ini adalah berbeza apabila HSV1 tersebar dengan perkongsian perkakas makanan atau bercium dengan mereka yang mengalami ulser. HSV2 pula tersebar melalui hubungan seks.

Antara simptomnya ialah rasa gatal dan sakit, timbul ruam merah dan melepuh di bahagian vagina, punggung, dubur dan zakar.

Ruam ini akan pecah lalu mengeluarkan cecair atau darah, yang boleh sembuh dalam tempoh dua hingga empat minggu. Pesakit juga boleh demam dan mengalami bengkak pada kelenjar limfa.

Apabila ruam yang melepuh sembuh, virus ini akan kekal berada dalam badan tetapi tidak aktif. Apabila sistem pertahanan badan individu rendah, virus ini akan aktif semula lantas menyebabkan ulser yang teruk.

3. Penyakit radang pelvis (PID)

PID adalah penyakit berjangkit progresif yang berlaku pada tiub Fallopio, rahim, serviks atau ovari dan kebanyakan remaja perempuan mengalaminya berpunca daripada jangkitan aktiviti seksual.

Antara gejala PID adalah sakit di bahagian bawah abdomen, lelehan vagina yang banyak, berbau busuk dan berwarna tidak normal, sakit ketika melakukan hubungan jenis, darah haid yang banyak dengan kesakitan melampau, menggigil, demam, muntah, penat melampau, hilang selera makan, sakit pinggang dan kerap kencing.

Kesan daripada penyakit ini boleh mengakibatkan parut dalaman yang kronik dan menjurus kepada masalah kesuburan (kemandulan).

Bagi wanita hamil pula, parut dalaman ini menjadi faktor yang menyebabkan berlaku kehamilan di luar rahim (ektopik).

4. Sifilis

Ia antara penyakit kelamin berbahaya yang tersebar melalui hubungan jenis secara oral, dubur dan vagina atau kehamilan (daripada ibu kepada bayi) yang berpunca daripada organisma, ‘spirochere’.

Sifilis terbahagi kepada empat peringkat:

Peringkat pertama

• Ulser kemerahan yang tidak menyakitkan berlaku pada vagina, dubur, penis dan mulut dipanggil ‘syanker primer ‘ akan hilang selepas beberapa minggu.

• Kelenjar limfa membengkak.

• Individu yang terdedah kepada sifilis mungkin tidak perasan kewujudan ‘syanker’ yang timbul selepas tiga hari hingga tiga bulan kemudian.

Peringkat ke-2

• Seandainya peringkat pertama tidak dirawat, ruam akan timbul pada bahagian badan, tapak tangan serta kaki.

• Ulser juga boleh timbul di kawasan bibir, mulut, kerongkong, vagina dan dubur. Pada masa sama, gejala seperti selesema, demam dan sakit badan berlaku.

• Situasi ini boleh berlaku selama satu hingga dua minggu dan akan hilang walaupun tanpa rawatan.

Peringkat ke-3

• Jika tidak dirawat pada peringkat awal, pesakit menghidapi penyakit sifilis tanpa apa-apa simptom dan ia boleh berlarutan selama beberapa tahun. Namun, penyakit ini boleh dikesan menerusi ujian darah.

Peringkat ke-4

• Seandianya tiada rawatan, sifilis boleh melarat ke peringkat lebih teruk apabila kuman ‘spirochetes’ merebak ke seluruh badan merangkumi otak, jantung, saraf tunjang dan tulang.

• Lebih teruk, pesakit akan mengalami gejala seperti kesukaran untuk berjalan, berasa kebas, buta dan kematian.

Kesimpulannya, sifilis sangat berbahaya sekiranya tidak dirawat. Ini termasuk golongan ibu hamil yang menjangkiti bayinya dan mengakibatkan kecacatan teruk pada bayi sejak lahir.

5. Chlamydia

Dikategorikan penyakit kelamin yang berjangkit melalui hubungan seks, Chlamydia adalah jangkitan bakteria yang boleh mengakibatkan penyakit radang pelvis (PID), kemandulan serta masalah ketika hamil.

Ia sangat mudah merebak melalui hubungan seks dengan pasangan yang dijangkiti dan ia berlaku lebih kerap berbanding penyakit gonorrhoea (jangkitan oleh bakteria Neisseria gonorrhoea), empat kali ganda.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan jangkitan pada mata dan paru-paru pada bayi yang dikandung.

Setiap kategori pesakit menunjukkan gejala berbeza. Seperti lelaki, simptom adalah timbul cecair yang keluar dari zakar dan terasa pedih serta gatal ketika membuang air kecil.

Bagi wanita pula, mereka berasa gatal dan ada lendiran pada faraj, sakit di bahagian perut, berlaku pendarahan di antara kitaran haid atau demam.

Sekiranya tidak dirawat, kemungkinan berlaku radang pada salur epididimis (lelaki), radang pangkal rahim, PID (wanita) dan kemandulan (kedua-dua jantina).


RUAM tanda herpes genital akan pecah mengeluarkan cecair atau darah.

Sumber: MyHealth KMM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 10:45 AM