PROGRAM Imunisasi Kebangsaan mewajibkan vaksin diberi sebaik bayi lahir.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga untuk mendapatkan imunisasi lengkap demi kebaikan anak bagi membina daya tahan melawan penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui vaksin.

Majoriti bayi dilahirkan di Malaysia ditawarkan program imunisasi dengan pemberian vaksin mengikut jadual umur secara percuma di klinik kerajaan bagi melindungi mereka dan orang lain daripada penyakit berjangkit yang berbahaya.

Penyakit berjangkit itu termasuk tibi (tuberkulosis), hepatitis B, sakit kerongkong (difteria), kancing gigi (tetanus), batuk kokol (pertussis), polio, influenza heamofilus jenis B (Hib), campak, beguk, rubela, pneumokokal, influenza, rotavirus, cacar dan Japanese encephalitis (JE).

Itu semua adalah penyebab utama berlaku kecacatan dan kematian dalam kalangan kanak-kanak seluruh dunia. Oleh itu, program imunisasi dengan pemberian vaksin mengikut jenis penyakit adalah cara berkesan mencegah dan mengurangkan penyakit terbabit, membantu tubuh menghasilkan antibodi yang berfungsi melindungi terhadap penyakit.

Vaksin secara umum adalah selamat kerana manfaatnya jauh lebih besar daripada kesan sampingan yang mungkin timbul. Malah dengan vaksin, banyak penyakit serius yang biasa dialami dalam usia bayi dan kanak-kanak jarang dikesan pada masa kini.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini banyak maklumat yang tidak sahih berkaitan vaksin tersebar di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan Kementerian Kesihatan. Ini berikutan wujud golongan yang terang-terangan mempengaruhi orang awam menolak vaksin dengan fahaman salah melalui penyebaran maklumat tidak sahih.

Kebanyakan maklumat tidak sahih mengenai vaksin digembar-gemburkan oleh mereka yang taksub dengan dakwaan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan dilaksanakan oleh kerajaan tidak memberi manfaat dan menimbulkan banyak kesan buruk. Pihak kementerian menolak dakwaan itu yang tidak tepat sama sekali.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sentiasa memantau penyebaran fahaman salah terutama di media sosial termasuk individu tertentu yang menentang vaksin demi menarik lebih ramai ibu bapa menyertai kumpulan mereka.

Perbuatan tidak bertanggungjawab golongan antivaksin itu menyebabkan usaha kementerian berdepan rintangan dan kesannya kini boleh dilihat iaitu peningkatan kes penyakit berjangkit yang boleh dicegah dengan vaksin. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengenal pasti penolakan vaksin sebagai satu ancaman kesihatan global bagi tahun ini.

“Pemantauan kementerian mendapati wujud ibu bapa yang menolak pemberian vaksin kepada anak mereka selepas terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang disebarkan. Bilangan kes penolakan vaksin yang direkodkan di klinik kerajaan terus meningkat iaitu daripada 637 kes pada 2013 kepada 1,603 kes pada 2016.

“Ada sedikit penurunan kes penolakan vaksin pada 2017 iaitu kepada 1,404 kes berikutan usaha advokasi yang dijalankan oleh kementerian secara meluas bersama pelbagai pihak awam dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta sukarelawan kumpulan media sosial perubatan.

“Jika penolakan vaksin ini berterusan, kemungkinan kemunculan kes penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin akan terus meningkat. Malah usaha kerajaan dalam mengukuhkan Program Imunisasi Kebangsaan dan usaha advokasi bagi mencegah penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin selama ini menjadi sia-sia,” katanya.

Katanya, penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin meningkat di negara ini apabila kes demam campak meningkat 195 kes pada 2013 kepada 1,934 kes pada tahun lalu menyaksikan peningkatan sebanyak 891.8 peratus bagi tempoh lima tahun.

Bilangan kes demam campak yang tiada imunisasi meningkat daripada 125 kes (68.7 peratus) pada 2013 kepada 1,467 kes (75.9 peratus) pada 2018. Malah, pada 2018 kementerian merekodkan enam kematian demam campak dengan semua kes tiada imunisasi, lima kematian difteria dengan empat kes tiada imunisasi, manakala 22 kematian batuk kokol (pertusis) dengan 19 kes tiada imunisasi.


PENYAKIT campak.

“Pada ketika ini, Program Imunisasi Kebangsaan mampu mencegah 12 jenis penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria dan virus tertentu. Ia diberikan percuma kepada bayi dan kanak-kanak warga negara Malaysia di klinik kerajaan sejak 1950-an.

“Melalui program imunisasi dan peningkatan capaian perkhidmatan kesihatan, Malaysia berjaya menurunkan kadar kematian kanak-kanak 85 peratus bagi tempoh 1970 hingga 2017, daripada 55.9 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup kepada hanya 8.4 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

“Imunisasi juga berjaya membasmi cacar dari dunia ini, manakala penyakit polio berjaya dibasmi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyeru ibu bapa untuk mematuhi Jadual Imunisasi Kebangsaan dan tidak mempercayai propaganda tidak benar mengenai keburukan vaksin yang digembar-gemburkan di media sosial.

Kementerian juga ingin menegaskan kepada semua pengamal perubatan untuk membantu dalam usaha meningkatkan penerimaan imunisasi. Pihak yang mempunyai kemusykilan mengenai vaksin dan imunisasi dinasihatkan supaya mendapatkan fakta yang tepat daripada laman sesawang http://www.myhealth.gov.my, www.infosihat.gov.my dan immunise4life.my/.

Ibu bapa juga boleh datang ke mana-mana fasiliti kesihatan untuk berjumpa dengan anggota kesihatan bagi mendapatkan maklumat berkaitan vaksin dan imunisasi bayi dan kanak-kanak.


PENYAKIT polio.

Program Imunisasi Kebangsaan

Vaksin Bacille Calmette- Guerin (BCG) untuk penyakit tibi dan dos pertama vaksin hepatitis B untuk melawan penyakit diberi kepada bayi ketika lahir. Dos kedua vaksin hepatitis B diberi kepada bayi ketika berusia sebulan.

Ketika bayi berusia dua bulan, mereka diberi dos pertama vaksin DTaP untuk melawan kombinasi penyakit difteria, pertusis dan tetanus, vaksin OPV untuk penyakit polio dan vaksin Hib untuk influenza heamophilus jenis B.

Tiga jenis vaksin berkenaan akan diulang beri kepada bayi ketika mereka berusia tiga dan lima bulan.

Ketika berusia enam bulan, bayi diberi dos ketiga vaksin hepatits B. Dos pertama campak untuk bayi di Sabah

saja.

Pada usia sembilan bulan, bayi diberi vaksin dos pertama MMR untuk melawan kombinasi penyakit campak, beguk dan rubela. Dos pertama vaksin untuk Japanese encephalitis (JE) diberi kepada bayi di Sarawak saja. Pada usia setahun, bayi diberi dos kedua MMR.

Pada usia setahun enam bulan, bayi diberi dos tambahan vaksin DTap, OPV dan Hib. Selain imunisasi yang diberi secara berjadual oleh Kementerian Kesihatan, ibu bapa boleh mendapatkan vaksin bagi penyakit lain seperti rotavirus dan pneumokokal di klinik atau hospital swasta.

Pada usia setahun sembilan bulan, bayi di Sarawak diberi dos kedua vaksin JE. Kanak-kanak usia tujuh tahun diberi dos kedua MR untuk campak dan rubela serta dos tambahan untuk difteria dan tetanus (DT).

Vaksin human papillomavirus (HPV) hanya disediakan untuk remaja perempuan berusia 13 tahun dan diberikan dua dos berasingan dalam tempoh enam bulan. Pada usia 15 tahun, semua remaja diberi dos tambahan untuk tetanus.

Komplikasi penyakit berjangkit

• Tibi menyebabkan radang paru-paru, radang selaput otak, jangkitan pada organ lain seperti usus, tulang, sendi serta buah pinggang dan boleh membawa maut.

• Hepatitis B menyebabkan penyakit hati kronik dan kanser hati.

• Difteria mengakibatkan sukar bernafas, masalah jantung dan saraf.

• Pertusis menyebabkan radang paru-paru, epilepsi (sawan) dan boleh membawa maut.

• Tetanus mengakibatkan kekejangan otot yang sangat sakit, kesukaran bernafas dan boleh membawa maut.

• Polio menyebabkan lumpuh dan mengakibatkan ketidakupayaan fizikal atau kematian.

• Penyakit Hib menyebabkan radang paru-paru, radang selaput otak, pekak, buta, epilepsi dan terencat akal serta radang epiglotis yang menyebabkan saluran pernafasan tersumbat.

• Campak boleh mengakibatkan komplikasi seperti radang paru-paru, radang selaput otak (meningitis), radang otak (encefalitis), pekak, buta, cirit-birit dan kematian.

• Beguk mengakibatkan radang otak, radang buah zakar (orchitis) yang boleh membawa kemandulan.

• Rubela pula biasanya penyakit yang ringan bagi kanak-kanak dan dewasa, tetapi penyakit ini pada ibu hamil boleh mengakibatkan bayi dilahirkan cacat seperti katarak (buta), pekak, jantung berlubang, terencat tumbesaran dan terencat akal. Kecacatan ini dikenali sebagai sindrom rubela kongenital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 7:32 AM